Ahad, 27 Mac 2011

Edisi Nasional

Edisi Nasional


Kosmo Online - Stailo

Posted: 27 Mar 2011 11:29 AM PDT

Kosmo Online - Stailo


Kejelitaan abadi Elizabeth Taylor

Posted:

Kejelitaan abadi Elizabeth Taylor

Kejelitaan abadi Elizabeth Taylor



ELIZABETH TAYLOR. Nama yang cukup popular dan berpengaruh dalam industri lakonan Hollywood. Memiliki sepasang mata berwarna ungu, raut wajah jelita dan bertahi lalat di pipi kanan antara pelengkap kehadiran Elizabeth di persada perfileman Hollywood yang masyhur.

Dia antara pelakon yang memulakan karier dalam bidang lakonan pada usia sembilan tahun. Filem There's One Born Every Minute ialah filem pertamanya bersama syarikat pengeluar filem Universal Pictures.

Kejelitaannya sering diperkatakan apatah lagi pada usia remaja Elizabeth atau nama glamornya Liz terkenal dengan bentuk badan langsing dan ideal. Berikan apa jua busana semuanya tampak anggun membaluti tubuhnya itu.

Namun, kini nama Elizabeth Taylor hanya kenangan manis yang terus melekat dalam jiwa penggemar filem Hollywood. Tiada lagi kelibat wanita berambut ikal, kembang dan bergincu terang itu pada majlis anugerah atau program kebajikan.

Pada 23 Mac lalu, Liz yang pernah menggunakan kerusi roda telah pergi buat selamanya. Siapa sangka masalah jantung yang dihidapi selama bertahun-tahun telah meragut nyawa anak kelahiran Hampstead, England itu di Hospital Cedars-Sinai, Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS) biarpun selama ini dia lebih dihantui dengan kanser.

Tahap kesihatan Liz sering menjadi perhatian ramai. Selain masalah jantung, sekitar tahun 1997, Elizabeth pernah menjalani pembedahan tumor otak selain, pernah didakwa menghidap Alzheimer.

Mengikuti kelas balet

Menyoroti liku-liku kehidupan Elizabeth, dia yang dilahirkan pada 27 Februari 1932 merupakan anak kepada pasangan suami isteri Francis Lenn Taylor dan Sara Viola Warmbrodt. Bapanya memiliki perniagaan barangan seni yang pernah beroperasi di London, manakala ibu Liz pula seorang pelakon yang popular dengan nama pentas Sara Sotherm.


DUNIA pasti akan merindui Elizabeth, seorang ikon filem dan fesyen yang sarat dengan jiwa murni.


Pernah menetap di London sehingga usia tujuh tahun, ibu bapa Liz cukup menitikberatkan soal masa depan dan sosial anak-anak. Enggan membiarkan Liz terlalu asyik bermain, pada usia tiga tahun dia dihantar ke kelas balet.

"Zaman kanak-kanak antara momen manis dalam hidup saya. Seperti kanak-kanak lain saya turut melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan," jelas Elizabeth yang juga pernah memberitahu selepas dilahirkan matanya mengambil tempoh lapan hari untuk dibuka.

Kehidupan Liz sekeluarga di London tidak kekal lama. Sewaktu Perang Dunia Kedua meletus ibu bapa Liz mengambil keputusan menetap Los Angeles.

Ternyata menetap di tempat baru sedikitpun tidak menjejaskan kehidupan Liz sekeluarga. Semuanya berjalan lancar dan mudah kerana faktor status elit mereka yang berlatarbelakangkan dunia glamor dan seni.

Menyentuh tentang status elit, pemerhati fesyen menyifatkan ia merupakan salah satu faktor yang menyebabkan Liz menyukai dunia kecantikan. Sejak memulakan karier pada usia kanak-kanak, melangkah alam remaja sehinggalah dewasa, Liz yang memiliki sepasang mata bak buah badam dan berkening tebal itu sentiasa tampil menawan dan jelita.

Tolak baju T dan jean

Tidak kira sama ada ketika bersantai, menghadiri majlis formal mahupun anugerah hiburan berprestij, Liz cukup berhati-hati dan mementingkan aspek pemakaian dan tata rias diri.


ELIZABETH tidak pernah gagal dalam bab berfesyen dari zaman remaja hingga ke usia emas.


Hampir kesemua koleksi pakaian pilihannya menepati cita rasa dan mengikut trend semasa. Nenda kepada 10 cucu dan empat cicit itu menolak baju T dan seluar jean. Barangkali item fesyen berkenaan terlalu santai dan ringkas buatnya. Pereka fesyen Elizabeth, Emanuel pernah memberitahu Liz cukup meminati busana yang menampilkan elemen lipatan dan tindihan.

"Dia merupakan individu yang memiliki kecantikan dan aura tersendiri. Perwatakannya kelakar, bijak dan glamor. Biarpun melalui transisi imej mengikut peningkatan usia tetapi, gaya penampilannya tidak pernah mengecewakan.

"Buktinya dapat dilihat menerusi perbezaan imej Liz sewaktu remaja dalam filem National Velvet yang berambut kerinting. Sementara dalam filem Cleopatra, Liz yang pada ketika itu sudah melangkah ke alam dewasa diberi tanggungjawab melakonkan watak wanita seksi dan menggoda. Bagi saya, imej remaja atau dewasa, aura glamor Liz tetap terserlah," jelas pereka fesyen Michael Kors.

Kors turut menyatakan sehingga ke hari ini bintang pesona Liz masih belum mampu dirampas oleh mana-mana bintang baru. Elizabeth yang meninggal dunia pada usia 79 tahun itu dianggap satu dalam sejuta.

Sementara itu, Pengarah Kecantikan Allure, Amy Keller Laird menjelaskan, Liz memiliki kecantikan yang tiada tolok bandingnya biarpun pernah berumah tangga sebanyak lapan kali.

"Dia seksi dan sentiasa mengekalkan personaliti feminin yang anggun," tuturnya dalam satu temu bual.

Pengarah Fesyen majalah InStyle, Hal Rubenstein pula memberitahu, dalam kebanyakan fesyen yang pernah digayakan Liz, penampilannya pada tahun 1951 antara yang terbaik dan memukau pandangan orang ramai.

Memiliki pinggang bersaiz 48 sentimeter pada waktu itu, Liz tampil bergaya dengan dres tanpa tali di bahu berasaskan fabrik tulle. Enggan membiarkan busana rekaan Edith Head itu kelihatan kosong, Liz menghiasi bahagian leher dengan aksesori bunga. Menariknya, busana berkenaan antara pakaian popular yang digayakan wanita sewaktu menghadiri majlis tari-menari bertemakan gaya 50-an.

"Bukan itu saja, aplikasi solekan seperti pembayang mata dan celak hitam sewaktu membawa watak Cleopatra turut menjadi ikutan golongan wanita," ulas Rubenstein memuji kebijaksanaan Liz menyuntik elemen elegan pada busana kaftan yang pernah dipakainya pada era 70-an.

Pencinta aksesori


SOLEKAN pembayang mata dan celak hitam ketika Elizabeth membawa watak Cleopatra menjadi ikutan ramai.


Selain berfesyen dan solekan, Liz yang menduduki ranking ketujuh dalam senarai Pelakon Legenda Wanita oleh Institut Filem Amerika turut obses pada koleksi barangan kemas.

"Saya cukup meminati aksesori yang dihiasi batu-batu permata. Ia memberi kepuasan dan seri yang sukar untuk dilafazkan dengan kata-kata," akui Liz yang memiliki tiga orang anak kandung dan seorang anak angkat.

Kecenderungan Liz pada barangan kemas tersemai sejak remaja dan minatnya itu didokumentasi dalam buku terbitannya iaitu My Love Affair with Jewelry pada tahun 2002. Ini termasuklah menghasilkan aksesori rekaan sendiri bagi koleksi The Elizabeth.

Dia juga merupakan pelanggan tetap barang kemas rekaan Shlomo Moussaieff. Pihak media pernah melaporkan Liz antara individu memiliki koleksi barang kemas yang menjadi rebutan ramai wanita. Antaranya berlian Krupp 33.19 karat dan berlian berbentuk buah pir 69.42 karat jenama Taylor-Burton Diamond.

Tidak ketinggalan dia memiliki 50 karat mutiara La Peregrina Pearl, yang dihadiahkan oleh bekas suaminya yang kelima, Richard Burton, pada sambutan Hari Kekasih tahun 1969.

"Elizabeth ikon fesyen yang tampil mengikut imaginasi dan kreativitinya yang unik. Dia memiliki visi fesyen yang sukar untuk diramal tetapi hasilnya cukup memukau," kata Pengarah Pusat Informasi Berlian, Jamie Cadwell.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Moden kontemporari Sri Angsana

Posted:

Moden kontemporari Sri Angsana

Moden kontemporari Sri Angsana

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF


WARNA biru menyuntik mood yang lembut dan menenangkan kepada penampilan si pengantin.


WISMA Sri Angsana yang terletak di Taman Nirwana, Ampang, Selangor adalah lambang kejayaan empayar perniagaan yang diterajui sepasang suami isteri, Nurulhuda Yaacob, 39, dan Mohd. Ashrin Alias, 43, serta rakan mereka, Mohd. Azlan, 36.

Pada mulanya, bisnes yang diasaskan pada 26 Ogos 1996 itu hanya menawarkan perkhidmatan menyewakan kanopi untuk majlis-majlis perkahwinan.

Lama-kelamaan atas permintaan yang tinggi daripada pelanggan, Sri Angsana mengambil keputusan menawarkan perkhidmatan katering pula. Ia bagi memudahkan bakal mempelai mendapatkan perkhidmatan sajian makanan dan kanopi di bawah satu bumbung.

"Kini pelanggan tidak perlu lagi runsing kerana terpaksa mendapatkan khidmat sewaan kanopi dan katering di syarikat yang berlainan. Semua itu boleh ditempah di Sri Angsana. Lebih menarik, pada tahun lepas kami telah melancarkan Pakej 3 iaitu pakej perkahwinan yang terbaik pada harga berpatutan.

"Pakej 3 berharga RM12.80 bagi setiap kepala dengan jumlah minimum 1,000 jemputan. Pelanggan bukan sahaja disajikan menu yang pelbagai dan lazat. Pada masa yang sama, kami menyediakan pelamin, hiasan meja pengantin bersama bunga segar, kek tiga tingkat, solekan dan sepasang busana pengantin," jelas Nurulhuda sambil menunjukkan koleksi terbaru busana pengantin yang ditawarkan di butik Sri Angsana Cipta.

Berbicara lanjut mengenai pakaian pengantin di Sri Angsana Cipta, Nurulhuda yang memiliki kreativiti menggubah hantaran dan pelamin memberitahu, bakal pengantin bebas memilih konsep dan warna pakaian yang diminati.

Trend renda Perancis

Namun, ibu kepada dua cahaya mata itu menyarankan bakal mempelai haruslah terlebih dahulu menentukan tema perkahwinan dan konsep dekorasi pelamin sebelum melakukan sesi pemilihan busana.

Menurutnya, ia wajar dititikberatkan kerana kombinasi tema pelamin dan busana yang ideal membantu menyuntik penampilan elegan, segak dan anggun kepada pasangan pengantin pada hari majlis resepsi berlangsung.


PAKAIAN pengantin wanita yang berasaskan renda Perancis semakin mendapat sambutan.


Tambah Nurulhuda, koleksi pakaian pengantin di Sri Angsana tidak terhad pada konsep rekaan tradisional malah turut menampilkan seleksi pakaian pengantin stail moden kontemporari.

Bagi mereka yang memilih tema kemelayuan, baju kebaya pendek bersama kain lipat kipas atau potongan ala duyung antara pilihan yang menawan. Apatah lagi tata rias pengantin perempuan diserikan dengan dandanan rambut, solekan dan padanan aksesori yang glamor.

"Pada pengamatan saya, kebanyakan pengantin muda kini lebih cenderung memilih pakaian pengantin moden kontemporari seperti kebaya labuh yang dipadankan bersama kain dan bengkung warna sedondon.

"Ini termasuklah pakaian pengantin yang dihasilkan dalam rekaan dres labuh dan meleret. Penampilan si mempelai tampak indah dengan sematan vel dan mahkota," ujar Nurulhuda yang turut memberitahu trend pakaian pengantin sekarang kebanyakannya diperbuat daripada fabrik renda dan sifon.

Tutur Nurulhuda: "Selain renda Perancis, kami turut menggunakan renda Indonesia tetapi dalam kuantiti yang sedikit kerana kebanyakan masyarakat tempatan lebih meminati renda Perancis. Mana tidaknya, renda Perancis menggunakan teknik sulaman yang cantik dan taburan labuci atau manik yang minimum berbanding renda buatan Indonesia.

Dalam pada itu, Nurulhuda yang anggun dalam persalinan baju kurung merah terang itu menyatakan kini Sri Angsana Cipta sedang dalam proses mereka dan menyiapkan pakaian pengantin gabungan renda Perancis dan kain songket. Cara tersebut bertujuan memartabatkan tekstil warisan negara dalam kalangan masyarakat tempatan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Faktor kerosakan rambut

Posted:

Faktor kerosakan rambut

Faktor kerosakan rambut


SELEBRITI kempen rambut sihat bersama Dove, (dari kiri) pengacara Asha Gill, penyampai radio Linda Onn, Ashlee Ng, Pengurus jenama Dove, Lim Wee Kee dan penyampai radio, Angel Wong.


AKTRES legenda terkenal dan ikon fesyen antarabangsa, Audrey Hepburn, pernah menyatakan bahawa kecantikan seseorang wanita itu tidak diukur pada pakaian yang digayakan. Sebaliknya, menurut wanita Eropah itu menegaskan, kecantikan itu dinilai menerusi stail dan kecantikan rambut yang dianggap mahkota wanita paling istimewa.

Umum mengakui wanita sentiasa menitikberatkan aspek penjagaan rambut selain wajah dan busana peribadi. Sebab itu, wanita sanggup menghabiskan sejumlah wang semata-mata untuk mendapatkan teknik kecantikan dan rawatan rambut di salon pilihan. Pada masa yang sama, mereka tidak melepaskan peluang mencuba pelbagai stail rambut mengikut trend semasa yang dipaparkan menerusi media cetak dan elektronik. Ia termasuklah terpengaruh dengan gaya rambut kelompok selebriti dan barisan model.

Namun, apa yang menyedihkan, tindakan mencuba-cuba itu telah menyebabkan rambut rosak dan kusam. Ia secara tidak langsung menyebabkan wanita menjadi gerun untuk terus bereksperimen dengan teknik yang digemari.

Ini terbukti menerusi kaji selidik yang melibatkan 1,000 orang wanita. Hasil kajian berkenaan mendapati sebanyak 40 peratus wanita terpaksa berhenti mencantikkan rambut disebabkan faktor-faktor seperti berikut:

Pengering rambut

PENGGUNAAN alat pengering rambut antara penyebab utama kerosakan rambut. Haba panas yang disua pada helaian rambut yang basah menyebabkan rambut menjadi kering dan rapuh.

Melurus dan mengerinting

TAHUKAH anda, produk rambut yang disapu pada rambut sebelum melakukan teknik melurus dan mengerinting akan menjejaskan kesihatan rambut asal. Kedua-dua teknik tersebut bukan sahaja menyebabkan rambut rosak malah hujung rambut turut bercabang serta kering.

Mengikat rambut

IKATAN ala ekor kuda merupakan teknik yang paling popular dalam kalangan wanita di seluruh dunia. Ia mudah untuk dipraktikkan dan membuatkan penampilan tampak kemas dan ranggi. Namun, ramai yang kurang menyedari ikatan gelung getah yang kuat pada rambut menyebabkan rambut gugur dan lama-kelamaan menjadi rapuh.

Mewarnakan rambut

TIDAK dinafikan, saban tahun wanita terdedah pada warna-warna rambut menarik dan menawan. Pilihan itu mendorong wanita tegar menukar rambut hitam mereka untuk diwarnakan dengan rona merah, ungu atau coklat.

"Saya gemar mewarnakan rambut. Tetapi kekerapan melakukan teknik itu menyebabkan saya terdedah pada pewarna yang mengandungi bahan kimia yang menyebabkan rambut saya kasar," jelas penyampai radio Suria FM, Linda Onn.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kosmo Online - Varia

Posted: 27 Mar 2011 11:23 AM PDT

Kosmo Online - Varia


Inai lelaki India Muslim

Posted:

Inai lelaki India Muslim

Inai lelaki India Muslim

Oleh MANIRAH OTHMAN


KETIKA acara berinai dilangsungkan, banyak adegan senda gurau terjadi sekali gus menambah kemeriahan majlis.


KEBIASAANNYA, upacara berinai dilakukan di sebelah pihak pengantin perempuan pada malam sebelum berlangsungnya majlis akad nikah atau persandingan pada hari keesokannya.

Bagaimanapun, ia sedikit berbeza mengikut tradisi keluarga Shawkath Ali Mohamed Kassim, 56, seorang peniaga kain di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu,

Baru-baru ini, Shawkath Ali telah melangsungkan majlis berinai untuk anak lelakinya yang berusia 25 tahun, Syeikh Muhammad Rafi.

Majlis itu diadakan dua hari sebelum Syeikh Muhammad melangsungkan perkahwinannya dengan wanita pilihan berasal dari Kampung Bukit Diman, Ajil, Hulu Terengganu, Syamimi Sarudin, 22, pada 13 Februari lalu.

Perkara menarik dalam upacara masyarakat India Muslim itu ialah ia melibatkan semua ahli keluarga di semua peringkat umur termasuk kanak-kanak. Ia adalah simbol penyatuan ahli keluarga yang merestui perkahwinan tersebut.

Upacara yang memerlukan persiapan mudah seperti inai dan serbuk kayu cendana itu sebenarnya berasal dari India. Namun begitu, terdapat banyak elemen Islam yang diterap ke dalam pelaksanaannya seperti majlis yang dimulakan dengan bacaan doa.

Sementara itu, beberapa ritual tradisi yang tidak bersesuaian dengan Islam ditinggalkan.

Selepas bacaan doa, upacara berinai dimulakan oleh ibu pengantin lelaki dan selepas itu serbuk kayu cendana akan dilumur pada bahagian muka pengantin tersebut.

Ia kemudian diteruskan oleh bapa pengantin, diikuti adik-beradik dan ipar pengantin yang disusun mengikut usia, ahli keluarga lain dan akhir sekali rakan terdekat.

Menurut Shawkath Ali, selain meneruskan tradisi budaya India Muslim, ia adalah lambang perpaduan dan keharmonian keluarga yang akhirnya akan dapat mengeratkan hubungan sesama mereka.

Senda gurau

"Pada majlis ini, semua ahli keluarga akan berkumpul dan setiap seorang akan mengambil secubit inai dan dipakaikan pada tangan pengantin.

"Selepas itu mereka akan melumurkan serbuk kayu cendana pada muka pengantin dan ketika proses ini berjalan, banyak senda gurau antara kami menyebabkan majlis ini berlangsung dengan meriah," katanya.

Menurut Shawkath Ali, di sebalik upacara itu, inai dan serbuk kayu cendana sebenarnya dikatakan dapat menaikkan seri pengantin pada hari persandingan anaknya kelak.

Jelasnya, majlis sama telah dilakukan untuk dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuannya sebelum ini di rumahnya dan ia akan diteruskan untuk majlis perkahwinan tiga orang anaknya yang lain.

Tambahnya, upacara tersebut bagaimanapun lebih meriah jika ia dilakukan di kampung keluarganya di Kampung Thulkenathan, Chennai, Tamil Nadu, India kerana lebih ramai ahli keluarga berpeluang menyertainya.

"Saya sendiri berkahwin di sana tetapi untuk melakukan majlis ini di sana ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Jadi, kami mengambil keputusan mengadakan majlis di sini saja.

"Namun, ada dalam kalangan rakan-rakan saya yang berkemampuan tetap mahu melakukan upacara ini di Tamil Nadu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kondo Rakyat, Kuala Ibai, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Sementara itu, menurut Syeikh Muhamad Rafi, dia bersyukur kerana masih ada bapa dan ahli keluarga yang mahu mengadakan upacara tersebut kerana dia sendiri tidak tahu tentang upacara itu.

"Jika ditanya kepada saya mengenai upacara ini, saya akan jawab tidak tahu sebab kami yang lahir di negara ini tidak begitu didedahkan dengan upacara itu.

"Kebanyakan kawan saya terdiri daripada orang Melayu iaitu kaum majoriti di negara ini yang tidak mengamalkan budaya ini," katanya.

Namun, jelasnya, keunikan budaya yang masih diamalkan keluarganya itu membuatkan perkahwinannya lebih meriah dan meninggalkan banyak kenangan manis di saat-saat akhir sebelum mengakhiri zaman bujang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Utusan Online - Johor

Posted: 27 Mar 2011 09:41 AM PDT

Utusan Online - Johor


14 penumpang bas terselamat

Posted:

14 penumpang bas terselamat

14 penumpang bas terselamat

Oleh NORAZMAN ABDUL RAHIM
utusanjohor@utusan.com.my


ORANG ramai yang terselamat melihat keadaan van yang remuk di bahagian hadapan dalam kemalangan di Kilometer 7 Jalan Mersing-Endau, Mersing, kelmarin.


MERSING 26 Mac - Seramai 14 penumpang bas ekspres dan dua beradik menaiki sebuah van terselamat apabila kenderaan mereka naiki nyaris bertembung angkara sekumpulan kerbau yang melintas.

Kejadian kira-kira pukul 9 malam tadi itu bermula apabila van yang sarat dengan muatan kain merempuh sekumpulan kerbau berkenaan di Kilometer 7 Jalan Mersing-Endau, dekat sini.

Pada masa sama, sebuah bas ekspres dari arah sama dan cuba mengelak merempuh van itu yang rosak di tengah jalan lalu terbabas ke dalam parit di tepi jalan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dan hanya penumpang van, Rugayah Ali, 45, cedera ringan, manakala semua penumpang bas tersebut tidak cedera.

Pemandu van, Hamidan Ali, 41, berkata, ketika melalui jalan itu, dia dikejutkan dengan kelibat haiwan berkenaan yang tiba-tiba keluar dari kawasan semak.

"Kami dalam perjalanan dari Kota Tinggi menuju ke Pekan, Pahang dan kejadian itu berlaku secara tiba-tiba. Nasib baik bas ekspres di belakang sempat mengelak.

"Bas ekspres itu hanya bergesel sedikit dengan van kami sebelum masuk ke dalam parit," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Pemandu bas ekspres, Mohd. Yusof Awang, 47, berkata, kemalangan itu pertama kali menimpa dirinya sepanjang 10 tahun memandu bas ekspres.

"Mujurlah saya sempat mengelak daripada merempuh van itu hingga menyebabkan terbabas ke dalam parit. Kalau tidak, entah apa nasib pemandu serta penumpang berkenaan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

ADaP bantu pelajar, guru

Posted:

ADaP bantu pelajar, guru

ADaP bantu pelajar, guru

JOHOR BAHRU 26 Mac - Sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) Utusan Malaysia amat berguna bagi meningkatkan penguasaan pelajar terutama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sains dan Matematik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian berkata, selain itu, sisipan ADaP juga dapat membantu guru meningkatkan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas.

"Persembahan ADaP yang berkualiti mampu menarik minat dan memudahkan pelajar menguasai sesuatu mata pelajaran termasuk membantu mereka menjelang peperiksaan.

"Justeru, saya yakin ADaP mampu memudahkan pelajar untuk menjawab soalan peperiksaan," katanya yang menaja 6,300 naskah Utusan Malaysia berharga RM7,560 untuk diagihkan kepada 10 buah sekolah di DUN Kempas.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan penajaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Abdul Rahman Yassin (SDARY), di sini hari ini.

Antara sekolah tersebut ialah SDARY, Sekolah Kebangsaan (SK) Kenanga, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Tampoi, SK Taman Chempaka, SK BuKit Kempas dan SK Taman Anggerik.

Turut hadir, Pengetua SDARY, Afrinah Mohd. Ikhsan dan Eksekutif Kanan Pemasaran Utusan Melayu (M) Bhd. Zon Selatan, Mohd. Asri Jantan.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SDARY, Osman menyeru ibu bapa agar memantau anak-anak secara berterusan hingga mereka menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Katanya, sama ada di peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya ke universiti, peranan ibu bapa amat penting dalam menentukan kejayaan anak-anak.

"Oleh itu, ibu bapa menerusi PIBG harus memberikan kerjasama yang jitu kepada sekolah bagi melahirkan pelajar yang cemerlang di dunia dan akhirat," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Utusan Online - Feminin

Posted: 27 Mar 2011 09:05 AM PDT

Utusan Online - Feminin


Kulit lebih sekata

Posted:

Kulit lebih sekata

Kulit lebih sekata

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto WAHIDAH ZAINAL


RANGKAIAN produk 'whitefficient'.


PAPARAN di kaca televisyen dan majalah-majalah antarabangsa sering menggambarkan senario fesyen Jepun sebagai sesuatu yang hebat. Anda juga pasti tertarik dengan kulit wanita Jepun yang halus, putih dan licin.

Mereka juga dilihat cantik walaupun tidak memakai solekan yang tebal kerana mempunyai kulit yang mulus secara semula jadi. Itulah kelebihan gadis Jepun.

Bagi yang sering mengikuti perkembangan dunia kecantikan Jepun, anda pasti biasa dengan jenama Shu Uemura.

Cenderung menghasilkan produk kecantikan yang sesuai dengan kulit wanita Asia, Shu Uemura sentiasa produktif menghasilkan kajian baru.

Berpusat di Tokyo, Shu Uemura telah menjalankansatu penyelidikan menghasilkan produk pemutihan sesuai untuk semua jenis kulit.

Pigmentasi

Kebiasaannya, produk pemutihan akan memberi tumpuan untuk mengurangkan pigmentasi dan kesan melanin. Teknologi terbaru itu bukan sahaja mengurangkan masalah melanin tetapi melindungi kulit dan menambah tenaga pada sel kulit bagi membuang sel mati dan melahirkan sel baru.

Menurut Pengurus Kanan Produk Shu Uemura, Jong Ha KIM, secara jujurnya pasaran produk pemutih di Asia kurang mendapat sambutan seperti di Barat. Lahirnya 'whitefficient' yang mempunyai fungsi untuk melindungi kulit daripada sinaran matahari atau UV, wanita Asia akan mendapat maklumat untuk mendapatkan kulit sekata dan sihat.

Penyelaras Saintifik Penjagaan Kulit Shu Uemura, Hiroyuki Suzuki merupakan individu yang bertanggungjawab menyelaras kajian 'whitefficient'. Dia melihat wanita Asia memilih produk pemutih untuk mendapatkan kulit yang lebih cerah. Sebaliknya, wanita perlu faham fungsi sebenar rangkaian produk tersebut.

Hiroyuki dan pasukannya mengambil masa enam bulan untuk memilih bahan aktif dan memperuntukkan dua tahun lebih bagi membangunkan hasil kajian 'whitefficient' yang sesuai untuk semua jenis kulit sensitif. Jika digunakan dengan betul, pengguna boleh mendapatkan kesan selepas tujuh hari menggunakannya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Anis chef jelita

Posted:

Anis chef jelita

Anis chef jelita

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
Foto FATAH SULAIMAN
Solekan NURUL MOKHTAR 012-3463994 nrstudio_gallery@yahoo.com



DENGAN kasut bertumit tinggi lapan inci dan dress moden gaya terkini, Anis ligat menyudahkan hidangan soto buat tetamu petang itu. Dia tidak kekok, sentiasa tersenyum dan mulutnya tidak henti berceloteh. Ternyata si cantik manis ini bukan hanya bersandarkan rupa.

"MAAF, jangan panggil saya chef. Saya cuma Anis dan saya boleh memasak. Bukan kerana saya seorang chef bererti saya pandai memasak, anda juga sepatutnya begitu," kata pemilik nama penuh Anis Nabilah Umaruddin ini.

Mencintai dunia kulinari sejak kecil, dia masih ingat cubaan pertamanya menggoreng telur ketika berusia sembilan tahun walaupun dihalang nenek. Akibatnya, Anis teruk dimarahi ibu dan didenda.

Kini pada usia 25 tahun, lulusan diploma dari Institut Makanan Malaysia itu mungkin boleh dikatakan satu-satunya chef wanita muda yang semakin dikenali.

Dia pernah mengendalikan beberapa rancangan masakan televisyen dan sedang menjalankan projek bersama Food Network Asia dalam menghasilkan program khas masakan Malaysia.

Bagi Anis, walaupun berkebolehan memasak pelbagai jenis masakan antarabangsa, keunikan hidangan tradisional negara membuatkan dia jatuh cinta untuk mendalaminya sehingga ke akar umbi.

"Anis bukan setakat mempelajari resipi sesuatu jenis masakan, malah mendalami hingga ke peringkat penyediaan," katanya.

Peluang menangkap dan menyiang belut di Kelantan antara yang sukar dilupakan. Begitu juga pengalaman belajar menggiling rempah dan mengutip sayur-sayur liar untuk dimasak menjadi hidangan eksotik yang enak. Dari situ, hatinya terus terpaut untuk mendalami resipi-resipi lama yang semakin dilupakan.

Anis juga bercita-cita untuk menghasilkan buku masakan dengan gaya tersendiri suatu hari nanti. Kepada si cantik manis ini, semoga berjaya mencapai apa yang anda inginkan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Utusan Online - Kesihatan

Posted: 27 Mar 2011 03:19 AM PDT

Utusan Online - Kesihatan


Bekam - tiada lagi torehan pisau

Posted:

Bekam - tiada lagi torehan pisau

Bekam - tiada lagi torehan pisau

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto WAHIDAH ZAINAL


Bekam pada kepala mengurangkan imgran atau sakit kepala.


ULIT kena toreh dengan pisau ke?" tanya jurugambar ketika Pengurus Darul Irsyad, Mohd. Gadafi Mohd. Zuki menunjukkan proses melakukan bekam di pejabatnya, di Jalan 4/1, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor.

"Tak, sekarang ada teknik moden. Kita hanya menggunakan jarum (lenset) pen. Proses cepat dan selamat," ujar Mohd. Gadafi.

Apabila menyebut tentang berbekam, gambaran biasa adalah rawatan yang agak 'mengerikan'. Bahagian tertentu pada padan ditoreh dengan pisau mengeluarkan darah yang banyak memenuhi mangkuk atau cawan bekam. Tentunya berasa kesakitan selain faktor terdedah kepada risiko komplikasi penyakit lain.

Biar pun begitu, bekam sememangnya popular bagi pesakit yang mahu mencuba rawatan alternatif mungkin disebabkan kos perubatan yang semakin meningkat.

Menjelaskan berkaitan salah faham berkaitan bekam sunah kata Mohd. Gadafi, bekam adalah rawatan mengeluarkan darah dari permukaan kulit untuk pengubatan dan mengekalkan kesihatan.

Bekam juga disebut satu proses terapi untuk membuang darah kotor atau darah toksik yang terdapat pada badan seseorang tanpa menggunakan bahan kimia.

"Bekam adalah satu daripada cara perubatan yang diamalkan Rasulullah SAW dan para sahabat. Baginda mengiktiraf bekam sebagai perubatan yang paling baik, sama ada untuk perawatan (curative) atau pencegahan (preventive) sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis. Pada zaman Rasulullah SAW bekam adalah dengan menggunakan tanduk," ujarnya.

Tambah Mohd Gadafi, bekam mengalami proses kemajuan dari segi kaedah atau tekniknya sejajar dengan perubahan masa.

Pesakit boleh membuat pilihan sama ada melakukan bekam cawan atau basah, bekam angin atau kering, bekam tarik dan bekam lintah.

Malah ia juga tidak berbahaya kerana tiada lagi penggunaan torehan pisau sebaliknya kaedah tusukan dengan menggunakan pen lenset (jarum) yang jauh lebih selamat dan bersih.

Dalam rawatan berbekam, kata Mohd. Gadafi, seseorang pengamal mestilah terlebih dahulu melakukan rundingan dengan pesakit,

Ia bagi mengetahui status kesihatan pesakit, membuat pemeriksaan awal, memberitahu gejala-gejala yang bakal timbul semasa dan selepas dibuat bekam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Berusia tetapi berjerawat

Posted:

Berusia tetapi berjerawat

Berusia tetapi berjerawat


MASALAH jerawat mesti dirawat bagi mengelak kesan parut dan jerawat berulang biar pun pada usia matang.


NORA risau apabila wajahnya ditumbuhi jerawat. Seingat Nora sewaktu beliau berusia belasan tahun dahulu jerawat pernah menjadi satu masalah. Namun setelah membeli ubat sapu dari farmasi dan mengamalkan pencuci muka berjenama yang dibelikan oleh ibunya, masalah tersebut selesai.

Semasa usianya menganjak 20-an sehingga 30-an, masalah jerawat tidak lagi mengganggu. Jerawat hanya tumbuh sekali sekala tatkala menghampiri waktu haid. Kini pada usia 45 tahun tiba-tiba saja Nora diserang masalah jerawat yang agak serius. Keadaan itu membuatkan Nora berasa hairan. Jerawat kecil dan besar tumbuh melata bagaikan tidak mahu surut. Selepas mengecut ia meninggalkan kesan parut yang kehitaman dan hodoh. Jerawat tumbuh pada pipi, bawah dagu dan hidung. Apabila disentuh memang berasa sakit. Nora cuba menyapu ubat dan mencuci muka dengan lebih kerap namun kekerapan itu menjadikan kulitnya kering.

Parut jerawat juga tidak mahu hilang menyebabkan Nora terpaksa menggunakan mekap dan bedak yang tebal bagi menutup masalah tersebut. Namun menurut Nora penggunaan mekap yang tebal menyebabkan jerawat tumbuh menjadi-jadi. Ini membuatkan hati Nora berasa risau.

Bagi wanita berusia empat puluhan seperti Nora, masalah kekurangan hormon mungkin antara penyebab utama terjadinya jerawat. Kulit kita sangat sensitif dengan perubahan hormon. Kelenjar minyak, sel-sel pigmen dan bulu roma pada kulit sangat sensitif dengan hormon yang berkitar. Seawal usia 35 tahun hormon di dalam tubuh seorang wanita mula merosot. Di samping itu wujudnya agen perosak hormon yang begitu berleluasa sekali di dalam alam sekitar membuatkan timbulnya gejala kekurangan hormon. Kulit menjadi lebih berminyak dan Ph kulit seseorang turut berubah menyebabkan kulit lebih mudah dijangkiti kuman jerawat.

Kuman jerawat merupakan kuman yang hidup secara semula jadi pada kulit kita. Kehadiran minyak dan sebum yang tinggi mengundang kuman hidup dan membiak dengan lebih banyak sehingga tercetusnya jerawat. Jerawat bolehlah dianggap sebagai kudis kecil yang membiak pada muka. Ia bernanah dan berasa sakit disebabkan nanah di dalam memberi tekanan kepada kulit. Jerawat yang aktif berasa sakit. Ia boleh berada jauh ke bawah kulit ataupun di permukaan kulit. Jerawat yang berada di permukaan tampak merah manakala yang jauh ke dalam kulit hanya berasa sakit bila ditekan dan tidak berwarna merah.

Rawatan jerawat sebagaimana bisul, nanah perlu dibuang dan di beri antibiotik iaitu bahan pembunuh kuman. Rawatan muka yang melibatkan stim bagus bagi membuka pori-pori dan mengeluarkan minyak yang menyebabkan jerawat. Setelah stim rawatan laser Isolaz dibuat. Laser jenis ini bertindak jauh ke dalam kulit sehingga mencapai kelenjar minyak dan mengecilkannya. Hasilnya kelenjar minyak menjadi kurang aktif. Kelenjar minyak yang kecil membuatkan kulit lebih cantik dan kuman jerawat sukar hidup. Selain daripada itu ia turut membuatkan bintik-bintik kurang terhasil.

Setelah membuat ujian darah analisis hormon ke atas Nora saya mendapati Nora mengalami masalah hormon progesterone yang semakin merosot. Ini mungkin menjadi penyebab utama masalah jerawat yang dihadapinya. Kekurangan progesterone membuatkan testosteron menjadi dominan dan ini adalah sebab Nora mendapat jerawat dan bulu halus tumbuh pada atas bibirnya menyerupai misai.

Bagi menghilangkan kesan parut saya mencadangkan laser ablative iaitu pixel yang baik bagi meningkatkan kolagen dan menanggalkan parut pada muka. Selepas laser pixel dibuat kulit wajah akan mula berubah menjadi lebih baik dalam tempoh 2 minggu. Rawatan pixel sebulan sekali dapat meningkatkan kecantikan kulit wajah dan membuatkan parut kurang ketara. Laser jenis pixel bertindak jauh ke dalam kulit untuk merangsang kulit mengeluarkan sel-sel baru. Sel-se baru yang keluar lebih rapat kedudukannya dan ini membantu menutupi lubang-lubang parut yang terdapat pada kulit. Kolagen yang terhasil daripada tindakan pixel juga lebih teguh membuatkan kulit menjadi lebih cantik.

Hormon tambahan seperti bioidentkal hormon baik bagi meninggikan paras hormon dalam tubuh kita. Kehilangan hormon ini wajar ditambah semula kerana kekurangan hormon pada jangkamasa panjang bukan sahaja menyebabkan masalah kulit namun menyebabkan gangguan pada tubuh badan seperti hot flushes, kebas, tekanan, gangguan emosi, sakit tulang dan sebagainya. Saya menerangkan kepada Nora cara penggunaannya yang mudah iaitu dengan menyapukan kepada pergelangan tangan sebelum tidur.

Kini setelah beberapa bulan menjalani rawatan saya nampak banyak perubahan pada Nora. Bukan sahaja kulit wajahnya cantik dan licin namun beliau juga tampak lebih bertenaga dan ceria. Paras hormon dalam darahnya juga meningkat dengan baik sekali.

Nora merasa gembira dan kini beliau tidak lagi didatangi jerawat yang menghodohkan wajah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kosmo Online - Kesihatan

Posted: 27 Mar 2011 01:09 AM PDT

Kosmo Online - Kesihatan


Bila anak memberontak

Posted:

Bila anak memberontak

Bila anak memberontak

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN


IBU BAPA perlu konsisten dalam membentuk tabiat dan tingkah laku anak-anak.


KITA sering beranggapan hanya orang dewasa mengalami tekanan, gangguan emosi atau emosi kurang stabil. Hakikatnya, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada dibelenggu permasalahan psikiatri ini.

Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah dua hingga empat peratus di kalangan kanak-kanak manakala 10 peratus di kalangan remaja dan 15 hingga 20 peratus di kalangan dewasa.

Kajian yang dilakukan Dr. Ramli Musa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diterbitkan dalam Jurnal Psikiatri Hong Kong itu turut mendapati 10.5 peratus daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan.

Tabiat

Bertanya kepada Profesor Psikiatri, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azhar Mohd. Zain, beliau menjelaskan, gangguan atau tekanan emosi di kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiar berlarutan dan perlu diberi perhatian segera.

"Setiap kanak-kanak mungkin mempamerkan emosi yang berbeza ketika mereka mengalami tekanan. Ia juga sukar dikesan dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas.

"Kebiasaannya kanak-kanak akan murung, menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atu rakan-rakan, tidak mahu makan dan hilang minat pada aktiviti yang biasa mereka lakukan.

"Walaupun begitu, boleh dikatakan jarang kanak-kanak boleh menerima tekanan emosi kerana pada peringkat umur tersebut, mereka tidak akan memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara memberontak atau menangis.

"Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh kalah dengan tangisan anak-anak kerana ia hanya akan menambah sifat ingin memberontak," katanya.

Mengulas lebih lanjut, Azhar menjelaskan, tabiat kerap menangis atau memberontak untuk mendapatkan sesuatu memang sering digunakan kanak-kanak dalam menarik perhatian orang dewasa.

"Sebagai ibu bapa, kita adalah orang yang bertanggungjawab membentuk tabiat kanak-kanak dengan syarat mesti konsisten.

"Sebahagian besar ibu bapa berasa malu jika anak mereka meronta-meronta dan menangis di kedai kerana mahukan sesuatu.

"Tip paling baik, jangan beri apa yang dimahukan ketika mereka menangis atau memberontak, sebaliknya beri apabila mereka berkelakuan baik.

"Ibu bapa juga jangan kalah dengan tangisan kerana jika kita mengalah, itu hanya akan menambahkan galak mereka.

"Lama-kelamaan, mereka akan gunakan taktik air mata itu setiap kali permintaan mereka tidak dipenuhi.

"Sebaik-baiknya bersabarlah dengan kerenah mereka dan jangan berputus asa. Katakan kepada mereka, hajat mereka akan dipenuhi jika berkelakuan baik.

"Kerana itu, konsisten sangat penting supaya anak-anak tidak keliru," jelasnya.

Wanita lebih murung

Kembali meneliti penyelidikan Ramli, antara kesimpulan daripada kajian tersebut ialah di antara lelaki dan perempuan, perempuan lebih berisiko mendapat kemurungan.

Golongan yang tidak terkecuali ialah kanak-kanak yang ibu bapanya berpendapatan rendah, di kalangan keturunan Cina dan mereka yang terlibat dalam masalah disiplin seperti mencuri dan mengambil alkohol.

"Kemurungan dalam kajian lain sememangnya berkait rapat di kalangan mereka dari sosioekonomi rendah.

"Disebabkan tekanan hidup menyebabkan mereka lebih cenderung mendapatnya.

"Mengapa di kalangan keturunan Cina lebih cenderung? Antara spekulasi mengapa kajian ini mendapat keputusan begini kerana masyarakat Cina lebih terbuka menzahirkan tanda-tanda dan perasaan mereka berbanding masyarakat lain," ulas Ramli.

Menolak tanggapan bahawa semua kanak-kanak yang dilabelkan nakal atau memberontak sebagai memiliki masalah sikap, Ramli mempunyai pandangan tersendiri.

"Jika anak memberontak, jangan lekas menghukum, apalagi terus merotan mereka. Adalah penting ibu bapa dan guru cuba mendekati perasaan mereka mengapa mereka berkelakuan begitu," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Utusan Online - Keluarga

Posted: 26 Mar 2011 01:49 PM PDT

Utusan Online - Keluarga


Bangkit biar pun lumpuh

Posted:

Bangkit biar pun lumpuh

Bangkit biar pun lumpuh

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto ASMARUDDIN


ZAINAL berjaya mengubahsuai motosikal yang menjadi kenderaan utamanya sejak 10 tahun lalu.


Melihat tubuh kaku suami di katil hospital, Nurliah Bakar, 53, mula memikirkan masa depannya.

Hilang tempat tergantung, wanita itu perlu meneruskan kehidupan bersama suami demi anak-anak. Walaupun sedih mengenangkan nasibnya, dia yakin mampu mengubah kehidupan keluarganya.

Nada suaranya lembut dan bersahaja ketika menyingkap sisi kehidupannya 26 tahun lalu.

Pada usia muda, sementelah anak ketiga menunggu masa untuk dilahirkan ke dunia, fasa bahagianya direntap dengan tragedi yang tidak siapa pun boleh menjangka.

Berat mata memandang, berat lagi memikul. Mungkin ramai yang tidak percaya, Nurliah mampu bertahan dalam rumah tangga hampir tiga dekad bersama suami yang lumpuh.

Tidak mahu mengharapkan simpati masyarakat sekeliling, Nurliah bangkit daripada kekecewaan membesarkan anak-anak dan pada masa yang sama menjaga suami.

"Hampir setiap hari makcik menangis di katil hospital tanpa mempedulikan orang yang lalu lalang. Ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sedihnya makcik melihat tubuh kaku suami di katil hospital.

"Hanya kerana terjatuh daripada pokok rambutan kira-kira 26 tahun lalu, dia lumpuh selama-lamanya hingga ke hari ini," ujar Nurliah memulakan bicara.

Yang membuatkannya tabah ialah anak-anak yang perlu diberi makan minum dan pendidikan sempurna.

Anak sulungnya pada waktu itu baru bersekolah tadika. Kudrat wanitanya dikerah dengan kerja-kerja di ladang. Dialah bapa dan ketua keluarga. Tidak pernah menyesal atas nasibnya, wanita ini reda ketentuan Ilahi untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Berdikari

Melihat ketabahan isteri, Zainal Ali, 55 tidak mahu berputus asa walaupun lumpuh kekal.

Dia tidak hanya berpeluk tubuh, sebaliknya secara perlahan-lahan membantu isterinya.

Di sebalik nasib yang menimpa mereka, Zainal menyifatkan dugaan dan fitnah yang datang bertimpa-timpa sejak peristiwa malang itu sebagai dugaan.

Hakikat dia tinggal di rumah menjaga anak-anak, sedangkan si isteri terpaksa bekerja mencari rezeki seawal pagi pada awalnya sangat menghibakan hatinya.

Justeru, Zainal belajar berdikari bagi menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat terutama apabila anak-anaknya mula melanjutkan pengajian ke kolej dan ada yang bersekolah.

"Jika dikenang kembali memang dugaan datang cukup hebat. Tetapi pakcik tak boleh duduk diam dan jangan membiarkan kekurangan diri membataskan segala pergerakan," katanya yang pernah membuka bengkel membaiki kenderaan di rumahnya yang terletak di Felda Bukit Senggeh, Melaka.

Malah, dengan kemahiran yang ada, Zainal berjaya mengubahsuai motosikal yang menjadi kenderaan utamanya sejak 10 tahun lalu. Dengan motosikal itu, Zainal boleh ke kebun dan melihat kerja-kerja di ladang.

"Tak boleh tinggal ladang, kena datang tengok orang kait buah. Pakcik ubah suai motosikal ini pun untuk memudahkan pergerakan sebab susah kalau bawa kereta ke ladang," ujarnya.

Katanya, selain rawatan perubatan, kesihatannya banyak dipengaruhi sokongan positif daripada ahli keluarganya.

"Benarlah kata orang kesihatan bermula daripada mental dan keluarga. Dengan adanya sokongan isteri dan anak-anak, saya berjaya merubah diri walaupun lumpuh. Kini saya mampu tersenyum seperti orang yang sempurna bentuk fizikalnya," ujarnya yang sentiasa menjaga pemakanan pada usia emas.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Saudagar intan zaman moden

Posted:

Saudagar intan zaman moden

Saudagar intan zaman moden

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
Foto FAUZI BAHARUDIN



MOHAMMAD Amran cukup bertuah kerana menuntut banyak ilmu tentang intan permata daripada arwah neneknya, Saebah Deto. Kebetulan ketika itu nenek Mohammad bekerja sebagai peraih emas. Dia menemani nenek yang juga menjual himpunan kain batik dan pinggan mangkuk di Kampung Batu 9, Chemor, Perak.

Tugas lelaki itu amat mudah iaitu bertindak sebagai pembantu nenek tatkala berurus niaga.

Semasa proses menjual beli, dia mempelajari sesuatu menerusi penjelasan tentang keistimewaan barang jualannya kepada pelanggan.

Secara tak langsung, penerangan tentang intan, zamrud dan delima itu hinggap di ingatan Mohammad. Meskipun urusniaga intan permata tidak sesuai untuk golongan kanak-kanak seperti Mohammad, tapi minat yang mendalam mengatasi segala-galanya.

"Intan permata cukup bernilai dan sukar untuk didapati pada zaman sekarang. Disebabkan ia barang lama juga, orang jarang didedahkan tentang kecantikan hakikinya," cerita Mohammad.

Minat bekas pensyarah Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu bertambah ketika berusia belasan tahun. Di situ, dia sudah mula 'menjinakkan' diri ke lokasi penjualan barangan kemas di seluruh tanah air termasuk Sabah dan Sarawak.

Rasa teruja kerana banyak barang kemas yang diwarisi daripada arwah ibu, Ramlah Husin setelah diagih sama rata kepada 11 adik beradik yang lain dalam simpanannya.

Pada masa yang sama, bapa kepada empat orang anak itu juga rajin bergaul dengan peminat barangan kemas untuk mengetahui nilai semasa harta itu.

Apatah lagi selepas mengetahui taksiran harga bagi satu barangan kemas bertatahkan intan boleh mencecah antara RM1,000 sehingga RM21,000 mengikut harga pasaran. Semakin kasar dan besar barangan tersebut, semakin mahal ia dijual.

Ditanya tentang kesukaran menjaga setiap barang kemas yang terdiri daripada subang, cincin, gelang tangan, gelang kaki, lecha, loket, ipung, pacak sanggul dan paun emas berkerawang burung merak, lelaki itu tersenyum.

Katanya, setiap satu barangan tersebut dibalut dengan kain dan diletakkan dalam satu bekas khas yang dipastikan tidak berlaga antara satu sama lain. Keselamatan tersebut perlu dititik beratkan kerana intan mudah jatuh dan hilang andai tergeser dengan barangan lain.

Saudagar barangan kemas sejak 35 tahun lalu itu juga menganggap hobinya itu sebagai 'penyakit' yang berkemungkinan berjangkit kepada anak kedua dan ketiganya, Mohd. Danial dan Mohd. Adam.

Berbanding Hazlinadul Umira dan Datu Zahiruddin, mereka lebih berminat untuk mengetahui kehalusan seni pada semua koleksi purba milik bapa mereka.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan