gravatar

Edisi Nasional

Edisi Nasional


Kosmo Online - Stailo

Posted: 10 Apr 2011 11:39 AM PDT

Kosmo Online - Stailo


RZAC Cosmetics meniti pasaran antarabangsa

Posted:

RZAC Cosmetics meniti pasaran antarabangsa

RZAC Cosmetics meniti pasaran antarabangsa

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my



PERTAMA kali bersua muka dengan pengasas kosmetik RZAC Cosmetics Sdn. Bhd., Datuk Kamaliah Abdul Halim, 51, beliau tampil sederhana sahaja. Tiada solekan tebal saat menyambut kehadiran para petugas media di banglo kediamannya di Kepala Batas, Pulau Pinang minggu lalu.

Tetapi, di sebalik penampilan yang ringkas itu, Kamaliah yang rendah diri dan mesra disapa sebagai Kak Kay mempunyai cita rasa penampilan yang tersendiri. Tatkala tetamu menjamah sarapan pagi, Kamaliah menyarungkan busana warna asas hitam putih persis gaya wanita moden Indonesia.

"Kesemua pakaian saya dibeli di Medan, Indonesia. Saya dan anak gadis saya sememangnya sudah jatuh cinta dengan rekaan busana dari seberang," katanya semasa sesi suai kenal.

Tetapi fesyen bukanlah tujuan utama Kamaliah membuka pintu banglonya yang turut mendapat sentuhan dari seberang itu. Wanita kecil molek yang obses dengan kecantikan itu optimis mahu meletakkan dirinya sebaris jutawan kosmetik ternama negara yang mempunyai rangkaian bisnes peringkat antarabangsa.

"Sejak kecil saya suka pada kecantikan, malah cita-cita awal saya ialah ingin menjadi pramugari. Pada saya, kecantikan itu penting tidak kira usia atau jantina.

"Meskipun ayah mahu saya menjadi ustazah, saya akhirnya memilih bidang kecantikan kerana minat saya tertumpu di situ," katanya.

Minat beliau di dalam bidang kecantikan bermula hampir 40 tahun lalu. Katanya ketika berusia 12 tahun lagi beliau sudah terdedah dengan alat solek malah turut menggunakannya.

"Saya suka lihat ibu saudara memakai alat solek, malah apabila dia tiada, sayalah menggunakannya. Saya suka kelihatan cantik, justeru selepas tamat tingkatan lima, saya mula menjual produk kecantikan," kata beliau.

Bekerja sebagai kerani

Kamaliah berkata, beliau pernah bekerja sebagai kerani di sebuah jabatan kerajaan di Perak tetapi hanya bertahan beberapa tahun kerana suasana kerja tidak sesuai dengan dirinya.

"Saya berkahwin ketika usia 21 tahun dan beberapa tahun kemudian suami melanjutkan pelajaran ke Scotland. Saya turut ke sana menemani suami," ujar Kamaliah ramah.

Menurutnya, ketika di Scotland, beliau tidak mahu membiarkan masa berlalu begitu sahaja. Kamaliah mengambil peluang niaga ketika suaminya sedang sibuk belajar dengan membuat nasi lemak untuk dijual kepada penuntut Malaysia.

Hasil jualan pula digunakan untuk membeli alat solek, melancong dan memenuhi keperluan asas di sana.

Kamaliah berkata, sekembalinya kami ke tanah air, saya terbaca dalam sebuah majalah bahawa pengedar diperlukan untuk menjual satu produk kecantikan dari luar negara.

"Tanpa berlengah, saya ke ibu pejabatnya di Kuala Lumpur dan memohon membuka cawangan di Butterworth.

"Pada masa itu saya dikehendaki membayar RM10,000 dan kerana tidak cukup wang, saya minta membayarnya empat kali selain terpaksa meminjam dengan ibu bapa," katanya.

Membuka kedai


RANGKAIAN produk kecantikan RZAC Cosmetics yang mendapat sambutan memberangsangkan. Antaranya adalah pembayang mata, penggaris mata, pemerah pipi dan bulu mata palsu.


Menurutnya, pada 1998 beliau berjaya membuka kedai di Taman Selat, Butterworth dengan menjual produk tersebut.

"Sejak saya jual produk ini, jualannya laris dan dari situ saya buka salun. Namun, pada satu ketika produk ini merudum dan perniagaan mula terjejas.

"Tidak mahu bergantung harap dengan produk ini saja, pada tahun 2000 saya terfikir untuk mencipta produk sendiri kerana sudah ada pengalaman.

"Produk ini dihasilkan di rumah dan antara produknya ialah sabun muka, pelembap dan pembersih," cerita Kamaliah.

Demi memastikan produk tersebut berjaya, beliau melakukan pemasaran sendiri dengan bergerak dari rumah ke rumah.

"Bukan mudah untuk orang ramai menerima produk ini, namun saya kuatkan semangat sehingga sedikit demi sedikit ia mula dikenali," imbas Kamaliah.

Menurutnya, daripada empat produk awal, kini syarikatnya mempunyai hampir 200 produk kecantikan dan penjagaan imej wanita dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Selain itu, daripada menyewa lot kedai di Taman Selat, beliau berjaya memiliki bangunan tiga tingkat milik sendiri di Seberang Jaya yang turut menempatkan ibu pejabat, salun, pusat kecantikan serta penjualan produk.

Kamaliah juga boleh berbangga dengan kejayaannya membuka cawangan di Bertam, Kepala Batas selain berhasrat mewujudkan satu cawangan RZAC di setiap negeri pada masa depan.

Kegigihan Kamaliah mengembangkan perniagaan kosmetik tidak pernah surut. Pada tahun 2005, beliau berjaya membuka kilang pembungkusan produk kosmetik sendiri bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP) di kawasan Perindustrian Ringan, Prai diikuti pembukaan RZAC Classique Spa.

Jenama RZAC Cosmetics juga berjaya menembusi pasaran Indonesia dengan pembukaan cawangan butik kecantikannya di Medan. Sebelum itu, jenama itu telah menembusi pasaran pengguna di Thailand dan Filipina.

"Bukan mudah menembusi pasaran antarabangsa lebih-lebih lagi di Indonesia yang terkenal sebagai pengeluar produk kecantikan berasas herba.

"Kini jenama ini menawarkan lebih 200 produk penjagaan kulit termasuk alat solek dan produk untuk spa, selain lebih 500 senarai pengedar di seluruh negara," katanya yang mengaku bangga dengan pencapaiannya itu.

Bagaimanapun katanya, tanpa sokongan suami dan keluarga tercinta, tidak mungkin beliau mampu berada pada tahap sekarang.

"Sejak membuka cawangan di Medan, saya berulang-alik ke negara jiran itu seminggu sekali bagi memastikan urusan perniagaan berjalan lancar.

"Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan terutama masa yang dihabiskan bersama keluarga," ujar Kamaliah dalam sedikit nada kesal.

Sedia terima bayi terbuang


MESIN pembungkusan RZAC kosmetics dibeli dari China.


Dalam pada itu katanya, beliau cuba mencari beberapa peluang bagi mengembangkan perniagaannya ke beberapa kawasan lain di Indonesia.

"Sambutan di sana amat menggalakkan kerana kuasa membeli mereka terhadap barangan kecantikan agak tinggi terutama golongan kelas pertengahan dan atasan. Ia memberi keyakinan kepada saya untuk menarik lebih ramai wanita di sana menggunakan produk keluaran Malaysia," ujar Kamaliah.

Meskipun sudah mempunyai kedudukan, namun sebagai wanita dan juga ibu, Kamaliah tersentuh melihat anak yatim, termasuk bayi yang dibuang atau lahir tanpa bapa.

Justeru, atas inisiatifnya dan suami, beliau menubuhkan Yayasan RZAC yang bertujuan membantu golongan sasaran termasuk sekolah yang memerlukan.

"Rezeki yang Allah kurniakan kepada saya bukan hanya untuk diri saya seorang, malah bantuan dihulurkan dapat meringankan beban golongan yang memerlukan dan mereka yang hidup dalam keadaan serba kekurangan," katanya yang mengambil seorang anak angkat, Muhammad Hazeeq yang kini berusia setahun.

"Saya ambil anak angkat selepas ibu bapanya tidak mampu menjaga lalu menyerahkannya kepada saya," kata beliau yang turut mengambil seorang lagi anak angkat perempuan yang diberi nama Humairah yang kini berusia sembilan bulan.

Kamaliah berkata, usaha itu diharap dapat mengurangkan gejala buang bayi yang berlaku ketika ini, malah beliau sedih dan tersentuh dengan berita dipaparkan mengenai gejala itu.

"Menitis air mata saya apabila membaca laporan mengenai bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa pembuangan pihak tidak bertanggungjawab.

"Dengan adanya yayasan ini, saya berharap gejala ini tidak berleluasa dan saya bersedia menerima bayi atau kanak-kanak yang menghadapi kesusahan atau keperitan hidup," ujarnya.

Menurut Kamaliah, beliau sangat sukakan kanak-kanak. Empat orang anak kandungnya pula telah dewasa termasuk tiga daripada mereka ketika ini sedang menuntut di luar negara.

"Dengan kehadiran kanak-kanak itu, ia memecah kesunyian rumah saya, terutamanya selepas pulang daripada kerja," kata Kamaliah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Batik santai glamor

Posted:

Batik santai glamor

Batik santai glamor


DI butik Karyaneka, pengunjung berpeluang memiliki koleksi pakaian berasaskan batik dalam pelbagai warna dan corak terkini.


TIDAK berkesempatan ke Terengganu atau Kelantan untuk membeli koleksi busana berasaskan batik? Tidak mengapa, kerana anda masih berpeluang membelek dan memiliki busana tersebut di ibu negara.

Jika mempunyai kelapangan, luangkan masa seketika dengan mengunjungi butik Karyaneka yang beroperasi di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Butik yang dibuka setiap hari itu menawarkan bermacam-macam koleksi fesyen batik yang moden dan kontemporari. Justeru, bagi mempromosikan seleksi batik yang dijual di situ, satu pertunjukan fesyen bertemakan Santai-Santai Glamor telah diadakan dalam suasana meriah.

Menurut Pengarah Urusan Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd., Zuraidah Abd. Razak, pertunjukan fesyen Santai-Santai Glamor dianjurkan bagi memaparkan keindahan koleksi busana batik yang mengikut trend fesyen semasa dan kehendak pasaran.

Inisiatif tersebut dipraktikkan memandangkan pemakaian batik kini bukan sahaja sesuai digayakan pada majlis formal atau majlis keramaian malah ia antara busana ideal dipakai sewaktu bersantai dan kasual.

"Atas faktor berkenaan, pihak Karyaneka sentiasa mengalu-alukan kelompok pereka, peniaga dan pengusaha batik menjual hasil rekaan mereka di butik Karyaneka. Ini bagi memudahkan pengunjung memilih koleksi pakaian dan aksesori batik yang ditawarkan di bawah satu bumbung.

"Setakat ini Karyaneka sudah memiliki 213 pereka dan pengusaha batik yang mengambil peluang memasarkan produk mereka untuk orang ramai," tutur Zuraidah pada majlis Santai-Santai Glamor yang berlangsung di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Tambah Zuraidah, Karyaneka sentiasa menyediakan ruang buat pereka fesyen dan pengusaha batik tempatan terus menjual busana dan corak batik rekaan mereka.

Jika produk tempatan mendapat perhatian dan menjadi ikutan pelbagai lapisan masyarakat, maka ia membuktikan Karyaneka berjaya menjadi hab dan pencetus industri batik tempatan.

"Sebagai rakyat Malaysia, sudah menjadi tanggungjawab bersama kita memartabatkan produk tempatan. Jika bukan kita, siapa lagi?" saran Zuraidah yang teruja dengan koleksi busana batik yang diperagakan barisan model jejaka dan wanita pada petang tersebut.

Konsep rekaan


KREATIF. Padanan korset bersama kain pario rona terang ideal digayakan pada majlis formal dan keramaian.


Buktinya, sepanjang pertunjukan fesyen berkenaan, para tetamu dipersembahkan dengan variasi busana batik konsep moden, elegan dan santai.

Sebanyak 40 koleksi batik diperagakan dan ia terdiri daripada kaftan, blaus, dres dan kemeja. Ini termasuklah, kombinasi bengkung polos yang digayakan bersama pario dan selendang rona terang.

Bagi golongan wanita yang bertudung atau gemarkan busana potongan longgar, kaftan dan dres labuh ala jubah moden antara pilihan yang sesuai. Kedua-dua koleksi tersebut bukan sahaja cantik dan menawan digayakan sewaktu menghadiri majlis makan malam, malah ia boleh dipakai ke majlis perkahwinan yang lazimnya menyarankan agar para tetamu tampil sopan.

Bertambah menarik, selain daripada peragaan kaftan labuh, para tetamu turut dapat menyaksikan sesi peragaan kaftan pendek yang dipadankan bersama seluar potongan tirus, pario dan legging. Pastinya, koleksi itu bakal menggamit perhatian golongan muda yang gemarkan konsep ranggi dan stailo.

Koleksi busana batik Santai-Santai Glamor nampaknya lebih menjurus pada rekaan untuk dipakai dalam mood relaks, ringkas dan tidak sarat dengan perincian serta teknik jahitan pelbagai.

Menyentuh dari segi warna pula, himpunan Santai-Santai Glamor menawarkan himpunan busana warna terang dan ceria. Secara tidak langsung, ia membantu menyuntik penampilan yang berani dan memukau sekali gus mengajak wanita tempatan bermain dengan nuansa biru, merah, kuning, ungu, merah serta merah jambu terang berbanding warna hitam, putih atau kelabu.

Sementara itu, aspek perincian juga dititikberatkan. Memahami fabrik batik sudah sarat dengan corak dan lakaran pelbagai motif maka pereka dan pengusaha mengambil pendekatan menerapkan perincian yang ringkas. Taburan manik, batu permata dan labuci kebanyakannya menghiasi bahagian leher, pergelangan tangan, kaki baju dan bahagian dada.

– IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Setiausaha tampil formal

Posted:

Setiausaha tampil formal

Setiausaha tampil formal

BULAN April cukup dikenali dengan bulan meraikan para setiausaha sama ada yang berkhidmat di pejabat kerajaan, swasta mahupun syarikat berskala kecil. Disebabkan itu, jika diperhatikan apabila menjengah saja bulan April, kebanyakan pihak hotel mengambil kesempatan menganjurkan Majlis Minggu Setiausaha. Selain disajikan hidangan yang lazat, para setiausaha turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan komedi daripada selebriti jemputan.

Mengimbas kembali Minggu Setiausaha Kebangsaan yang dimulakan sejak tahun 1952, ia merupakan idea daripada usaha pegawai seranta New York, Harry F. Klemfuss yang bertujuan menghargai kelompok pekerja yang terdiri daripada setiausaha, kerani dan penyambut tetamu.

Sebelum ini, Minggu Setiausaha diraikan pada bulan Jun, namun pada tahun 1981 ia ditukarkan pada bulan April dengan nama Minggu Setiausaha Profesional.

Oleh itu, sempena Minggu Setiausaha ruangan Riak Rias minggu ini menampilkan beberapa aspek pemakaian dan tata rias yang wajar dipraktikkan dalam kalangan setiausaha. Kunci utama penampilan setiausaha ialah kemas, formal dan bersih.

ETIKA PAKAIAN

UMUM mengetahui tugas setiausaha adalah menguruskan kerja-kerja rasmi mengikut arahan majikan seperti proses dokumentasi, mengatur jadual dan temu janji antara bos dan pihak lain. Oleh itu, sebagai setiausaha yang bertindak sebagai orang tengah, anda sentiasa disaran agar tampil kemas dan formal ke pejabat.

Bagi mereka yang selesa bergaya dengan baju tradisional seperti baju kurung dan kebaya, pastikan anda memilih warna-warna lembut dan ceria. Elakkan perincian manik atau labuci yang terlalu sarat kerana konsep busana sedemikian hanya sesuai untuk majlis makan malam dan keraian.

Selain itu, setiausaha juga digalakkan memakai sut formal sama ada kombinasi kemeja, jaket atau seluar lambuk iaitu seluar potongan longgar yang diperbuat daripada fabrik lembut. Bagi mengelakkan kebosanan pada pemakaian harian anda boleh gantikan seluar tersebut pada skirt separa lutut.

Jika memilih sut polos suntikan mood ceria dengan aksesori pilihan seperti skaf bercorak atau sematkan kerongsang di bahagian dada kiri atau kanan.

Golongan setiausaha perlu sentiasa menjaga etika pakaian. Jangan memilih pakaian yang terdedah, ketat sehingga menampakkan susuk badan dan tidak wajar menyarungkan pakaian yang terdiri daripada seluar jean dan baju T. Pejabat adalah tempat untuk setiausaha bekerja dan bukannya tempat untuk bersantai.

SELEKSI BEG TANGAN

SELAIN membawa beg tangan yang menyimpan barang-barang peribadi seperti kosmetik, dompet atau telefon bimbit, jangan ketinggalan mendapatkan sebuah beg bimbit rona gelap. Ia memudahkan anda menyimpan dokumen, diari dan fail majikan. Secara tidak langsung penampilan anda tampak lebih terurus dan kemas. Jangan sesekali membawa beg silang.

PESONA KELOPAK MATA

MENYENTUH rias kelopak mata pula, hiasi jendela mata dengan sapuan maskara dan penggaris mata rona hitam atau coklat. Pada bahagian kelopak mata, memadai dengan olesan pembayang mata warna-warna semula jadi dan lembut. Solekan mata juga penting kerana ia membantu menyegarkan wajah yang kadangkala keletihan gara-gara beban kerja yang menimbun.

Namun, anda tidak digalakkan mempraktikkan solekan smokey eyes kerana teknik solekan berkenaan dianggap terlalu tebal dan tidak sesuai untuk penampilan ke pejabat yang menjurus pada konsep formal dan kemas.

CALITAN GINCU BIBIR

USAH biarkan bibir kelihatan polos tanpa sebarang olesan gincu bibir. Jika tidak sempat bersolek pada awal pagi, pastikan wajah anda ceria dengan sekurang-kurangnya mencalit gincu bibir warna merah, merah jambu atau warna semula jadi. Ini bagi mengelakkan wajah kelihatan suram dan tidak bermaya.

Namun begitu, elakkan memakai gincu daripada palet warna ungu, hijau dan biru kerana nuansa sedemikian hanya ideal untuk tata rias ke parti dan majlis bertema.

PILIHAN SEPATU

PEMILIHAN kasut juga memainkan peranan yang penting dalam etika pemakaian ke pejabat. Bagi menampakkan penampilan yang formal pastikan anda memilih kasut yang bersesuaian seperti bertutup dan bertumit atau kasut baji. Menyarungkan selipar pantai atau selipar santai yang kerap dipakai sewaktu membeli-belah merupakan tindakan yang kurang bijak. Penampilan yang kemas dan formal mencerminkan tahap kesungguhan serta disiplin anda sebagai pekerja yang beretika.

DANDANAN RAMBUT

JANGAN biarkan rambut anda tidak terurus ketika hadir ke pejabat. Sekiranya tergesa-gesa untuk tiba ke pejabat, langkah mudah adalah dengan menyikat rapi dan mengikat ala ekor uda atau buat sanggul. Memakai cekak rambut dan biarkan rambut mengurai kemas juga sudah memadai.

Namun, sekiranya mempunyai waktu untuk bersiap maka ambil kesempatan itu untuk melakukan dandanan rambut yang bersesuaian. Bagi mendapatkan dandanan kekal dalam tempoh yang panjang, gunakan penyembur rambut atau wax.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kosmo Online - Varia

Posted: 10 Apr 2011 11:27 AM PDT

Kosmo Online - Varia


Kelas pastri hujung minggu

Posted:

Kelas pastri hujung minggu

Kelas pastri hujung minggu


TUNJUK ajar dan latihan bertaraf kursus pastri antarabangsa ini menanti penyertaan ramai.


SEJAK dibuka pada bulan Jun 2010, Akademi Seni Pastri Malaysia yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor, menerima maklum balas positif dalam kalangan peminat pembuat pastri tempatan. Rata-rata yang mendaftar lebih cenderung untuk mendalami ilmu pembuatan pastri Perancis seperti macaroon.

Di akademi berkenaan, para pelajar bukan sahaja didedahkan pada teknik membuat pastri yang betul malah belajar di dalam kelas yang selesa dan dilengkapi pelbagai alatan serta kemudahan. Antaranya seperti bilik membuat coklat, bilik membuat roti, bilik membuat pastri dan bilik membuat kek perkahwinan. Ini termasuklah menyediakan ruang istirehat untuk ketua chef dan bilik kelas teori.

Akademi Seni Pastri itu diterajui oleh Chef Guillaume Lejeune dan chef pastri, Chef Eksekutif Frederick Oger.

Berpegang pada matlamat untuk menjadi salah sebuah pusat pembelajaran pastri terbaik di Asia Tenggara, akademi tersebut turut mendapatkan bantuan daripada tenaga pengajar yang terdiri daripada chef-chef tempatan. Tidak ketinggalan, ia juga menjemput chef terkenal dari serata dunia untuk berkongsi ilmu masakan bersama para pelajar.

"Pada mulanya, kami menerima pelajar yang langsung tidak mempunyai asas dan teknik membuat biskut dan pastri apatah lagi membuat roti.

"Namun menariknya, sebaik saja menamatkan kursus selama tiga bulan para pelajar sudah berkebolehan menghasilkan petit fours iaitu kuih manis bersaiz kecil, menghias kek perkahwinan dan membuat roti," Pengarah Kajian Pastri, Akademi Seni Pastri Malaysia, Chef Guillaume Lejeune.

Setakat ini, akademi yang terletak bersebelahan Hotel Hilton, Petaling Jaya itu, mempunyai lebih kurang 120 orang pelajar yang menyertai kursus-kursus yang ditawarkan. Kemahiran yang diperoleh berkat pengajian di sana telah melayakkan segelintir pelajar diterima menjalankan amali di rangkaian hotel antarabangsa, membuka perniagaan kek dan roti sendiri serta memperluaskan kemahiran memasak.


MACAROON dan coklat lazat sudah menjadi kegilaan rakyat Malaysia.


Sehubungan itu, bagi menggalakkan orang ramai mahir dalam proses pembuatan pastri dan meningkatkan teknik atau resipi maka Akademi Seni Pastri Malaysia membuka kursus seni dan memasak kek dan roti untuk tahun 2011.

"Kursus intensif ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pakar seni pembuatan pastri yang berkemahiran. Mereka juga dilatih agar bersedia dari segi mental serta fizikal untuk berkhidmat dalam industri hotel dan industri berkaitan pastri," tambah Lejeune.

Kursus yang berlangsung dalam tempoh tiga bulan tersebut dikenakan yuran pengajian bermula pada RM10,600. Kemasukan untuk tahun 2011 mula dibuka pada 16 Februari, 9 Mac, 4 April, 18 Mei dan 13 Jun.

Dalam pada itu, bagi menyediakan lebih banyak tempat dan peluang kepada peminat pastri yang tidak dapat menghadiri kursus pensijilan sepenuh masa, Akademi Seni Pastri Malaysia telah melancarkan Kursus Profesional Hujung Minggu. Ia dijalankan setiap hari Sabtu dan Ahad selama 12 minggu. Kursus itu sudahpun bermula pada 5 Mac lalu dengan yuran sebanyak RM5,000.

"Para pelajar akan dilatih dan diajar secara perseorangan untuk memastikan mereka mendapat tunjuk ajar sepenuhnya, latihan secara amali dan pendedahan berulang untuk teknik, penggunaan peralatan dan ramuan pastri terbaik," tambah Lejeune yang berpengalaman selama 13 tahun dalam bidang masakan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Avon hargai wanita gigih

Posted:

Avon hargai wanita gigih

Avon hargai wanita gigih

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my


MANSOOR bersama Poh Yen (kiri) dan Sharmila.


BAGI seorang wanita yang ingin mempunyai kehidupan seimbang dalam kerjaya dan rumah tangga, Sharmila Ismail, 35, adalah contoh yang baik untuk diikuti. Dia bukan sahaja mempunyai perniagaan yang berjaya malah dapat menghabiskan banyak masa bersama keluarga.

Ibu kepada empat anak itu asalnya hanyalah seorang pembantu kedai kasut sebelum bertukar kerja beberapa kali dan akhirnya membuat keputusan menjadi suri rumah sepenuh masa. Dia juga membuat keputusan untuk menceburi bidang kecantikan.

"Pada masa itu, saya hanya memikirkan untuk mempunyai kerjaya yang dapat membantu meringankan beban keluarga dan pada masa sama dapat memberikan perhatian kepada keluarga.

"Berkat kesungguhan saya menjual produk ini, saya berjaya mencapai jualan sehingga RM350,000 tahun lalu. Ia adalah jumlah tertinggi yang pernah saya peroleh," katanya pada sambutan 125 tahun Avon di ibu pejabat Avon baru-baru ini.

Menurut Sharmila, dia berusaha bersungguh-sungguh mendalami selok belok perniagaan dan mengumpul downline untuk mencapai matlamatnya menjadi antara wakil Avon terbaik.

"Berkat perniagaan ini, saya berpeluang mengunjungi beberapa buah negara yang selama ini hanya dapat saya bayangkan dalam mimpi.

"Negara yang pernah saya kunjungi antaranya Britain, Perancis, Jepun dan Turki serta bakal ke Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, pada majlis tersebut, para jemputan media disambut warga kerja Avon dan juga wakil Avon yang tampil dengan penampilan ala zaman 1880.

Acara diikuti dengan sesi lawatan media ke kilang, kawasan pengangkutan, bahagian pemasaran dan bahagian jualan Avon.

Takdir bertukar >

Sementara itu, turut dianugerahkan kejayaan sama, Kam Poh Yen, 40 yang memberitahu, perniagaan Avon telah mengubah kehidupannya yang serba kekurangan kepada serba mewah hasil kesungguhan menjual produk bersama kumpulannya.

"Sebelum menjalankan perniagaan ini, saya hanya memiliki motosikal buruk tetapi kini saya memiliki sebuah banglo dan dua buah kereta mewah.

"Menerusi peluang yang Avon berikan menerusi pinjaman tanpa cagaran, saya memanfaatkan sepenuhnya kredit yang diberi," katanya yang berjaya menjual barangan Avon sebanyak RM1.2 juta bersama kumpulannya tahun lalu.

Menurut Poh Yen, dia bekerja keras untuk mencapai apa yang dia miliki kini. Dia memanfaatkan peluang yang diberikan Avon dan mengikuti latihan-latihan yang dijalankan bagi memantapkan perniagaannya.

"Atas bimbingan yang diberikan, saya semakin bersemangat untuk bekerja keras dan tidak berputus asa dengan mudah. Suami juga menyokong kerjaya saya dan banyak membantu saya dalam mengembangkan perniagaan ini," katanya yang berpeluang bercuti ke Switzerland dan bakal ke New Zealand pada tahun ini.

Dalam pada itu, Presiden Avon Malaysia, Mansoor Wan Abdullah berkata, Avon kini mempunyai kira-kira 450,000 wakil penjual Avon dan 180 rangkaian butik francais di seluruh negara.

"Sebagai syarikat jualan langsung barangan kecantikan yang terbesar di dunia, Avon bukan sahaja mencantikkan kaum wanita tetapi juga memberi peluang pendapatan kepada ramai wanita menjalankan perniagaan.

"Avon turut memberi suntikan modal sehingga RM70,000 untuk memulakan perniagaan. Ia menjadi pemangkin kepada ramai wanita untuk menjana pendapatan lebih bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Turut hadir ialah duta-duta Avon iaitu pengacara TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain yang mewakili duta alat mekap Avon Color dan pelakon terkenal, Nor Fazura Sharifuddin yang menjadi duta haruman Avon.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Utusan Online - Feminin

Posted: 10 Apr 2011 09:15 AM PDT

Utusan Online - Feminin


Shita pemuja KFC nombor satu

Posted:

Shita pemuja KFC nombor satu

Shita pemuja KFC nombor satu

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
Foto WAHIDAH ZAINAL


Koleksi Colonel Sanders Around The World yang mewakili 16 negara termasuk Malaysia.


SESEORANG pasti teruja melihat himpunan cenderamata berjenama syarikat makanan segera, Kentucky Fried Chicken (KFC) ini. Ada hiasan patung kartun, kereta mini, alat tulis, lencana, bingkai gambar, pinggan, tabung, tanah liat, alas gelas, buku nota, kole dan walkman.

Menariknya, kesemua barangan berkenaan adalah edisi terhad. Proses untuk memiliki setiap barangan mengambil masa dan dilalui dengan penuh sabar. Segala-galanya tidak mustahil buat Normashita Abdul Manap.

Mengimbas koleksi peribadi yang disusun rapi, Shita memberitahu, 'misi' mengumpul bermula seawal 1990 ketika dia masih di bangku sekolah.

Hatinya sering menjerit setiap kali melintas di restoran KFC di Bentong, Pahang. Dia ke situ hanya untuk melakukan aktiviti 'wajib' - sudah pastinya mengintai ruangan pameran berkaca di depan premis berkenaan.

Tujuan Shita untuk mencari apa yang terbaru dari KFC. Sama ada berbentuk promosi atau cenderamata yang ditawarkan. Antara yang menjadi minat utamanya adalah patung ayam KFC.

Berazam

Dari situ, anak sulung daripada lima beradik ini mula menanam azam mahu memiliki rangkaian cenderamata jenama KFC. ''Masih dalam ingatan, saya mengikat perut. Duit belanja ke sekolah saya simpan. Walaupun jumlahnya tak banyak tak mengapa. Saya kumpul sikit-sikit asalkan barangan cenderamata KFC dapat dibeli,'' katanya pada pertemuan baru-baru ini.

Ditanya apa yang menarik perhatian Shita untuk menjadi peminat nombor satu jenama makanan segera itu, wanita itu menyungging senyum.

Katanya, semuanya kerana logo KFC. Dia menjadi taksub dan mahu mengumpul seberapa banyak barangan dari rangkaian KFC. Selain itu, Shita tertarik dengan kombinasi warna terang iaitu merah dan kuning.

Tidak hairanlah kalau Shita sudah memiliki lebih 100 koleksi barangan cenderamata KFC. Semuanya disimpan baik di almari lutsinar manakala sebahagian lagi disimpan baik di plastik.

Mengajukan persoalan sama ada Shita akan berhenti mengumpul barangan cenderamata KFC, pantas peminat penyanyi Datuk Siti Nurhaliza ini menggelengkan kepala.

Anak kebanggaan Abdul Manap Abdul Aziz dan Normah Hanipah itu tidak berhajat untuk berhenti menyokong produk keluaran KFC.

Pembantu tukang masak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting (GICC) Pahang itu juga menegaskan hobinya bersifat sentimental.

Ditanya lanjut tentang perincian minatnya, dia menyatakan bahawa kesemua koleksinya itu antara 'harta' berharga setakat ini.

Apatah selepas asetnya menjadi rebutan setiap kali anak saudaranya pulang ke rumah kediaman ibu bapanya di Kampung Bukit Piatu, Bentong Pahang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ara jadi pendengar setia

Posted:

Ara jadi pendengar setia

Ara jadi pendengar setia

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
Foto JEFRI IRAN
Solekan ANNASHA http://annashahana.blogspot.com
Dres YASALMA COLLECTION (013-3487508)



PEMILIK nama penuh Farah Najwa Zulkifly pernah menggenggam cita-cita untuk bergelar peguam. Justeru peluang melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam bidang syariah dan undang-undang di Kolej Univeristi Islam Selangor tidak disia-siakan.

Namun mungkin sudah tertulis, rezeki si cantik manis yang berasal dari Raub, Pahang ini bukan pada bidang guaman. Selepas menamatkan pengajian diploma, nalurinya lebih terarah untuk bergelar kaunselor atau pakar motivasi pula. Lantaran merasakan profesion itu amat cocok dengan dirinya, Ara tidak teragak-agak untuk melanjutkan pengajian kaunseling peringkat ijazah di Universiti Sains Islam Malaysia.

"Saya melihatnya dari sudut positif. Bagi saya, menjadi seorang kaunselor sangat mencabar. Bukan senang untuk membantu menyelesaikan masalah dan menaikkan semangat seseorang.

"Kita perlu menjadi pendengar yang setia dan mendalami permasalahan orang lain sebelum membantu mereka menyelesaikannya," kata wanita berusia 24 tahun itu.

Memiliki sepasang mata dan senyuman menawan, Ara masih lagi dibaluti kegembiraan selepas dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua Pencarian Model Tudung Fareeda - Kosmo yang berlangsung baru-baru ini.

Baginya kejayaan tersebut menjadi dorongan kuat untuk terus mengejar impian. Penglibatan dalam bidang peragaan juga katanya menambah keyakinan dalam diri untuk menjadi seorang kaunselor yang berjaya kelak.

"Dulu sebenarnya saya sangat pemalu dan tidak pandai membawa diri terutama di hadapan khalayak. Namun setelah menyertai dunia peragaan, keyakinan mula datang secara perlahan-lahan dan kini saya tidak gementar lagi," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Utusan Online - Kesihatan

Posted: 10 Apr 2011 03:05 AM PDT

Utusan Online - Kesihatan


Satu individu dua personaliti

Posted:

Satu individu dua personaliti

Satu individu dua personaliti

Oleh BINTU RASYADA A.RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my


Kanak-kanak yang menjadi mangsa dera ibu bapa atau penjaga cenderung untuk mengalami masalah kecelaruan personaliti.


BAGI peminat filem sekitar tahun 90-an, tentu masih ingat dengan Primal Fear, sebuah filem pembunuhan kejam yang dilakonkan oleh Richard Gere dan Edward Norton.

Filem adaptasi novel nukilan William Diehl yang dihasilkan pada tahun 1993 itu mengisahkan seorang peguam, Martin Vail (lakonan Gere) bertanggungjawab membela seorang budak altar, Aaron Stampler (Norton), yang menghadapi pertuduhan membunuh Ketua Biskop Katolik.

Ketika awal pembelaan, Vail sangat percaya anak guamnya itu tidak bersalah dan kesal dengan pendakwaraya, Janet Venable, iaitu bekas kekasih Vail sendiri.

Daripada penyelidikan yang dilakukan, peguam itu mendapati Ketua Biskop menerima banyak ugutan bunuh daripada beberapa individu yang marah dengan keputusannya yang tidak mahu pembangunan dijalankan di tanah gereja.

Selain itu, Vail juga mendapati Ketua Biskop juga pernah mencabul beberapa budak altar termasuk Stampler sendiri. Bagaimanapun, bukti tersebut tidak kukuh. Perbicaraan yang berjalan seakan tidak memihak kepada Stampler dan pandangan awam turut mengatakan dia hampir bersalah.

Suatu hari, ketika Vail berdepan dengan anak guamnya dan menuduh dia menipu, Stampler tiba-tiba berubah personaliti seratus peratus dan menjadi seorang yang beremosi bernama Roy. Dia mengaku membunuh Ketua Biskop dan mencederakan Vail dengan cara mencampakkan ke dinding.

Bila insiden itu berakhir, Stampler seakan langsung tidak ingat peristiwa tersebut. Dia dibawa ke pakar psikiatri. Stampler disahkan menderita kecelaruan pelbagai personaliti berikutan pengalaman didera bapa ketika kecil.

Watak Aaron Stampler merupakan satu contoh keadaan seseorang yang mengalami personaliti bercanggah atau juga disebut dissociativeidentity disorder (kecelaruan identiti terpisah - DID). Kadangkala masalah tersebut juga dirujuk sebagai kecelaruan pelbagai personaliti (MPD).

Pakar Psikiatri dari Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya, Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, DID adalah penyakit mental yang menyebabkan pengidapnya mempunyai sekurang-kurangnya dua identiti jelas (boleh jadi lebih) atau keadaan personaliti yang berubah-ubah dalam waktu yang berlainan.

"Memang keadaan begini berlaku dan bukan satu rekaan. Mereka yang mempunyai masalah ini tergolong dalam masalah kecelaruan personaliti. Namun disebabkan peratusan sangat rendah iaitu sekitar 1 atau 2 peratus daripada mereka yang mengalami masalah mental secara keseluruhan, DID jarang disebut," katanya.

Individu dengan DID kata beliau, didapati mempunyai keadaan personaliti berbeza dari segi penampilan, reaksi, emosi, mimik muka malah nadi dan tekanan darah juga boleh berlainan. Mereka juga boleh lupa dengan watak yang satu lagi pada satu ketika.

Jelas beliau, seseorang yang mengalami masalah tersebut mempunyai karakter lebih daripada satu dengan pakej kecelaruan personaliti berlainan.

Antara masalah kecelaruan personaliti yang sering berlaku adalah paranoid, skizofrenia, borderline, melingeringue dan narcissistic.

Di Malaysia katanya, masalah DID jarang disebut tetapi di luar negara misalnya, pembunuh bersiri mungkin boleh dikaitkan dengan masalah itu.

Ditanya adakah penghidap DID biasanya mempunyai rekod jenayah kata beliau, ia tidak semestinya namun sekiranya berlaku, ia lebih mudah dikesan.

Menurutnya, pengesanan sukar dijalankan kerana bukti yang tidak kukuh dan soal personaliti adalah sesuatu yang bersifat subjektif. Biasanya ia mengambil masa yang lama iaitu lebih daripada tujuh atau lapan tahun.

Punca

Pembentukan personaliti seseorang itu bermula ketika remaja dan kanak-kanak, kata Dr. Muhammad Muhsin.

Biasanya mereka yang mempunyai DID berpunca daripada penderaan fizikal dan seksual ketika kanak-kanak dan remaja. Mereka membesar sebagai seorang pendendam dengan jiwa yang tertekan.

Perasaan marah sentiasa ada dalam diri dan sedikit demi sedikit memori tersebut akhirnya membentuk satu karakter berlainan daripada karakter utama.

Ramai yang tidak percaya individu terbabit mempunyai masalah mental dan beranggapan mereka hanya berlakon atau berpura-pura. tetapi sebenarnya keadaan itu berkaitan dengan masalah DID.

Individu yang didiagnos dengan DID menunjukkan simptom yang berbeza-beza dari satu masa ke semasa. Ia boleh berlaku daripada keadaan sedikit yang sukar dikesan sehingga boleh menjejaskan keseluruhan watak.

Peringkat pengembangan berkaitan DID diteori seperti berikut:

1. Kanak-kanak didera oleh penjaga yang sangat dipercayai (biasanya ibu bapa atau penjaga) dan ingatan terhadap kejadian itu bertindih kerana hubungan yang masih terjalin.

2. Memori dan perasaan terpisah di bawah sedar dan akan dirasai kemudian dalam bentuk personaliti berasingan.

3. Proses berlaku berulangkali pada masa berlainan. Maka pelbagai personaliti dibentuk, yang terbina daripada peristiwa berbeza. Ia dipersembahkan kepada fungsi yang berbeza sama ada baik atau merosakkan.

Percanggahan personaliti menjadi mekanisme penting individu tersebut bila berhadapan dengan situasi yang tertekan.

Menipu juga DID?

Dr. Muhammad Muhsin berkata, orang yang sering menipu untuk kepentingan sendiri juga sebenarnya mempunyai masalah yang berkaitan dengan kecelaruan personaliti dan DID.

Misalnya masalah melingeringue atau factitious disorder, yang mana berkecenderungan untuk menipu demi kepentingan sensiri.

"Individu jenis ini mempunyai sesuatu yang hendak dicapai dalam hidup dan melakukan sesuatu dengan tujuan tertentu misalnya untuk mendapat bantuan atau pangkat," katanya.

Antara contoh yang paling mudah adalah individu yang berbohong di mahkamah untuk mengelak daripada hukuman atas kesalahan tertentu misalnya dengan berpura-pura sakit mental dan sebagainya. Tetapi bila dijalankan ujian, individu itu langsung tidak mempunyai masalah tersebut.

Contoh kecelaruan personaliti yang lain pula kata Dr. Muhammad Muhsin, adalah narcissistic iaitu cenderung menceritakan kebaikan diri sendiri. Misalnya, seorang pemimpin yang ego dan merasakan dirinya telah melakukan banyak kebaikan dan sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kedudukannya.

Namun katanya, keadaan itu agak subjektif kerana sebagai manusia biasa sesiapa pun pastinya akan menjaga kepentingan sendiri terlebih dahulu sebelum memikirkan orang lain.

Ditanya sama ada individu homoseksual juga tergolong dalam DID kata beliau, ia boleh berlaku.

Disebabkan seks itu sendiri merupakan satu pembentukan karakter, maka seseorang yang memiliki dua karakter seks mempunyai kecelaruan personaliti.

Hal itu juga berlaku kepada mereka yang bertukar jantina.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Salur darah jejas penampilan

Posted:

Salur darah jejas penampilan

Salur darah jejas penampilan


KEADAAN Telangiectasias pada bahagian kaki atau paha boleh membawa kesan memudaratkan.


JUNITA berasa kurang senang melihat belakang betisnya yang bertompok-tompok biru. Terdapat juga salur darah kecil di situ menyebabkan tompok-tompok itu berwarna gelap. Menurut Junita salur darah halus yang pada asalnya hanya sedikit. Namun ia menjadi lebih banyak setelah usianya menjangkau 35 tahun. Dia pernah mendengar pengalaman seorang rakannya yang mempunyai banyak salur darah halus di paha dan kaki yang semakin membesar dari hari ke hari. Menurut Junita, rakannya mengadu kesakitan dan sering mengalami masalah berkudis di tempat salur darah itu membesar. Dia khuatir akan ditimpa masalah yang sama jika masalahnya itu tidak dirawat segera.

Dia ingin tahu apakah punca berlaku masalah sedemikian dan apakah yang harus dilakukannya untuk mengelak perkara itu berulang. Junita yang gemar menggayakan kasut tumit tinggi tertanya-tanya apakah kegemarannya itu yang menjadi penyebab masalah tersebut?

Telangiectasias adalah salur darah kecil yang berada dekat pada permukaan kulit dan membran berukuran dalam 0.5 dan 1 mm. Ia boleh terbentuk di mana mana sahaja namun sering kelihatan pada hidung pipi dan dagu. Ia sering kali juga di lihat pada kaki, paha, sekitar lutut dan pergelangan kaki. Ia mungkin merupakan sekumpulan arterioles, kapilari darah atau pun venules yang terhasil secara semula jadi mahupun disebabkan oleh tekanan darah yang tinggi. Kemungkinan juga ia terjadi akibat salur darah yang bengkok dan berpusar secara semula jadi.

Sebab-sebab lain termasuklah perubahan usia.

Telangiectasias mula terhasil pada usia 18 hingga 35 tahun dan mula meningkat pada usia 50-an dan 60-an. Besar kemungkinan faktor graviti dan kekurangan kolagen kulit membuatkan seseorang berusia mudah mendapat telengiectasias.

Kehadiran telengiactasias tidak disenangi kerana ia mempengaruhi penampilan terutamanya telengectasia pada muka yang sering dilihat terutamanya bagi wanita berusia empat puluhan ke atas.

Penggunaan kosmetik yang mempunyai bahan kimia juga membentuk rosacea (wajah kemerah-merahan) dan mungkin mencetus telengectiasis pada kulit. Oleh kerana ia lebih kelihatan pada kaum wanita berbanding lelaki tidak mustahil hormon sewaktu hamil meningkatkan penghasilannya. Rahim yang berat sewaktu hamil juga mampu menekan salur vena membuatkan gejala ini mudah terjadi.

Gaya hidup dan pekerjaan seseorang turut mempengaruhi kejadian ini. Mereka yang dikesan menghabiskan sejumlah besar masa duduk atau pun berdiri mudah terkena masalah ini pada kaki. Apabila seseorang berdiri terlalu lama saluran vena yang membawa darah dari kaki naik ke jantung mula mengembang. Graviti pula menarik darah ke kaki semula. Ini menyebabkan darah berkumpul di saluran yang kembang itu. Apabila salur darah sebegini menjadi nipis, darah boleh melaluinya menyebabkan tisu-tisu menjadi alah kepada hemoglobin yang mengandungi ferum. Kesan alahan mencetuskan gatal-gatal dan kudis. Adakalanya salur darah pecah mencetuskan perdarahan pula. Hal ini dinamakan vena varikos. Beza vena varikos dengan telengectasia ialah saiznya yang besar dan melebihi 2 mm.

Rawatan

Telengiectasis pada kaki boleh dirawat dengan sistem laser manakala vena varikos pula sesuai dirawat secara pembedahan. Pembedahan yang dimaksudkan ialah scleroterapi iaitu dengan memasukkan cecair bersifat mematikan salur darah itu. Salur darah yang mati akan menjadi keras dan ia kemudian disiat keluar. Terdapat juga kaedah menggunakan laser yang dimasukkan ke dalam salur darah dengan kanula khas. Laser turut bersifat memusnahkan salur darah yang rosak akibat varikos. Bagi mereka yang mudah mendapat varikos, penggunaan stoking elastik adalah baik bagi mengurangkan gejala ini. Stokin digunakan pada waktu mereka bergerak atau berdiri membantu mengurangkan salur darah daripada membesar.

Dalam perubatan aestetik laser yang digunakan bersifat lembut namun mampu masuk ke dalam kulit dan memusnahkan salur darah itu. Oleh kerana sifat salur darah yang terletak jauh ke dalam kulit, laser yang digunakan adalah jenis long pulse iaitu yang mempunyai jalur gelombang panjang. Laser ini mampu membekalkan tenaga yang cukup jauh ke dalam.

Penggunaan laser seperti ini haruslah dibuat secara berkala iaitu sebanyak tiga atau empat kali rawatan mungkin diperlukan jika banyak salur darah yang ingin dihapuskan.

Telengiectasis pada muka pula memadai dirawat dengan sistem laser sahaja. Bagi menentukan kejayaan rawatan saiz salur darah adalah penting. Hanya salur darah bersaiz 2 milimeter ke bawah sahaja sesuai dirawat. Apabila sudah besar ia menjadi sukar kerana lebih banyak tenaga laser diperlukan dan tenaga yang tinggi dikhuatiri merosakkan sel-sel kulit kita. Oleh itu saya mencadangkan rawatan awal bagi kes sebegini. Jika di biarkan lama ia akan menjadi lebih besar dan akan menyukarkan rawatan .

Laser merawat telengictasia mempunyai afiniti kepada oksihemoglobin. Partikel oksihemoglobin dalam darah akan menyerap laser ini dan akhirnya akan memusnahkan salur darah itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kosmo Online - Kesihatan

Posted: 10 Apr 2011 01:36 AM PDT

Kosmo Online - Kesihatan


Renjatan jantung Malek Noor

Posted:

Renjatan jantung Malek Noor

Renjatan jantung Malek Noor

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
afzan.kasiman@kosmo.com.my


MALEK tidak berhenti mengucap syukur selepas sedar dari pengsan.


MINGGU lalu, jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor, 56, rebah di padang bola sepak di Ipoh, Perak selepas mengalami sesak nafas.

Dia dikejarkan ke Hospital Pantai Ipoh dan doktor yang memeriksanya mendapati dua saluran arteri jantung milik penyandang enam kali Mr. Asia kategori heavyweight itu tersumbat.

Ekoran masalah itu, Malek telah diberi rawatan angioplasti iaitu pembedahan untuk membentuk semula pembuluh darah. Keadaannya bertambah baik dan stabil selepas itu.

Ditebak soalan punca serangan tersebut, anak kelahiran Batu Pahat, Johor, ini masih mencari jawapannya.

"Saya terkejut dengan serangan tersebut kerana menurut doktor kandungan kolesterol dalam badan saya tidak terlalu tinggi.

"Bagaimanapun, saya sangat bersyukur kepada Allah kerana sudah beransur sihat dan boleh pulang ke rumah. Pengalaman diserang penyakit jantung memang sukar untuk digambarkan.

Tersumbat

"Kalau ditanya bagaimana perasaan saya, rasanya seperti mati hidup semula. Sebaik saja sedar, saya hanya mampu mengucap kalimah syahadah sambil menangis," katanya.

Serangan jantung Badang Asia itu mengejutkan banyak pihak.

Ini kerana dia bukan sahaja bertubuh sasa bahkan diiktiraf sebagai seorang jaguh bina badan. Malah, dia kini merupakan pengarah eksekutif di sebuah pusat kecergasan.

Namun, insiden baru-baru ini membuktikan manusia yang terkenal dengan rutin bersukan dan mempunyai pengetahuan luas dalam pengambilan makanan sihat pun masih terdedah kepada serangan jantung.

Pakar Perunding Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Shaiful Azmi Yahaya memberitahu aktif bersukan tidak semestinya sihat.

"Kerap bersukan tidak bermakna anda sihat secara sempurna.

"Ini kerana banyak lagi aspek kesihatan yang perlu diambil berat selain senaman.

"Benar, senaman dapat membantu mengekalkan kesihatan tetapi ia perlu disokong dengan pengambilan makanan yang seimbang serta gaya hidup yang sihat.

"Memang ada orang yang mengamalkan rutin senaman atau bersukan tiga atau empat kali seminggu, tetapi bersenam sahaja tidak cukup untuk tampil sihat sekiranya kadar kolesterol dalam badan tidak dijaga.

"Begitu juga dengan pengambilan gula, tekanan darah tidak stabil dan merokok," jelasnya.

Bukan untuk menakut- nakutkan, tetapi serangan jantung di atas padang yang membawa maut sudah beberapa kali berlaku sebelum ini.


MALEK ceria mendukung anak angkatnya Nik Nur Amalin Aishah Nik Mahmud selepas dibenarkan keluar dari hospital baru-baru ini.


Ini termasuk vokalis kumpulan Fotograf, Mohd. Shamrin Abdul Samad, 45.

Popular dengan panggilan Shamrin, arwah dikatakan rebah ketika bermain bola sepak di padang bola Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, November tahun lalu.

Dalam kalangan atlet profesional, pemain kelab Seville dari Sepanyol, Antonio Puerta, 22, meninggal dunia secara mengejut ketika sedang beraksi dalam satu perlawanan Liga Sepanyol menentang kelab Getafe pada 2007.

Ditanya mengenai punca utama serangan jantung mengejut, Shaiful memberitahu, penyumbatan pada saluran arteri jantung, masalah kongenital dan injap jantung yang sempit boleh mendatangkan serangan tanpa sebarang tanda.

"Kolesterol adalah halangan utama yang mengganggu kelancaran saluran darah di bahagian jantung.

"Terdapat tiga urat besar di jantung kita yang diameternya sekitar tiga atau empat milimeter sahaja.

"Kehadiran lemak sering menyempitkan saluran tersebut dan keadaan ini lebih teruk dalam kalangan perokok dan penghidap kencing manis.

"Bagi dua golongan ini, lemak pada urat jantung mereka mudah rosak dan pecah. Apabila pecah, lemak akan bercampur dengan darah.

Pecah

"Percampuran antara lemak dan darah tersebut menjadikan darah membeku dan bergumpal.

"Gumpalan darah beku tersebut akan menghalang saluran darah dan urat akan tersumbat. Keadaan ini menyebabkan ada kawasan jantung yang tidak menerima darah.

"Akibatnya, jantung boleh mendapat renjatan dan gagal berfungsi. Pesakit pula pada masa ini berada dalam keadaan yang sangat kritikal," jelasnya.

Tidak hairanlah jika rawatan kecemasan tidak diberikan pada tiga minit pertama serangan, risiko untuk mangsa diselamatkan adalah tipis.

Melihat data kes yang dikendalikan di IJN sepanjang tiga tahun lepas, institut tersebut telah menangani 8,366 kes serangan jantung yang memerlukan pesakit diberi rawatan angioplasti.

Daripada jumlah itu, 24 peratus daripada pesakit berusia bawah 50 tahun dan 80 peratus daripadanya menghadapi masalah kolesterol tinggi.

"Dengan gaya hidup yang serba segera, serangan jantung dalam kalangan umur 25 hingga 27 tahun bukan lagi perkara yang mengejutkan.

"Masyarakat perlu lebih prihatin tentang kesihatan tubuh mereka.

"Jika bahagian tubuh luar yang cedera, kita dapat lihat, tetapi organ dalaman kita tidak tahu sedangkan ia lebih penting.

"Jalani pemeriksaan kesihatan berkala walaupun anda baru berusia 20-an. Jika usia sudah meningkat, kekerapan perlu ditambah kepada enam bulan sekali," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Utusan Online - Pemotoran

Posted: 09 Apr 2011 11:20 PM PDT

Utusan Online - Pemotoran


Di sebalik kejayaan Lotus Renault

Posted:

Di sebalik kejayaan Lotus Renault

Di sebalik kejayaan Lotus Renault

Oleh HAMDEN RAMLI


Luca Mazzocco Ikiri) memberi penjelasan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Bahagian Sukan Permotoran Proton, Datuk Abdul Razak Dawood ketika melawat pusat operasi dan penyelidikan pasukan F1 Lotus Renault di Enstone, England.


MENELITI sejarah kejayaan pasukan Formula Satu (F1) Lotus Renault cukup mengujakan. Selain banyak memenangi kejuaraan dunia sama ada bagi kategori pemandu dan pengeluar, pasukan itu juga telah menjadi tapak kepada banyak pemandu ternama F1 masa kini menempa kejayaan.

Antaranya, legenda F1 mendiang Ayrton Senna, Michael Schumacher, Jenson Button dan Fernando Alonso yang membantu pasukan itu memenangi perlumbaan F1 bagi kedua-dua kategori iaitu pemandu dan pengeluar dua tahun berturut-turut pada 2005 dan 2006.

Kejayaan Vitaly Petrov menduduki tempat ketiga pada perlumbaan F1 di Melbourne, Australia minggu lalu membuktikan pasukan itu sentiasa berusaha mengejar kejayaan sekali gus menjadikan ia pencabar utama dalam perlumbaan berprestij itu.

Kisah-kisah kejayaan pasukan itu selama lebih 30 tahun bergelumang dalam dunia F1 bagaimanapun tidak datang bergolek.

Ia sebenarnya datang hasil daripada semangat tinggi untuk menang, perancangan rapi, strategi jangka panjang serta sikap yang tidak pernah jemu untuk memecah rahsia sains bagi mencari teknologi baru meningkatkan kelajuan dan keselamatan jentera walaupun hanya melibatkan satu saat.

Semangat dan keazaman itu bukan hanya diterjemahkan di litar perlumbaan tetapi di pusat penyelidikan, pengeluaran dan pemasangan kereta lumba F1 pasukan itu yang terletak di sebuah kawasan kampung di daerah Oxford, England kira-kira 50 minit dari London.

Pusat yang menjadi nadi atau jantung kepada kejayaan Lotus-Renault itu bukan sahaja dipenuhi jurutera serta pekerja-pekerja mahir daripada pelbagai kepakaran tetapi turut dihuni saintis-saintis dari serata dunia.

Kesempatan berkunjung ke pusat berkenaan yang merupakan sebahagian daripada lawatan kerja rasmi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini amat mengujakan.

Keterujaan bermula apabila melihat lokasi pusat tersebut. Ia tidak terletak di sebuah bandar moden mahupun pusat teknologi tinggi, tetap sebuah kawasan pedalaman di Enstone yang hanya dikelilingi ladang pertanian.

Untuk sampai ke pusat itu dari London, kami perlu melalui lebuh raya sebelum melalui jalan di celah-celah kawasan taman perumahan dan melalui jalan kampung tanah hitam sempit.

Sebaik tiba pintu masuk utama, tidak kelihatan pengawal mengawal kenderaan keluar masuk walaupun ia menyimpan pelbagai rahsia dan teknologi moden. Semuanya serba ringkas.

Anita Nyers, gadis Hungary yang bertugas sebagai Pengurus Korporat Kumpulan Lotus yang berpangkalan di Norwich bertindak sebagai 'penyambut tetamu'.

Ketika mahu bergerak ke arah bangunan tiga tingkat yang kelihatan seperti bangunan utama, Anita memberi isyarat supaya menuju ke sebuah pintu lain, lebih kecil seperti pintu kubu perang.

Kami memandang antara satu sama lain sambil ketawa kecil apabila diarah melalui pintu tersebut yang tidak ubah seperti pintu kediaman Hobbit dalam filem Lord of The Rings.

Sebaik melepasi pintu di kompleks yang merupakan bekas tapak kuari itu, kami berjalan melalui terowong sepanjang 30 meter. Apabila tiba di penghujungnya pemandangan kami disambut oleh kilauan jentera F1 Lotus-Renault R30.

Rasa kagum terus menerpa apabila diberitahu jentera tersebut merupakan kereta yang pernah dipandu oleh Robert Kubica pada perlumbaan F1 tahun lalu.

Di kiri ruang legar tersebut terdapat pintu kaca. Di dalamnya jelas kelihatan sebahagian daripada 50 jurutera syarikat tersebut tekun mencari reka bentuk terbaik bagi menghasilkan jentera yang lebih ringan tetapi kuat untuk dipadankan dengan teknologi terkini.

Kisah, kejayaan, semangat, azam dan matlamat pasukan itu dikupas Pengurus Akaun Pemasaran Lotus-Renault, Luca Mazzocco.

Apa yang menarik, sejak dari zaman pasukan itu dikenali sebagai Toleman, sebelum bertukar kepada Benneton dan Renault, ia sentiasa berpegang kepada falsafah bahawa bajet sederhana bukan penghalang kejayaan.

Mereka percaya masih banyak ruang lain yang boleh diteroka khususnya dari aspek aerodinamik kenderaan bagi memastikan pasukan itu terus kompetitif pada siri perlumbaan F1.

Bajet

Sebagai contoh, ketika memenangi kejuaraan pada 2005 dan 2006, pasukan itu hanya bergantung kepada bajet sekitar 320 juta Euro, sedangkan beberapa pasukan lain pada ketika itu mempunyai bajet sehingga 600 juta Euro.

Oleh kerana tidak memiliki bajet besar, pasukan itu juga sentiasa bergantung kepada pemandu muda tetapi mempunyai potensi untuk berjaya.

"Selalunya selepas berjaya, mereka akan disambar pasukan besar yang mampu memberikan tawaran lebih tinggi. Lihat sahaja seperti Schumacher dan Alonso yang sudah ke Ferari," kata Mazzocco.

Selesai taklimat itu kami dibawa ke bangunan sebelah berbentuk L. Di hadapan bangunan L itu terdapat sebuah lagi bangunan besar seperti sebuah gudang. Bermula dari sini tiada sebarang rakaman video dan gambar dibenarkan.

Kami bermula di tingkat dua yang menempatkan bahagian aerodinamik.

Bahagian itu menghasilkan lebih 25,000 reka bentuk bahagian kereta daripada sebesar ibu jari sehingga kepada badan kereta. Rakaan itu akan dibina pada skala 50 peratus lebih kecil untuk diuji di dalam mesin terowong angin.

Di sebelah bilik itu terdapat lebih 10 mesin pemotong laser sedang memotong bahagian-bahagian casis kereta yang dibuat daripada lapisan plastik khas.

Dari bilik itu kami dibawa masuk ke satu lagi pintu yang membawa kami meniti di atas titi besi. Dari situ jelas kelihatan mesin terowong angin sedang bekerja menguji sifat aerodinamik segala bahagian yang telah di reka di dua bilik terdahulu.

Kami kemudiannya bergerak pula ke bengkel dikenali sebagai 'tujuh tangan bergerak' dan bertemu dengan jurutera yang sudah berusia 60 tahun dikenali David.

Di bilik itu kelihatan satu lagi jentera Lotus Renault musim lalu, R30 disambung dengan tujuh tangan yang merupakan sebahagian daripada sistem deria bagi membolehkan mesin menganalisa setiap getaran di setiap litar perlumbaan.

David kemudiannya mempertontonkan kepada kami bagaimana keadaan getaran di litar Melbourne dan alangkah terkejut apabila menyaksikan kereta itu bergetar seperti sedang melalui jalan berlubang ataupun berkerikil.

Getarannya semakin kuat setiap kali pemandu melalui selekoh dan membrek kenderaan tersebut.

"Dengan maklumat ini kami akan cuba mengubah suai kenderaan sedia ada dengan memasang spring dan penyerap hentakan bagi mengurangkan getaran sekali gus meningkatkan kelajuan kereta terbabit," jelas David.

Selesai sesi bersama David kami dibawa masuk ke bangunan seperti gudang.

Walaupun mesin mendominasikan kerja-kerja di situ, tetapi kehalusan tangan manusia masih diperlukan dalam membuat beberapa bahagian seperti ekzos dan radiator kerana ia tidak dapat dilakukan oleh mesin.

Apa yang menarik, di bangunan itu juga benda sebesar telapak tangan boleh menjadi seberat sebuah tong gas, manakala benda yang sebesar depaan tangan boleh menjadi seberat kertas.

Dari ruang tengah itu kami dibawa melalui koridor yang dipisahkan cermin besar. Di dalamnya kelihatan jurutera dan juruteknik berpakaian serba hijau dan menggunakan penutup kepala dan mulut sedang menghasilkan casis kereta yang diperbuat daripada bahan ringan tetapi sangat kuat, karbon fiber.

Di satu bilik lain pula kira-kira 10 jurutera sedang menghasilkan stereng serta sistem elektroniknya. Terdapat lebih 100 fungsi yang terdapat pada stereng tersebut. Oleh kerana ia bertindak sebagai otak dan dipenuhi sistem maklumat untuk pemandu, tidak menghairankan harga sebuah stereng boleh mencecah 50,000 paun.

Di bahagian atas pula terletak unit menganalisis kegagalan. Setiap kegagalan yang dihadapi jentera akan dianalisis bagi mencari punca sama ia datang daripada bahan digunakan, pembekal atau pun reka bentuk.

Di sebelah unit tersebut pula terletak unit teknologi baru yang akan mencuba segala teori bagi menghasilkan bahan-bahan baru yang boleh digunakan untuk memperkuatkan dan meningkatkan prestasi jentera.

Ruang terakhir yang dilawat di bangunan itu adalah garaj menyimpan segala peralatan sokongan seperti tong minyak dan kosol kawalan di kawasan pit.

Kawasan itu merupakan persinggahan terakhir bagi semua peralatan sebelum disumbat ke dalam lima trak kontena yang menunggu di luar pintu bangunan tersebut.

Lawatan berakhir selepas dibawa melawat galeri menempatkan kereta pasukan itu serta trofi yang pernah dimenangi.

Enstone ditinggalkan dengan seribu satu pengalaman baru dan keterujaan dengan sikap sekumpulan manusia yang komited dan fokus mencapai matlamat ditujui.

"Penyertaan Kumpulan Lotus memberikan kestabilan kepada pasukan ini yang kini berada pada peringkat mendaki semula kejayaan selepas terumbang ambik sejak beberapa musim lalu," kata Mazzocco.

Kata Mazzocco itu ternyata benar jika keputusan perlumbaan di Melbourne minggu lalu yang menyaksikan Vitaly Petrov menduduki tempat ketiga diambil kita.

Dengan keazaman yang disaksikan tidak mustahil Lotus Renault akan terus mendaki lebih banyak podium kejuaraan pada F1 musim ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

My Blog List