Sabtu, 12 Mac 2011

Edisi Nasional

Edisi Nasional


Utusan Online - Keluarga

Posted: 12 Mar 2011 01:08 PM PST

Utusan Online - Keluarga


Keindahan stail Itali

Posted:

Keindahan stail Itali

Keindahan stail Itali

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my


GAYA pintu moden menyerlahkan keindahan dekorasi kediaman.


MENYELUSURI ruang legar di pusat pameran StileItalia, pasti pengunjung terpegun melihat peralihan gaya pintu dan tingkap rumah.

Seperti fesyen pakaian yang bertukar angin mengikut kehendak dan keperluan pasaran semasa, pintu dan tingkap rumah juga sepatutnya menerima layanan yang serupa agar seiring dengan revolusi peningkatan gaya hidup warga kota.

Berbanding dengan katalog dan gambaran pakar perunding hiasan dalaman rumah, penyampaian fizikal dilihat sebagai salah satu medium terbaik bagi memudahkan pelanggan walk-in sambil mengenali pilihan pintu dan tingkap secara dekat dan profesional.

Kebebasan

Galeri StileItalia di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur misalnya memberi kebebasan kepada pelanggan mengamati gaya rumah mewah Itali.

Melihat sendiri pelbagai jenis pintu dan tingkap, pelanggan bukan sahaja dapat membeli mengikut kesesuaian diri tetapi apa yang diimpikan berdasarkan cara hidup masing-masing.

Pelanggan yang berjalan masuk ke galeri akan diberi penerangan ringkas tentang pemilihan pintu metalik yang lebih kontemporari dan versatil.

Setiap sudut disusun dan dipersembahkan secara kreatif.

Apa yang anda lihat di dinding atau lantai di galeri ini adalah produk sebenar yang akan diterima oleh anda.

Cuma seseorang itu perlu bijak memilih pintu atau tingkap bersesuaian dengan jenis kediaman dan fungsinya.

Dengan pembahagian ruang pameran kepada pelbagai aspirasi pintu berbeza, pelanggan akan dibimbing tentang stail Itali yang rata-ratanya ber warna putih, coklat dan hitam sebagai rona asas.

Kebanyakan stail Itali memberi imej ruang tamu yang luas dan klasik.

Pilihan pintu bercorak pula ringkas melengkapkan stail harmoni dengan bayangan semula jadi. Ia secara tidak langsung bersifat neutral dan sejuk dipandang mata.

Dalam pemilihan pintu atau tingkap, seseorang itu perlu mementingkan saiz dan potongan untuk memberi kelebihan pada ruang yang dicipta.

Selain itu, fungsi keselamatan juga perlu diambil kira seperti pemasangan pintu gelongsor atau gril.

Kualiti

Ramai juga yang membeli produk Itali kerana kualiti yang ditawarkan dan apa kata kali ini anda mencuba produk pintu StileItalia.

Kalau anda cuba membuka atau menutup pintu dan tingkap ini, anda akan tahu perbezaannya. Ketahanannya juga jelas melalui pemilihan material yang digunakan.

Jadi selepas ini orang ramai tak perlu ke Itali lagi kerana StilelIalia sudah membawanya ke mari. Setakat ini, pelanggan mungkin dapat membayangkan apa yang diinginkan dan boleh berbincang dengan pakar perunding berhubung jenis rekaan, saiz dan harga dengan berkunjung ke ruang pameran StileItalia. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari www.stiletalia.com.my.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pengalaman menginap di dalam gua

Posted:

Pengalaman menginap di dalam gua

Pengalaman menginap di dalam gua

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH

BAGI mereka yang menggemari keindahan alam semula jadi, berada di Taman Negara Pahang memang sukar diluahkan dengan kata-kata. Sebaik menjejak kaki di sana, pengunjung pantas terlupa seketika tentang hiruk-piruk di luar taman negara.

Bertemankan bunyi-bunyian penghuni hutan yang pelbagai rentak dan irama, pengunjung dibawa meneroka suasana yang cukup mendamaikan.

Malah jangan ada yang menyesal pula apabila kunjungan pertama kali ke sana hanya menginap dua hari satu malam sahaja.

Pasti ada yang berasa rugi kerana tidak berada di Taman Negara Pahang sekurang-kurangnya paling lama tiga hari dua malam.

Berkunjung ke taman negara yang menjadi produk pelancongan popular di negara ini, pengunjung dihidangkan dengan keunikan luar biasa tumbuhan dan hidupan liar selain menyusuri jeram sungai yang mencabar.

Semuanya itu boleh dinikmati dalam suasana nyaman dan menyeronokkan sekali gus menghilangkan segala bebanan kerja yang ditanggung sekian lama.

Lebih menarik, pengunjung tidak sekadar memperoleh pengalaman itu sebaliknya berpeluang melakukan pelbagai aktiviti yang jarang-jarang dilakukan sebelum ini.

Menyusuri jeram sungai

Barangkali tidak keterlaluan jika mengatakan Taman Negara Pahang adalah sebuah syurga hutan yang sangat memukau pandangan mata.

Perasaan jatuh cinta dengan keindahan taman negara itu pantas menggamit jiwa sebaik sahaja pengunjung menaiki bot kayu di Kuala Tembeling di Jerantut.

Menyusuri Sungai Tembeling ke Kuala Tahan yang memakan masa perjalanan tidak kurang tiga jam, bermulalah memori yang dikenang sampai bila-bila.

Ini kerana selain dapat melihat spesies serangga, burung dan binatang liar, Taman Negara Pahang turut menyediakan aktiviti berjalan malam kepada pengunjung.

Jika bernasib baik, pengunjung boleh melihat binatang liar datang ke Bumbun Tahan untuk mendapatkan bekalan garam pada waktu malam.

Pada masa sama, pengunjung juga dapat mempelajari bagaimana hidupan liar seperti serangga dan burung menguasai alam dengan menyamar di sebalik pokok.

Beralih kepada aktiviti lasak, berjalan di atas jambatan gantung sepanjang 525 meter dengan ketinggian 45 meter cukup mendebarkan buat pengunjung yang memiliki perasaan gayat.

Namun aktiviti itu sebenarnya dapat membentuk peribadi seorang individu menjadi lebih berani dalam membuat keputusan.

Ini kerana pengunjung tidak lagi boleh berpatah apabila berada di atas jambatan itu.

Mahu atau tidak, pengunjung perlu meneruskan perjalanan yang mencabar itu apabila berada di atas pokok setinggi 45 meter dan di bawah terdapat gaung dan sungai.

Menginap dalam gua

Aktiviti meredah jeram di sepanjang Sungai Tembeling dan Sungai Tahan turut membolehkan pengunjung melihat sendiri kehidupan orang asli suku kaum Batek yang teguh dengan kehidupan tradisi mereka.

Bagi yang gemar mendaki, Taman Negara Pahang memiliki puncak Bukit Teresek yang mendamaikan selain Lata Berkoh yang merupakan tempat mandi manda dan pusat ternakan ikan kelah.

Selain itu terdapat beberapa buah gua antaranya Gua Kepayang Besar untuk pengunjung menikmati hidupan di dalamnya.

Peluang bermalam di dalam gua itu merupakan satu pengalaman paling berharga buat penulis ketika menerokai Taman Negara Pahang.

Cabaran merentas hutan selama tujuh jam dengan dibantu juru pandu khas meninggalkan satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan sampai bila-bila.

Sambil menggalas beg berat yang diisi dengan makanan dalam tin, beras dan pakaian, laluan yang dilalui begitu mencabar apabila terpaksa berdepan dengan paya, melintasi batang pokok mati dan tanah tinggi.

Dalam perjalanan itu, pengunjung sempat melihat kawasan-kawasan hidupan liar mencari makanan selain pokok-pokok hutan seperti pokok tongkat ali dan kacip fatimah.

Bagi yang tidak pernah menginap dalam gua, pemandangan di dalam Gua Kepayang Besar cukup luar biasa kerana ia masih asli dan semula jadi.

Menyusuri laluan gelap dalam gua yang penuh kelawar dan berair benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental pengunjung.

Tetapi agak bahaya ketika berjalan di kawasan berair di dalam gua yang boleh menyebabkan pengunjung jatuh tergelincir.

Pengalaman yang paling istimewa apabila tidur di dalam gua dengan bau hapak dalam gelap dan hanya disinari unggun api sahaja.

Tawaran

pakej murah

Syarikat agensi pelancongan, Golden Water Holidays Sdn. Bhd. (GW Holidays) kini menawarkan pakej percutian istimewa tiga hari dua malam ke Taman Negara Pahang bermula dengan harga serendah RM199 seorang.

Pengarah Urusannya, Mohd. Redzuan Lim berkata, pakej itu merangkumi kemudahan penginapan dua malam, makan minum sebanyak lima kali, permit masuk, aktiviti seperti merentas hutan pada waktu malam, melawat kampung Orang Asli, meniti jambatan gantung, berburu dan merentas hutan ke Bukit Teresek dengan diiringi pemandu berpengalaman.

Katanya, pakej istimewa itu menawarkan tempoh sah tempahan berkenaan untuk setahun.

"Ini merupakan julung kali kami menawarkan harga di bawah RM200 dan rakyat Malaysia perlu merebut peluang ini bagi mendapat tawaran pakej hebat ini," katanya

Bagi sesiapa yang ingin bercuti di Taman Negara Pahang, anda boleh menghubungi GW Holidays di talian 09-2602110 atau 016-9807900 atau melayari laman web www.gwholidays.blogspot. com.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Utusan Online - Johor

Posted: 12 Mar 2011 09:03 AM PST

Utusan Online - Johor


Pusat riadah keluarga

Posted:

Pusat riadah keluarga

Pusat riadah keluarga

Oleh luqman haziq abdullah
editjohor@utusangroup.com.my


SEBAHAGIAN daripada pemain bola futsal beraksi di Kompleks Daya Point, Johor Bahru. - utusan/BAAZLAN IBRAHIM


JOHOR BAHRU 11 Mac - Semasa menjejakkan kaki untuk menyahut cabaran seorang rakan bermain futsal di Kompleks Daya Point, Taman Daya dekat sini baru-baru ini, terasa ia bukan sekadar sebuah gelanggang futsal biasa.

Dilengkapi empat gelanggang bersaiz antarabangsa, kompleks tersebut sebenarnya boleh dianggap yang pertama seumpamanya di negeri ini.

Apa tidaknya, selain gelanggang futsal, ia turut menempatkan ruangan untuk bermain bola meja, snuker dan pingpong.

Malah, untuk keselesaan pelanggan yang membawa keluarga khususnya anak-anak kecil, kompleks tersebut bakal dilengkapi restoran makanan segera dan kopitiam yang akan memulakan operasi tidak lama lagi.

Bagi yang kepenatan bermain futsal, mereka juga boleh menjengah ke kafe siber untuk memuat naik gambar-gambar perlawanan futsal bersama rakan-rakan atau pun memeriksa akaun e-mel dan laman sosial seperti Facebook atau Twitter.

Pendek kata, Kompleks Daya Point merupakan pusat sehenti yang menyediakan pelbagai kelengkapan riadah untuk seisi keluarga.

Dimiliki oleh seorang usahawan bumiputera terkenal di negeri itu, Rohaizat Yacob, 46, kompleks berkenaan memulakan operasinya sejak 25 Februari lalu.

Nyata usaha mewujudkan gelanggang futsal dan pelbagai kemudahan permainan keluarga itu disambut baik oleh penduduk sekitar khususnya golongan muda yang amat menggemari permainan itu kerana ia satu-satunya gelanggang futsal di kawasan berkenaan.

"Kompleks Daya Point ini merupakan satu-satunya gelanggang futsal yang ada untuk kemudahan bagi penduduk di beberapa taman perumahan berhampiran seperti Taman Daya, Taman Setia Indah, Taman Dato' Onn dan Taman Delima.

"Jadi, dengan adanya gelanggang ini ia memberi kemudahan kepada peminat sukan futsal di sini kerana mereka tidak perlu pergi jauh untuk bermain," kata Rohaizat kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pengarah Urusan Rohaizat Corporation (M) Sdn. Bhd., itu membelanjakan RM350,000 untuk mengubah suai bangunan milik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu untuk dijadikan kompleks riadah seisi keluarga.

"MBJB beri pajakan selama 30 tahun dengan kadar sewa RM6,000 sebulan. Saya berharap pusat ini menjadi tumpuan penduduk dan penggemar sukan futsal bersama keluarga masing-masing untuk beriadah," katanya sambil berharap dapat mencapai sasaran pulang modal dalam tempoh dua tahun beroperasi.

Rohaizat juga berharap, kompleks tersebut menjadi lokasi aktiviti sosial masyarakat setempat bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.

Katanya, orang ramai hanya dikenakan bayaran RM60 sejam mulai pukul 10 pagi hingga 6 petang dan pada malamnya RM70 sejam setiap hari.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi beliau di talian 012-7116048 atau 012-7444684.

Sementara itu, seorang pelanggan, Abdul Razak Yacob, 34, mengakui teruja bermain futsal di kompleks tersebut kerana ia menyediakan pelbagai permainan lain.

"Keadaan gelanggang futsal yang baik membuatkan saya dan rakan-rakan seronok bermain di sini. Lagipun, selepas penat bermain futsal, kita boleh mencuba permainan bola meja atau ping pong," katanya.

Bagi Zahid Ali, 35, walaupun kompleks itu baru beroperasi, ia mendapat sambutan hangat daripada penduduk sekitar kerana merupakan satu-satunya gelanggang futsal yang ada di kawasan tersebut.

"Bagi yang tidak berminat bermain futsal, mereka juga boleh datang ke sini untuk bermain ping-pong, snuker atau bola meja," katanya.

Mohd. Firdaus Rohaizat, 24, pula menyifatkan kompleks itu pusat sehenti yang ideal untuk keluarga beriadah.

"Saya yakin apabila restoran makanan segera memulakan operasi nanti, lebih ramai akan datang untuk bermain futsal dan ping-pong bersama keluarga," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Basmi jenayah di Iskandar Malaysia

Posted:

Basmi jenayah di Iskandar Malaysia

Basmi jenayah di Iskandar Malaysia

oleh Zulhisham Isahak
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 11 Mac – Seramai 20 anggota polis akan ditempatkan di 10 buah Pos Komuniti Polis (CPP) sekitar taman perumahan di kawasan Iskandar Malaysia dalam masa terdekat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Amer Awal berkata, daripada 10 buah CPP itu, tiga adalah di Johor Bahru Selatan, dua buah masing-masing di Nusajaya, Seri Alam dan Kulaijaya manakala sebuah lagi di daerah ini.

"Di setiap CPP, kita akan tempatkan dua anggota polis dan kewujudannya adalah atas usaha Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar (IRDA) dengan tujuan menjamin dan meningkatkan tahap keselamatan di kawasan Iskandar Malaysia.

"Setiap unit merupakan sebuah rumah teres dua tingkat yang dibina IRDA dan didiami anggota polis berkenaan selain turut menyediakan ruang mesyuarat dan pejabat.

''Kehadiran mereka akan memberi keyakinan dan kita minta masyarakat setempat beri kerjasama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Persidangan Bandar Selamat, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi IRDA, Hilmi Mohd. Nasir; Pengarah Kesihatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Dr. Rahim Tumin dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob.

Mengulas lebih lanjut, Amer memberitahu bahawa CPP itu dibina di kawasan taman perumahan yang mempunyai kapasiti sekitar 5,000 hingga 10,000 penduduk.

Katanya, langkah itu diambil bagi mengurangkan kadar jenayah selain berfungsi untuk menerima laporan, aduan dan maklumat berhubung jenayah yang memerlukan tindakan serta-merta dengan kerjasama dengan Rukun Tetangga.

Sebelum ini, katanya, terdapat tiga buah CPP di kawasan Johor Bahru Selatan yang beroperasi sejak tahun lalu.

Terdahulu ketika berucap, beliau memberitahu, kadar jenayah jalanan bagi tiga bulan pertama tahun ini di kawasan Iskandar Malaysia menurun kira-kira 2.5 peratus yang melibatkan lima buah kawasan yang sebelum ini dikenali sebagai kawasan panas.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kosmo Online - Pesona

Posted: 12 Mar 2011 07:04 AM PST

Kosmo Online - Pesona


Usah malu mengepam susu badan

Posted:

Usah malu mengepam susu badan

Usah malu mengepam susu badan

Oleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN
farhana.mydin@kosmo.com.my



MENYUSU badan kini sudah kembali sebagai trend malah, ramai ibu muda pada masa kini tanpa mengeluh tetap akan mencari sudut privasi bagi menyusukan anak walaupun di pusat beli-belah, kedai makan mahupun dalam majlis keramaian.

Jika tidak diberi menyusu terus dari payu dara, lambakan jenama dan jenis pam susu badan manual mahupun elektrik menjadikan wanita yang berkerjaya juga mampu memberikan susu badan secara eksklusif kepada bayi mereka.

Menyusukan anak secara eksklusif bermakna bayi disusukan dengan susu ibu sahaja tanpa diberi air masak, susu formula atau makanan tambahan lain selama enam bulan dan meneruskannya sehingga dua tahun.

Justeru itu, pemilihan pam susu yang bersesuaian perlu dititikberatkan untuk mengelakkan proses mengeluaran susu tidak terganggu akibat kejutan terutama dari segi sedutan.

Menurut Kaunselor Laktasi dan Pengarah Urusan Sarakids, Nor Farah Farhan Abdul Fattah, pemilihan pam yang bergred hospital amat penting kerana ia lebih selesa digunakan, mengikut sedutan seperti mulut bayi selain tidak menyakitkan.

Menceritakan lebih lanjut, wanita yang mesra disapa Farah, 30, mencadangkan supaya ibu-ibu yang bekerja membuat kaji selidik menerusi Internet, rakan-rakan yang berpengalaman ataupun berjumpa dengan pakar laktasi sebelum membeli gajet tersebut.

Katanya, sekiranya tersilap memilih kerana mahu yang murah, mungkin pam tersebut tidak bergred hospital sekali gus membantutkan proses pemerahan susu apabila payu dara ibu berasa sakit dan tidak selesa.

"Pemilihan pam yang betul sangatlah penting kerana ciri-ciri pam yang sepatutnya dipilih adalah sedutan yang menyerupai hisapan mulut bayi," jelasnya.

Tambahnya, bagi ibu yang bekerja, lebih mudah sekiranya mereka memilih pam berganda (double-pumping) kerana ia amat menjimatkan masa, iaitu mereka boleh memerah susu pada kedua-dua belah payu dara secara serentak untuk tempoh 20 hingga 30 minit.

Kelengkapan pam



Selain pemilihan pam susu, ibu juga sudah boleh mula mencari produk penyusuan susu ibu di pasaran seperti beg penyejuk, gel ais dan beg yang bersesuaian untuk memudahkan ibu semasa hendak mula bekerja nanti.

Kata Farah, susu ibu boleh disimpan dalam peti sejuk dua pintu (pintu atas) selama tiga bulan, peti sejuk satu pintu selama dua minggu dan peti sejuk beku selama enam bulan.

Bagi wanita yang bekerja, memang diakui, pada mulanya pasti ramai yang agak malu untuk melakukan proses mengepam di tempat kerja yang sudah tentu menarik mata nakal rakan lelaki yang memandang.

"Sebenarnya mudah sahaja untuk mengepam di pejabat, yang paling penting pemilihan baju serta pakaian dalam yang mudah untuk diselak untuk mencekup corong pam susu dengan mudah.

"Selain itu, pemilihan pam elektrik yang kurang mengeluarkan bunyi, malah boleh juga ditempatkan motor pam itu di dalam beg khas untuk mengurangkan gegaran dan juga bunyi pam," katanya yang turut mereka pam elektrik jenama sendiri, Modu hasil kerjasama dengan Insan iaitu sebuah syarikat di Korea.

Kelebihan susu badan

Bagi ibu yang meninggalkan anak di rumah pengasuh, oleh kerana kebanyakan pengasuh sudah terbiasa memberikan susu formula kepada bayi di bawah jagaan mereka, ia menyebabkan kemungkinan bekalan susu perahan yang disediakan tidak mencukupi selama di rumah pengasuh.

Ini kerana ramai yang keliru mengenai kuantiti susu diperlukan oleh bayi yang membesar dari bulan ke bulan.

Ia menyebabkan ramai ibu berada dalam dilema sama ada terus memberi anak susu badan apabila si kecil di bawah jagaan pengasuh.

Nasihat Farah, konsep permintaan dan pembekalan perlu difahami ibu supaya mereka tidak tersalah anggap dengan kebolehan badan menghasilkan susu untuk anak-anak.

"Sebenarnya ramai ibu yang tidak tahu bahawa pengambilan susu perahan oleh bayi dari umur satu bulan hingga 6 bulan adalah sama dan tidak berubah. Ia adalah lebih kurang tiga auns sekali minum dengan empat hingga lima kali dalam tempoh ibu bekerja.

"Diakui pada awalnya, bayi akan merengek dan memberi isyarat seperti mahu menghisap susu lagi, namun ibu boleh melatih pengasuh untuk mendukung, bermain dan memberi lebih perhatian kepada bayi.

"Ini kerana kebiasaannya ramai yang beranggapan susu badan harus ditambah untuk bayi seiring dengan peningkatan usia sehingga 6 bulan.

"Bagaimanapun, pendapat itu mungkin hanya sesuai untuk susu formula sebagaimana yang tercatat pada label pada tin.

"Keunikan susu ibu adalah apabila Allah telah pun menetapkan khasiatnya mengikut keperluan umur," jelasnya sambil menerangkan bayi sememangnya mempunyai naluri menghisap namun, keadaan ini bukanlah bermakna bayi tidak cukup susu.


SUSU badan yang dipam boleh disimpan di dalam peti sejuk dan boleh bertahan antara tiga hingga enam bulan.


Pengalaman sendiri

Berkongsi pengalaman sebagai wanita yang bergelar ibu, Farah juga menginginkan yang terbaik buat tiga orang buah hatinya, Puteri Sara Azalea, 4, Puteri Syasya Adalea, 3, dan Putera Shafik Adrian, 4 bulan.

Isteri kepada seorang jurutera, Saiful Azwan Rasidi itu sedar perkara asas yang terbaik untuk anak-anaknya sejurus selepas dilahirkan adalah dengan memberi susu ibu secara eksklusif.

Lulusan bidang Mikrobiologi dari Universiti Teknologi Mara itu sanggup meninggalkan jawatan sebagai pensyarah di salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta selepas dia melahirkan anak sulungnya.

"Saya akui dulu semasa anak sulung, saya kurang pengalaman dan persediaan. Malah, ketika anak saya berumur 8 bulan, saya diberikan rezeki untuk mengandungkan anak kedua pula, ketika itulah saya berhenti memberi susu badan kepada anak sulung kerana mendengar cakap orang yang lebih tua.

"Ada yang kata tidak elok untuk kesihatan bayi yang dikandung kerana bimbang, khasiat makanan ibu yang sepatutnya diambil bayi dalam kandungan, 'dicuri' anak yang sedang menyusu," katanya yang berjaya melengkapkan kursus penyusuan yang melayakkannya bergelar kaunselor laktasi dari Pusat Perubatan Universiti Malayia (PPUM).

Enggan mengulangi kesilapan pertama, Farah memilih menyusu secara eksklusif bagi anak kedua dan ketiganya.

"Ia adalah nikmat tak ternilai bagi seorang ibu, malah sokongan daripada orang tersayang iaitu suami amat saya hargai," katanya yang ternyata puas kerana dapat menyusukan anak-anaknya tanpa susu formula.

Dengan kesedaran yang ada, Farah bertekad menubuhkan sebuah pusat sehenti bagi barangan bayi dan gajet lengkap untuk penyusuan susu ibu yang diberi nama Sarakids.

Sarakids kini mempunyai lima cawangan utama seluruh negara dan turut melebarkan sayapnya ke Brunei, Singapura dan Korea.

Untuk maklumat lanjut mengenai Sarakids, boleh ke laman web www.sarakids.com atau ke kedai di alamat 42-1, First Floor, Jalan Opera L U2/L, Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bermain di taman tema dalaman terbesar

Posted:

Bermain di taman tema dalaman terbesar

Bermain di taman tema dalaman terbesar

Oleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN
farhana.mydin@kosmo.com.my


NOORAINEE (tiga dari kiri) bersama Syed Ali (dua dari kanan) memberikan sumbangan kepada seorang kanak-kanak istimewa pada program Jalinan Kasih.


BERJAYA Corporation Berhad bersama Yayasan Pendidikan Cheras berkolaborasi menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan meraikan 450 orang kanak-kanak dari 10 buah sekolah sekitar Cheras, Kuala Lumpur di Taman Tema Berjaya Times Square baru-baru ini.

Program itu yang turut meraikan 160 kanak-kanak istimewa, turut dihadiri oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Majlis Jalinan Kasih bersama kanak-kanak istimewa yang dinamakan Shower of Love Celebration itu meraikan empat buah sekolah angkat Yayasan Pendidikan Cheras iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Yaakob Latif, Sekolah Kebangsaan Yaakob Latif, Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Peel dan Sekolah Pendidikan Khas Cacat Penglihatan Jalan Batu, Kuala Lumpur.

"Program ini membuktikan bahawa badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak pernah menyisihkan golongan yang memerlukan terutama kanak-kanak istimewa.

"Malah, sebanyak 36 buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur menjadi sekolah angkat Yayasan Pendidikan Cheras dan separuh daripadanya mempunyai kelas pendidikan khas," kata Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Pada majlis tersebut, semua tetamu turut diraikan dengan persembahan pelajar termasuk juga daripada kanak-kanak istimewa.

Persembahan tersebut mendapat sorakan apabila semua kanak-kanak yang hadir menyanyi dan bertepuk tangan di tempat duduk tetamu.

Dalam pada itu, Pengerusi Berjaya Berhad, Tan Sri Vincent Tan berharap majlis seperti itu dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan cara berkongsi kasih sayang terutamanya bagi mereka yang kurang bernasib baik.


KANAK-KANAK dari Yayasan Pendidikan Cheras mengenepikan perasaan gementar untuk mencuba permainan Dizzy Izzy.


"Pada hari ini, kami memberi peluang kepada semua kanak-kanak termasuk mereka yang tergolong sebagai kanak-kanak istimewa untuk sama-sama bergembira dengan bermain pelbagai permainan yang terdapat di taman tema ini.

"Kami berharap mereka bersama-sama terhibur dan saling membantu antara satu sama lain," katanya yang berharap badan korporat lain turut menganjurkan program seumpamanya.

Golongan istimewa

Dalam ucapan perasmian, Noorainee mencadangkan program pendidikan khas harus diwujudkan di setiap sekolah rendah dan menengah sebagai perancangan strategik bagi membantu golongan istimewa.

"Langkah ini wajar bagi memudahkan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa menghantar anak mereka ke sekolah yang lebih dekat dengan rumah berbanding menempatkan mereka di sekolah khas yang hanya terdapat di sesetengah kawasan sahaja.

"Malah, langkah ini selaras dengan pelaksanaan gagasan 1Malaysia dengan tidak menyisihkan golongan istimewa," terangnya.

Beliau turut memuji usaha murni Berjaya Times Square dengan Yayasan Pendidikan Cheras. Beliau berharap program seumpamanya dapat diteruskan dan ditingkatkan dari semasa ke semasa agar manfaatnya dapat dinikmati oleh kumpulan sasaran terutamanya anak-anak istimewa.

Selepas majlis perasmian, kesemua kanak-kanak, guru pengiring dan tetamu jemputan dihiburkan dengan persembahan khas iaitu persembahan pantomin oleh pelajar-pelajar dari SMK Yaakob Latif. Majlis itu juga dimeriahkan dengan persembahan organ oleh seorang pelajar cacat penglihatan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bersalam dengan ibu mertua

Posted:

Bersalam dengan ibu mertua

Bersalam dengan ibu mertua

SAYA ada kemusykilan hukum bersalam dengan ibu mertua. Adakah perbuatan itu membatalkan wuduk? Ada yang mengatakan batal dan ada pula yang mengatakan tidak.

JAWAPAN: Dalam persoalan ini, ibu mertua adalah mahram selama-lamanya disebabkan oleh pernikahan.

Ini bermaksud wanita yang haram dikahwini oleh seorang lelaki selama-lamanya walau apa jua keadaan sekali pun. Sekiranya bersentuhan antara kedua-duanya, hukumnya tidak batal wuduk disebabkan mereka berdua adalah mahram mua'bad (selama-lamanya).

Ia berdasarkan firman Allah Taala yang bermaksud:

"Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal daripada benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah An-Nisa':24)

Boleh bersama selepas tanggal ihram

APAKAH hukumnya bersama dengan isteri semasa pergi ke tanah suci iaitu bukan ketika ihram?

JAWAPAN: Antara perkara yang dilarang ketika ihram adalah beristimta' (mukadimah persetubuhan) dan seterusnya.

Namun, suami isteri boleh bersama setelah melaksanakan kedua-dua jenis tahallul (awal dan thani) iaitu pasangan itu boleh menanggalkan ihram masing-masing.

Namun lebih afdal menangguhkan perkara tersebut sehingga selesai segala rukun dan aktiviti haji atau umrah itu.

Firman Allah yang bermaksud:

"(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji.

Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)." [Surah al-Baqarah-197]

Dilarang tidak bertegur sapa lebih 3 hari

SAYA dan sahabat saya telah berselisih faham atas perkara yang tidak disengajakan. Apakah hukumnya apabila perselisihan faham itu menyebabkan kami tidak lagi bertegur sapa?

JAWAPAN: Seorang muslim yang tidak bertegur sapa dengan saudaranya sendiri selama lebih daripada tiga hari adalah satu perbuatan yang dilarang di sisi Islam. Ini kerana Islam amat mementingkan persaudaraan. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Al-Hujurat: 10)

Ramai manusia pada hari ini menjadikan perkara remeh punca persengketaan yang membawa kepada putus ikatan persahabatan. Ia juga akan menyebabkan timbul sifat untuk tidak bertegur sapa antara satu sama lain.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Utusan Online - Rekreasi

Posted: 12 Mar 2011 01:22 AM PST

Utusan Online - Rekreasi


Meredah hutan bersama sang badang

Posted:

Meredah hutan bersama sang badang

Meredah hutan bersama sang badang

Oleh ROSALINDA MD.SAID
Gambar AMIN FARIJ HASAN dan MOHD. ARIF RAMELI


Peserta kembara tidak melepaskan peluang mencuba buat pertama kali aktiviti 'Denai Gajah' yang dijadualkan beroperasi secara rasmi kepada umum bermula Jun nanti.


PERNAHKAH anda terfikir untuk meredah hutan belantara dan menikmati keindahan alam semula jadi dengan menunggang gajah persis babak-babak dalam filem?

Percaya atau tidak, itulah keistimewaan dan tarikan terbaru yang ditawarkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang khusus buat pengunjung-pengunjung tempatan dan juga antarabangsa.

Jika sebelum ini, pengunjung hanya didedahkan dengan aktiviti memberi makan dan mandi bersama gajah selain menunggangnya dalam kawasan yang ditetapkan, kini pengunjung turut berpeluang menyusuri kawasan hutan sejauh 1.5 kilometer (km) bersama-sama mamalia darat terbesar itu.

Menurut Ketua Unit Gajah di pusat itu, Nasharuddin Othman, tarikan terbaru yang dikenali sebagai 'Denai Gajah' itu amat bersesuaian dalam memenuhi kehendak dan keperluan pelancong yang tidak puas bermesra dan bersahabat dengan mamalia tersebut menerusi ketiga-ketiga aktiviti eko-pelancongan sedia ada.

Bahkan, secara tidak langsung ia dapat menambahkan lagi pengetahuan, kesedaran dan sokongan umum mengenai kepentingan pemuliharaan haiwan liar yang sering menjadi mangsa ancaman manusia itu.

"Untuk makluman, laluan Denai Gajah itu sudah siap sepenuhnya namun ia masih lagi dalam proses penambahbaikan terakhir sebelum mula dibuka kepada orang ramai pada Jun nanti.

Pengembaraan ajaib

"Bagaimanapun, orang awam dibenarkan menggunakan laluan denai itu untuk aktiviti seperti jogging mahupun pemerhatian burung di sekitar kawasan Rezab Hidupan Liar Krau ini," katanya sewaktu Program Kembara Bersama Media anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) di pusat pemuliharaan itu baru-baru ini.

Ibarat pengembaraan ajaib menjelajahi belantara, begitulah perasaan tatkala berada di atas badan mamalia itu. Paling mencabar, tiada sebarang alas atau lapik diletakkan pada badan setiap gajah-gajah tersebut.

Bukan sekadar menunggang gajah, pengunjung akan turut didedahkan dengan keistimewaan khazanah flora dan fauna oleh 'mahut' (pelatih gajah) yang bertugas sepanjang merentasi denai tersebut.

Lucunya, ada dikalangan petugas media yang terpaksa bersabar dengan kerenah gajah yang 'seronok' dan tidak henti mengunyah dan menikmati hidangan daun hijau kegemaran mereka di sepanjang perjalanan yang mengambil masa selama 15 ke 20 minit bergantung kepada kelajuan haiwan tersebut.

Sementara itu, program selama tiga hari yang membawa rombongan kira-kira 33 orang peserta dalam kalangan media dan kakitangan NRE itu turut mengadakan lawatan ke Institut Biodiversiti (IBD), melihat pelaksanaan proses taksidermi selain mengunjungi Taman Rusa.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

‘Gugurnya’ penakluk gunung

Posted:

'Gugurnya' penakluk gunung

'Gugurnya' penakluk gunung

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my


Gunung terakhir yang dijejaki arwah sehingga ke puncak iaitu Gunung Lawu di Jawa Timur, Indonesia pada 12 - 13 Februari 2011.


LALUAN ke puncak gunung Nambuyukong dekat Pondok Seraya berhampiran sub stesen Serinsim, Kota Marudu, Sabah sunyi sepi seketika. Masing-masing terkesima menyaksikan peristiwa yang telah dicatatkan di dalam Luh Mahfuz.

Tepat pukul 1.10 petang, 4 Mac 2011 lalu, Zaidi Bidin yang terkenal sebagai penakluk gunung pergi buat selama-lamanya.

Allahyarham meninggal dunia ketika dalam misi untuk menawan tiga gunung di Sabah.

Berada di sisi ketika arwah menghembuskan nafas terakhir ialah pendaki dari Filipina Dr. Gideon Lasco, Zainudin Lot (Deeno), Ayieen Carlos Ng Ismail dan Muhammad Fuad Mohd.

Kesemua mereka bersama 15 pendaki lain sedang menjayakan program mendaki tiga gunung - Nambuyukong, Tambuyukon dan Trusmadi di Sabah pada 3 hingga 9 Mac 2011.

Manusia hanya merancang, Allah SWT menentukan segalanya. Tiada siapa menyangka itu merupakan misi terakhir Zaidi dalam aktiviti yang amat disukainya itu.

Zaidi rebah dekat Pondok Seraya, salah satu pondok rehat yang terdapat di sepanjang laluan ke puncak Nambuyukong.

Meneliti catatan Dr. Gideon yang dipaparkan di facebook arwah, pendakian bermula sekitar pukul 10 pagi. Mereka meninggalkan beg besar di pondok rehat pertama iaitu Pondok Damar untuk mendaki ke puncak. Kemudian turun semula bagi meneruskan pendakian ke gunung Tambuyukon.

Antara Pondok Damar ke Pondok Seraya, arwah mula kelihatan lemah dan meminta untuk berehat seketika.

Perjalanan diteruskan tetapi tidak lama kemudian, arwah meminta untuk berehat lagi. Kali ini lebih panjang dan arwah sempat tertidur.

Selepas 30 minit berehat, arwah meneruskan perjalanan, tetapi tidak lama kemudian, arwah berhenti seketika, sambil berkata: "I'm feeling much better now".

Namun tidak lama kemudian iaitu kira-kira 200 meter melewati Pondok Seraya, arwah rebah. Melihat situasi itu, Fuad berlari ke arah Deeno dan Ayieen untuk meminta bantuan. Manakala Dr. Gideon melakukan CPR selama 45 minit untuk membantu arwah.

Sebaik sahaja menerima berita kecemasan itu, ketiga-tiga mereka berlari semula ke arah arwah yang ketika itu masih bernafas. Namun nafas arwah sudah tersekat-sekat dan akhirnya Dr. Gideon berkata: "Biarlah dia pergi, tidak ada apa-apa yang boleh kita lakukan lagi." Mendengar itu, kalimah syahadah dibisikkan ke telinga arwah, berkali-kali.

Peserta di hadapan diarahkan berpatah balik. Komunikasi melalui radio digunakan. Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, air mata para peserta terbabit tidak dapat ditahan lagi.

Baru sebentar tadi, mereka saling bergurau, ketawa bersama dan berbual mesra antara satu sama lain.

Tanpa melengahkan masa, jenazah diusung keluar secara bergilir-gilir sehingga tiba di pejabat perhutanan - tempat mula mendaki.

Dari situ, jenazah dibawa ke Hospital Kota Marudu, sebelum dipindahkan ke Kota Kinabalu dan terbang ke Kuala Lumpur dengan pesawat MasKargo tengah hari esoknya.

Jenazah tiba di Masjid Bukit Jelutong pada 5 Mac kala azan Asar berkumandang.

Beruntungnya arwah kerana ruang masjid dipenuhi jemaah yang mengerjakan solat Asar yang kemudian menyempurnakan pula solat jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam untuk disemadikan.

Keluarga angkat arwah yang berketurunan Cina termasuk rakan-rakan arwah dari Penang Adventure Club turut menziarahi.

Saya mengenali arwah pada 2005 ketika arwah mengikuti program anjuran kelab Eco Adventure ke gunung Benum, Pahang. Kemudian bersama-sama menjayakan program Everest Base Camp dan Kalapathar di Banjaran Himalaya, Nepal pada 2006.

Program terakhir bersama arwah adalah pada Mei tahun lalu iaitu ke gunung Mulu di Sarawak.

Pada usia 41 tahun, arwah yang masih bujang meninggalkan keluarga dan rakan-rakan dalam kesedihan yang masih tidak tertanggung.

Sayu hati melihat sekujur tubuh yang ketika hayatnya adalah seorang pemburu, penakluk dan pencinta gunung yang tiada tolok bandingnya.

Setakat yang diketahui, arwah seorang yang sihat. Tetapi dalam khidmat pesanan ringkas (SMS ) kepada rakan pendaki dari Indonesia yang dikenali Reginald Egi' Rangingisan yang dipaparkan dalam facebook arwah berkata: "Menurut doktor, x-ray menunjukkan paru-paru saya juga tiada masalah. Blood test juga okey tapi ada infeksi.

"Saya sudah diberi ubat. Hari Jumaat harus datang lagi ke rumah sakit untuk pemeriksaan dada." Selain itu, ada khabar mengatakan arwah telah lima minggu mengalami batuk yang tidak sembuh walaupun telah menemui doktor.

Pemergian arwah meninggalkan satu legenda tersendiri dalam aktiviti mendaki gunung di negara ini.

Sejak mula mendaki pada 2002 sehingga Februari 2011, arwah telah menakluk 123 puncak gunung.

Bukan saja di negara sendiri, malah melangkau ke banjaran Himalaya; menjejak puncak tertinggi benua Afrika di gunung Kilimanjaro pada 2008; selain gunung-gunung di Vietnam, Filipina dan Indonesia.

Arwah begitu disayangi rakan taulan kerana sikapnya yang baik, saling menolong dan terkenal sebagai seorang pendaki tegar.

Dalam setiap ekspedisi, dia sentiasa berjalan paling hadapan selain tidak kedekut ilmu tentang selok belok aktiviti mendaki.

Tanyalah apa saja, arwah dengan senang hati akan berkongsi segala rahsia alam termasuk memberi tip mendaki dalam cuaca sejuk membeku di Himalaya, mahupun panas terik di jalur gunung berapi.

Draf stamina dan langkahnya yang panjang membuatkan arwah sentiasa sampai dahulu ke tapak perkhemahan mahupun di puncak.

Di puncak, perkara pertama yang arwah akan lakukan adalah melaungkan azan memuji-muji kebesaran Tuhan. Arwah selalu berkata, diri terasa dekat dengan pencipta tatkala berada di puncak-puncak gunung.

Masih terngiang-ngiang di telinga merdunya suara arwah melaungkan azan di puncak Kalapathar.

Semangat saya yang hampir hilang membara semula sebaik sahaja terdengar laungan azan itu.

Begitu juga di puncak Mulu dan puncak-puncak lain yang dijejakinya. Pasti selepas ini, rakan-rakan akan merindui suara azan arwah.

Coretan ini diakhiri dengan kata-kata kiriman rakan pendaki arwah dari Sulawesi, Indonesia yang dipaparkan di facebook arwah: "Berjuta air mata tercurah mengenang masa-masa indah, kebersamaan, perhatian dan kasih sayang saat bersamamu... Kau mengajarkan banyak hal dalam hidup kami... Kami tak kuasa mendengar hal ini, sungguh tak kuasa..."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Berita Harian: Ratu

Posted: 12 Mar 2011 01:16 AM PST

Berita Harian: Ratu


Belum sedia ucap selamat tinggal

Posted: 11 Mar 2011 06:00 PM PST

Ratu

Peragaan cinta kedua Fadzlun selepas keluarga

BIBIRNYA tidak putus menguntum senyum. Permata hati, Puteri Heidi Zahra, dua bulan, dipangku kemas. Masih dalam tempoh berpantang dan tampak sedikit kepenatan, cahaya kegembiraan jelas terpancar menerusi sinar matanya.

Dalam suasana ramai wanita bermarhaban meraikan Heidi pada acara cukur jambul baru-baru ini, mata pantas 'mendapatkannya'. Manakan tidak, aura dirinya sebagai antara model tertinggi di ibu kota, mencecah enam kaki itu nyata menjadi 'kelebihan' untuk dikenali. Wanita dimaksudkan adalah bekas pemain pasukan bola jaring kebangsaan, Fazdlun Abas, 29, yang kini aktif dalam dunia peragaan. Menambah bilangan anak, mungkinkah selepas ini beliau akan terus memberikan tumpuan pada keluarga dan si kecil?

"Mungkin tidak buat masa sekarang kerana minat saya terhadap dunia peragaan cukup mendalam. Walaupun sudah beranak dua, sebetulnya masih ada tawaran peragaan diterima. Mungkin selepas 100 hari berpantang, saya kembali berkerja, rindu untuk membuat peragaan," katanya.

Sebetulnya dunia peragaan memerlukan wanita cantik, segar dan tidak lari bentuk tubuh selepas melahirkan. Tetapi menurutnya, jika seseorang model itu mempunyai aura, perkahwinan dan melahirkan tidak memberi impak negatif.

"Jika kita masih diminati dan permintaan ada, kenapa tidak? Lebih-lebih lagi, jika memberikan persembahan terbaik, pasti kita akan dipanggil lagi," katanya.
Meletakkan supermodel Tengku Azura sebagai contoh, ibu kepada dua anak lelaki meningkat dewasa, kehadirannya atas pentas selalu memukau. Selain kerap menjadi pilihan pereka untuk memperaga, wajahnya juga kerap dipapar dalam ruangan fesyen media cetak.

Begitupun Fazdlun mengakui, jika ingin mengembangkan bakat sepenuhnya ke peringkat antarabangsa, dia sendiri mengaku `kalah' pada peringkat profil diri lagi.

"Model beragama Islam, sememangnya ramai tidak kira dalam negara atau di seluruh dunia. Tetapi, agama menjadi batasan lantaran perlu 'mendedahkan' hampir segala-galanya aset yang ada, khususnya pada peringkat uji bakat lagi. Mustahil saya melakukannya tetapi itulah yang perlu kita telan," katanya.

Sebelum ini, beliau pernah meluahkan kekecewaan itu, tetapi akur keadaan itu tidak akan berubah jika `pemain utama', individu di belakang bidang model dan peragaan meletakkan syarat demikian.

Fazdlun berhenti daripada pasukan bola jaring pada 2003 dan mencuba nasib dalam bidang peragaan. Beliau cukup bertuah kerana tidak perlu menunggu lama untuk muncul atas pentas peragaan tumpuan negara seperti MIFA, Stylo dan KL Fashion Week lantaran memiliki ketinggian 180 sentimeter (enam kaki) dan raut wajah eksotik wanita Melayu berkulit sawo matang. Terpilih sebagai 'Model Of The Year Stylo 2009', antara kemuncak kerjaya sejak hampir sedekad dalam dunia peragaan.

Mungkin juga tuah berkat aktif sebagai pemain bola jaring sebelum itu, wajahnya kerap terpampang pada halaman sukan. Justeru, bila bergaya dengan persalinan indah, pada halaman fesyen, wajahnya tidak sukar diterima khalayak.

Sejak menambah bilangan ahli keluarga, perubahan paling ketara dialaminya ialah mengadaptasi antara kerjaya dan keluarga. Masa perlu dibahagikan sebaik-baiknya, selain terus mengekal bentuk tubuh badan supaya tetap langsing dan diterima dalam dunia glamor itu.

"Kedua-dua keluarga saya dan mentua sangat memahami, malahan mereka sentiasa menyokong dan menjadi tulang belakang saya selama ini. Malah, jika saya berkerja di luar daerah, keluarga mentua sentiasa menjaga anak-anak dengan baik," katanya.

Beralih kepada pengalaman melahirkan Puteri Heidi, Fazdlun sentiasa mengaku ia topik seronok dan menggembirakan untuk diceritakan.

"Pengalaman melahirkan sangat indah dan saya suka berkongsinya, sama ada dengan rakan atau keluarga. Saya melahirkan kedua-dua anak saya secara normal tanpa 'bantuan' epidural. Saya mahu ambil cabaran ibu saya yang melahirkan kami hanya di rumah bukan di hospital dan nyata saya berjaya melakukannya. Bezanya, hanyalah lokasi iaitu di hospital tetapi sakitnya tetap ada," katanya.

Fazdlun dan suami menganjurkan aqiqah dan cukur jambul pada hari berkenaan lantaran ingin meneruskan adat dan sunnah. Majlis sedemikian sekali gus membantu mengeratkan silaturahim sesama jiran tetangga serta ahli keluarga.

Mengekalkan bentuk tubuh, tempoh berpantang bagi Fazdlun sememangnya ketat mengikut cara tradisional.

"Saya berpantang di kampung sendiri selama 44 hari dan dijaga oleh mak, Junaidah Mohamed Salleh. Berlanjutan ke Kuala Lumpur sehingga 60 hari. Pantang dari segi pemakanan, berurut selama dua minggu, mandi herba selama 44 hari, bertungku dengan garam, lengkuas selama 44 hari, pilis, param dan minum air halia dan madu.

"Pengambilan jamu diteruskan hingga ke hari ini. Melengkapkan lagi zat, saya mengambil makanan tambahan, termasuk kalsium. Menyusu badan pun antara sebab saya mendapat kembali berat badan asal," katanya.

Merancang masa depan, Fazdlun tidak menafikan mempunyai perancangan, termasuk membuka perniagaan bayi dan ibu hamil serta restoran. Tetapi semuanya dalam perancangan lantaran perlu belajar selok-belok berniaga sebagai persediaan mengharungi dunia perniagaan.

Mengulas mengenai kemungkinan anak-anaknya dibiarkan terbabit dalam dunia peragaan, Fazdlun tidak akan menghalang.

"Sudah nampak minat Luna (anak sulung). Selalu bergaya macam model depan kamera dan depan cermin. Malah, Luna sudah pun menjayakan beberapa pertunjukan fesyen dan penggambaran foto. Saya tidak akan menghalang minatnya malah akan sentiasa menyokong minatnya. Sebagai ibu, saya akan sentiasa memantau dan membimbingnya supaya berjaya dalam bidang diceburi.

"Sebagai ibu, kebahagiaan dalam sebuah keluarga sangat membahagiakan selain keikhlasan dan kejujuran dalam perhubungan suami isteri. Saya dan suami sentiasa mahu menunjukkan contoh terbaik kepada anak dan kami mahu menjadi ibu bapa terbaik kepada mereka.

"Ketegasan dalam membimbing anak sangat mustahak tetapi ia perlu diiringi dengan kasih sayang," katanya.

Bahagia memiliki dua cahaya mata, bagi Fazdlun, `tugasnya' belum selesai apabila suaminya secara terang-terangan menyatakan akan terus mencuba lagi hingga memperoleh anak lelaki selepas ini.

INFO:

FAZDLUN ABAS

Umur: 29 tahun
Asal: Lenggeng, Negeri Sembilan.
Adik-beradik: Anak kedua daripada empat orang adik-beradik
Kelulusan: Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia
Suami: Megat Khairul Anuar Datuk Omardin, 39 tahun
Anak: Puteri Luna Raisa, 2 tahun; Puteri Heidi Zahra, 2 bulan


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Keluarga pelukis

Posted: 11 Mar 2011 05:57 PM PST

Ratu

Luahan jiwa di kanvas

MEMASUKI ruang tamu kediaman peguam wanita ini, mata meliar asyik, melihat sambil menyelami maksud lakaran yang tersirat di sebalik koleksi lukisan cat akrilik berwarna garang di dinding. Tampak artistik, penulis tambah kagum selepas mengetahui beliau bukan seorang pelukis profesional.

Semua lukisan dengan corak pelbagai karektor yang dilakarkan itu mungkin masih terlalu jauh untuk menandingi nukilan pelukis tersohor tempatan seperti Datuk Ibrahim Hussein, Datuk Sharifah Fatimah Zubir, Chang Fee Ming atau Zuzila Zain, tetapi hasilnya tidak menghampakan dan sesiapa yang melihatnya pasti tertawan. Kerjaya sebagai peguam sebenarnya menjadi faktor utama mengheret Che Zuriati Che Mohamad, 33, untuk terus memahatkan minatnya yang begitu mendalam dalam bidang lukisan dengan lebih serius, atas alasan untuk menghilangkan tekanan tugas hakikinya itu.

Bidang perundangan adalah tugas agak berat, memberi perkhidmatan kepada orang ramai dalam pelbagai masalah perundangan. Mengendalikan kes membabitkan hartanah bersama suaminya, Hasnul Anis Abdullah Hashim, 36, yang bergabung tenaga membuka firma guaman sendiri, tekanan daripada pelanggan yang sering kali mahu kes mereka diselesaikan cepat, membuatkan beliau ingin menenangkan minda. Terapi terbaik adalah dengan meluahkannya menerusi lakaran lukisan.

Che Zuriati berkata, menerusi aktiviti melukis ia dapat merehatkan fikiran, meningkatkan motivasi diri sekali gus boleh mengasah bakat terpendam supaya tidak terus berkubur dengan mengemukakan idea baru mengenai kehidupan dan sebagainya.

Setiap lukisannya mempamerkan ekspresi jiwanya terhadap kehidupan, objek dan alam sekeliling. Lukisan dilakarkan mencerminkan motivasi diri, pintu menuju kejayaan, potret, objek dan warna kehidupan.
Hasilnya cukup senang mata memandang, cantik, kemas dan tanda aura sebagai pelukis ada dalam dirinya. Amatan penulis, jika tumpuan terus diberikan dalam bidang ini, tidak mustahil satu hari nanti, nama Che Zuriati mampu sebaris dengan pelukis tersohor negara.

Che Zuriati tidak pernah mengikuti sebarang latihan dan kursus formal mengenai lukisan. Namun, melukis bukan perkara asing padanya. Sejak kecil, itulah hobinya selepas sering kali melihat ibunya, Siti Fatimah Yaacob, berkarya di kanvas, begitu juga ahli keluarganya yang lain.

Di sekolah dan ketika menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dia juga kerap terbabit dalam kerja di belakang tabir, melukis mural di bangunan sekolah dan universiti.

Namun, anak kelahiran negeri Che Siti Wan Kembang ini, mula serius melukis sejak awal tahun lalu, selepas agak lama tidak melukis kerana kesibukan tugas pejabat dan mengurus anak serta keluarga.

Semua nukilan lahir daripada ilham sepintas, bagi Che Zuriati melukis objek lebih mudah dan tidak kompleks berbanding corak abstrak. Menariknya, beliau mampu menyiapkan lukisan dalam tempoh singkat, ada kalanya hanya sejam.

"Saya akan melukis bila saja datang idea. Biasanya saya gemar melukis pada waktu malam selepas anak sudah masuk tidur. Ada kalanya jam 3 pagi. Aktiviti melukis memang menyeronokkan. Rasa sangat puas apabila ia dapat disiapkan sepenuhnya," katanya yang juga gemar membaca dan mengembara.

Menariknya, suami dan anak menjadi pengkritik tetap dan kadang kala memberi idea untuk menambah baik lukisan yang dihasilkan.

Lebih menarik, minat itu dikongsi suami dan tiga anak, yang berusia antara setahun dan 10 tahun. Mereka turut mengabadikan apa saja lukisan yang terlintas di fikiran dan hasilnya, tetap memuaskan.

"Anak saya juga suka melukis. Lukisan mereka kami bingkaikan bagi memberi galakan kepada mereka untuk terus melukis," katanya bangga, tambah pula dua anaknya berusia tujuh tahun dan 10 tahun bergelar juara daerah dalam pertandingan melukis.

Lukisannya bukan sedikit, namun semuanya disimpan sebagai koleksi peribadi. Tidak pernah terlintas untuk menjualnya sehingga kini.

"Jika ada kawan yang benar-benar suka, saya berikan saja. Tetapi selepas melihat semakin banyak lukisan yang siap, saya bertambah bersemangat untuk melukis yang lain dan ada menyimpan hasrat untuk belajar secara formal dalam bidang ini.

"Ketika ini, saya cuma bertukar-tukar fikiran, melihat karya pelukis dan bertanya mengenai teknik melukis bagi mendapatkan hasil terbaik," katanya sambil jari-jemari halus terus menari-nari tekun melukis tempayan di atas kanvas.

Bila ada masa terluang, masanya digunakan sebaiknya untuk mengunjungi galeri lukisan atau 'melepak' dengan pelukis yang padanya tidak kedekut mencurah ilmu.

Menyimpan hasrat menjadi pelukis hebat, pelukis terkemuka seperti Ibrahim dan Ahmad Syukri Mohammad disebut sebagai idola.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Utusan Online - Pendidikan

Posted: 11 Mar 2011 11:12 PM PST

Utusan Online - Pendidikan


120 pemimpin pelajar sertai KA1M

Posted:

120 pemimpin pelajar sertai KA1M

120 pemimpin pelajar sertai KA1M

Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
pengarang@utusan.com.my


ABD. Ghafar Mahmud (lima dari kanan) bersama pegawai kanan Kementerian Pelajaran dan pelajar menunjukkan simbol 1Malaysia pada Majlis Penyerahan Anak Angkat bagi program Keluarga Angkat 1Malaysia di Genting Highlands, semalam.


GENTING HIGHLANDS 11 Mac - Seramai 120 pemimpin pelajar dari sekolah-sekolah seluruh negara bakal menjalani rutin kehidupan yang berbeza apabila menyertai program Keluarga Angkat 1Malaysia (KA1M) anjuran Kementerian Pelajaran selama lima hari bermula hari ini.

Menerusi program itu, dua pelajar akan berkongsi satu keluarga angkat yang terdiri daripada pegawai kanan kementerian termasuk dari negeri-negeri.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, program berkenaan bertujuan mengeratkan perpaduan di kalangan pelajar sekolah selain melahirkan bakal pemimpin yang berwibawa dan berkaliber.

"Ini adalah usaha untuk mendedahkan pelajar dengan cara hidup masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Kita harap mereka menggunakan peluang ini untuk mendalami dan memahami kehidupan masyarakat lain menerusi keluarga angkat masing-masing," katanya selepas melancarkan program itu di sini hari ini.

Menurut Abd. Ghafar, kepelbagaian budaya dalam masyarakat sepatutnya dianggap sebagai satu aset dan bukannya liabiliti kepada negara.

Jelasnya, kementerian melihat pendidikan merupakan satu asas dalam mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Katanya, KA1M mungkin dijadikan program tahunan kementerian agar usaha menyuntik semangat 1Malaysia ke dalam diri pelajar akan berterusan.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Perguruan), Datuk Asariah Mior Shaharuddin berkata, KA1M bertujuan meningkatkan motivasi dan daya kepimpinan pelajar terlibat.

"Kita harap mereka dapat belajar dan menyerap nilai-nilai kepimpinan yang ada pada pegawai kementerian," jelasnya.

Asariah menambah, di samping menjalani kehidupan bersama dengan keluarga angkat, para pelajar perlu mencatatkan pengalaman yang dilalui dalam buku log.

"Mereka perlu membuat catatan harian berkenaan semua aktiviti yang dijalankan bersama keluarga angkat agar ia boleh dikongsi dengan rakan-rakan di sekolah. Kita juga akan cuba mewujudkan alumni untuk mereka agar perhubungan yang terbina akan berkekalan," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Utusan Online - Pemotoran

Posted: 11 Mar 2011 11:05 PM PST

Utusan Online - Pemotoran


Kesungguhan Ford di Bangkok

Posted:

Kesungguhan Ford di Bangkok

Kesungguhan Ford di Bangkok


PENAMPILAN pertama Ford Ranger di rantau ASEAN pada Pameran Motor Bangkok.


PAMERAN Motor Bangkok ke-32 yang bermula kelmarin menyaksikan Ford Motor Company tampil dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan kehadirannya pada acara berprestij di Asia Tenggara itu setanding dengan pesaingnya.

Tarikan utama pada galeri Ford di pameran itu sudah pasti pikup serba baru Ford Ranger yang dipamerkan buat pertama kali di rantau ASEAN.

Ia juga merupakan kenderaan pertama dikeluarkan di bawah strategi Satu Ford yang mana Thailand merupakan salah satu daripada tiga hab global jenama itu.

Hab di negara gajah putih itu ialah untuk mengeluar dan mengeksport generasi baru Ranger ke lebih 180 negara bermula tahun ini.

"Dengan Thailand sebagai hab di rantau ASEAN ia merupakan peluang bagi strategi pertumbuhan kami di Asia Pasifik dan Afrika.

"Jadi kehadiran besar-besaran di pameran Bangkok untuk dipertontonkan kepada pasaran ASEAN Ford Ranger serba baru ini. Ini merupakan perkara yang biasa dilakukan.

"Kami telah menggerakkan sumber global, rakan kongsi dan kakitangan untuk pameran ini yang menggambarkan betapa penting kedudukan Ranger dalam perniagaan kami dan peranan yang akan terus dimainkan oleh Thailand," kata Presiden Ford ASEAN, Peter Fleet.

Model terbaru Ford Ranger itu sebenar telah dilancarkan di Pameran Motor Sydney tahun lalu.

Kehadirannya di Bangkok merupakan penampilan pertama di rantau ASEAN.

Ia menampil bahagian depan empat segi yang lebih macho.

Ranger terbaru ini dikeluarkan di kilang yang terletak di Thailand dengan saiz yang lebih besar daripada model sebelumnya.

Malah ia lebih panjang daripada model sama kelas dengannya. Jarak antara tayar 8.6 inci lebih panjang (untuk model kabin berkembar), ia juga 1.7 inci lebih lebar dan 2.5 inci lebih tinggi.

Untuk bahagian dalam ia dikatakan mengambil inspirasi daripada jenama peralatan pertukangan Bosch dan DeWalt dengan menampilkan banyak tempat penyimpanan.

Ciri-ciri itu digunakan bagi menampilkan kelasakan yang terdapat pada model baru itu.

Sementara itu, ruang pameran Ford di Pameran Motor Bangkok menampilkan pameran interaktif dan hiburan yang direka untuk menarik 1.5 juta pengunjung.

Penyampai robot, teater mini tiga dimensi (3D), simulator pemanduan untuk Ranger baru, permainan video dan sebagainya merupakan yang disediakan oleh Ford untuk pengunjung.

Selain model Ranger serba baru itu, Ford turut menampilkan model paling laris Ford Fiesta, model istimewa Ford Focus dan model Ford Everest yang dipertingkatkan selain Ford Ranger edisi WildTrak.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kosmo Online - Horizon

Posted: 11 Mar 2011 09:10 PM PST

Kosmo Online - Horizon


Takjub gunung berapi aktif

Posted:

Takjub gunung berapi aktif

Takjub gunung berapi aktif

Oleh SORAYA JAMAL


KAWAH Gunung Bromo memuntahkan debu volkanik tebal yang menyebabkan banyak penerbangan di timur Jawa terpaksa dibatalkan.


KIRA-KIRA lapan tahun dulu, penulis menonton filem Pasir Berbisik lakonan Christine Hakim dan Dian Sastrowardoyo. Filem arahan Nan Triveni Achnas itu memberi kesan yang begitu mendalam sehinggakan penulis memasang tekad untuk menjejakkan kaki ke kawasan lokasi filem itu di kaki Gunung Bromo.

Jadi bila diajak teman untuk ke sana baru-baru ini, saya tidak berfikir panjang untuk bersetuju tanpa mengetahui Gunung Bromo sedang aktif meletus sejak November tahun lalu!

Namun, kerana tiket kapal terbang ke Surabaya telah dibeli, penulis dan tiga orang lagi teman, nekad meneruskan perjalanan ke Taman Nasional Bromo Tengger Semeru (Bromo) sambil memujuk hati, inilah masanya melihat gunung berapi meletus di depan mata.

Tidak seperti Gunung Merapi di Yogyakarta, Bromo mengeluarkan abu dan asap dingin, maka zon selamat adalah sekitar dua kilometer persegi berbanding Merapi sekitar 15 kilometer persegi.

Rangkaian gunung berapi

Bromo yang terletak kira-kira empat jam perjalanan berkereta dari Surabaya adalah sebahagian daripada rangkaian pergunungan berapi yang terbentang di sepanjang Pulau Jawa.

Taman nasional itu dinamakan sempena dua gunung ikonik Jawa Timur iaitu Gunung Semeru (tertinggi di Jawa pada 3,676 meter), Gunung Bromo dan orang suku Tengger yang mendiami kawasan itu.

Gunung Semeru, yang juga dikenali sebagai Mahameru (bermaksud gunung besar) adalah antara gunung berapi yang paling aktif di Indonesia.

Gunung Bromo (2,392 m), Gunung Batok (2,470 m), Gunung Kursi (3,392 m), Gunung Watangan (2,601 m) dan Gunung Widodaren (2,600m) pula terletak di atas hamparan permaidani pasir berwarna kelabu seluas 5,290 hektar yang dikenali sebagai Lautan Pasir.

Masuk sahaja ke desa Cemoro Lawang, pintu masuk ke Bromo, penulis dan rakan-rakan merasakan seolah-olah dibawa ke dunia lain. Cuaca ketika itu gerimis dan mendung, begitu muram serta udara diselaputi abu tebal.

Sawah padi, pelbagai tanaman, rumah, sekolah, kuil lama semuanya ditimbus abu tebal. Tetapi jalannya bersih kerana penduduk setiap hari akan menolak abu ke tepi hingga membentuk batas jalan.

Kami tiba sekitar jam 4 petang. Cemoro Lawang seperti kota tinggal. Suasana sunyi sepi. Cuma sesekali kami berselisih dengan lori atau motosikal.

Kenderaan Avanza yang kami sewa terus mendekati orang pertama dan satu-satunya manusia yang kelihatan di situ untuk bertanyakan adakah Bromo selamat dikunjungi. Pak Soetomo namanya.

Beliau menjelaskan, Bromo masih berstatus siaga (berjaga-jaga) namun, kawah Bromo dan Lautan Pasir tidak selamat dikunjungi, tetapi pemandangan kawasan Bromo masih boleh dinikmati dari Gunung Penanjakan.

Kami bersyukur kerana pemandangan terindah dan terbaik kawasan Bromo adalah dari puncak Penanjakan.

Kiamat kecil


PINTU gerbang masuk ke kawasan Bromo kelihatan sepi dan seperti kota yang ditinggalkan.


Pak Lukito, pemandu kami terus membawa kami ke sebuah kawasan yang jaraknya kurang tiga km dari kawah untuk menikmati pemandangan matahari terbenam.

Sejurus turun dari kereta, kami disambut dengan abu halus yang kuat berbau sulfur meskipun memakai topeng pernafasan.

Kedengaran bunyi berderam seperti guruh dan tanah yang kami pijak bergegar yang datang dari arah kawah Bromo.

Pemandangan di sini sukar digambarkan dengan kata-kata. Ia mengingatkan saya kepada foto replika keadaan bumi zaman pra-sejarah (cuma tanpa dinosaur) dan permukaan bulan.

Kagum, takjub dan takut semua bercampur-baur. Meskipun menyeramkan, indah sungguh ciptaan Allah!

Purata setiap 15 minit kawah Bromo akan meletus, diikuti gegaran dan kepul asap coklat, hitam dan putih dilepaskan ke langit.

Kami menghabiskan masa hampir sejam menikmati kebesaran Allah dan ketika hendak memulakan perjalanan mencari penginapan, tiba tiba Bromo meletus dengan kuat.

Tanah bergegar dan keadaan menjadi gelap dan langit tiba-tiba merah kerana dilitupi asap dari Bromo. Tidak keterlaluan dikatakan penulis merasakan seperti berlaku kiamat kecil.

Kelihatan percikan lahar melimpah ke luar kawah. Penduduk tempatan yang berada di sekitar kami berlari menjauhi Bromo, menandakan itu bukan kejadian biasa. Sedangkan kami semua hanya berpandangan dan berzikir di dalam hati.

Malam terpanjang

Untungnya ke sana ketika Bromo sedang aktif kerana semua hotel sekitar Cemoro Lawang sepi dan berkadar murah daripada biasa kerana jumlah pelancong jatuh merudum.

Jadi kami berpeluang untuk menginap di hotel paling mahal dan terhampir dengan Bromo pada kadar RP650 ribu (RM224) semalam untuk kamar keluarga. Bilik itu lengkap air panas, ruang tamu dan dapur kecil.

Bilik yang sama berharga hampir RM400 semalam pada waktu puncak. Suhu di Bromo turun mendadak pada waktu malam dan boleh mencecah -0 darjah Celcius namun, penginapan di Bromo tiada pemanas. Sekalipun berjaket dan berbaju tebal beberapa lapis, sejuknya sampai ke tulang.

Malam itu gemuruh dan dentuman Bromo semakin menjadi-jadi dan sesekali nampak percikan lahar seperti bunga api. Luar biasa dan menginsafkan. Tingkap dan lantai bilik bergegar kerana gempa sepanjang malam. Terasa malam itu adalah malam terpanjang dalam hidup kami.

Puncak Penanjakan


PENULIS berfoto kenangan di tempat tinjau dua, Gunung Penanjakan. Kelihatan jelas di belakang hamparan Lautan Pasir dan kawah Gunung Bromo yang sedang meletus.


Pukul 3.30 pagi, kami berempat bersiap memulakan perjalanan ke puncak Gunung Penanjakan melihat matahari yang terbit jam 5 pagi. Berdasarkan pembacaan di Internet, jip yang disewa sepatutnya membawa kami terus ke lokasi. Rupa-rupanya di Penanjakan terdapat dua tempat tinjau.

Tempat tinjau satu, yang lebih rendah dan popular tidak boleh dilawati kerana perlu melalui Lautan Pasir. Tempat tinjau dua, yang bakal kami kunjungi, lebih tinggi, mencabar dan jip hanya boleh dibawa separuh jalan. Kami perlu mendaki kira-kira 1,000 meter terakhir dengan berkuda.

Empat ekor kuda padi bersama penjaga masing-masing telah pun menunggu di tengah jalan. Tidak ada seorang pun antara kami yang pernah menunggang kuda, apatah lagi menunggang di lereng gunung yang gelap-gelita dan curam.

Tapi ini bukan masanya lagi untuk menyesal. Sekali lagi kami nekad menunggang kuda dan berdoa semoga ini bukan keputusan yang salah.

Separuh jalan seorang teman terjatuh kerana kuda yang ditunggangnya tersandung batu. Mujur penjaga kuda cekap dan berjaya mengawal keadaan.

Selepas setengah jam menunggang, kami berkumpul di kawasan yang agak lapang. Penulis menarik nafas lega memikirkan akhirnya sampai juga tetapi rupanya perjuangan belum selesai. Masih ada 200 meter untuk didaki sendiri!

Negeri di atas awan

Kami tiba di tempat tinjau dua Gunung Penanjakan selepas mendaki cerun bertangga yang licin berbekalkan satu lampu suluh kecil.

Kabus dan debu volkanik yang menusuk mata dan hidung semakin menyeliputi kawasan pergunungan Bromo hinggakan meski pun matahari naik, cuaca masih gelap.

Hanya kedengaran gemuruh dari Bromo dan sesekali ia batuk dan berdentum. Setelah dua jam menunggu kami pasrah dan memulakan perjalanan untuk turun.

Dalam hati terasa bengang kerana pemandangan dari hotel barangkali lebih jelas dan tidak perlu bersusah payah begini.

Seperti memahami kekecewaan kami, tiba-tiba kabus mula bersurai, kawah Bromo dan Gunung Semeru mula kelihatan. Sekali lagi kami terpana dengan keindahan Bromo.

Tidak dapat saya gambarkan dengan perkataan perasaan saya melihat Bromo meletus dengan kepulan asap coklat, hitam dan putih melambung ke udara dengan Gunung Semeru tersergam megah di belakangnya. Terasa seperti berada di negeri atas awan. – Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jejalah bandar raya ideal

Posted:

Jejalah bandar raya ideal

Jejalah bandar raya ideal


BERSIAR-SIAR di sekeliling pusat bandar tidak sukar lantaran terdapat pelbagai mod pengangkutan awam.


KAJIAN oleh Global Liveability, baru-baru ini, menamakan Melbourne, Australia sebagai bandar paling unggul untuk dihuni di seluruh dunia.

Sebaik terbaca laporan itu, penulis tersenyum tanda bersetuju. Pengalaman penulis bersama dua orang rakan bercuti selama tujuh hari ke bandar raya itu sekitar Disember lalu jelas membuktikannya.

Bagi memastikan keseluruhan percutian berjalan lancar, segala tempahan membabitkan tiket, penginapan, visa dan sebagainya dilakukan tiga bulan lebih awal. Perancangan menjadi lebih mudah kerana semua dilakukan di dalam talian.

Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Tullmarine, kami menaiki teksi ke hotel di Kings Street. Sistem limo di lapangan terbang Tullmarine cukup sistematik. Pelanggan tidak perlu beratur panjang, malah terdapat sistem Skybus sebagai alternatif kepada pengangkutan awam.

Selesai urusan daftar masuk, kami terus ke Federation Square iaitu pusat sivik dan kebudayaan di Melbourne yang diwujudkan untuk kemudahan para pelancong memilih dan mengatur jadual percutian mereka.

Hari pertama banyak kami habiskan dengan meninjau pusat bandar Melbourne. Antara lain, kami menemui banyak restoran halal di pusat-pusat beli-belah. Kami juga meluangkan masa duduk di bangku-bangku di tepi jalan meneliti gaya hidup penduduk di situ. Kata orang, you learn by watching.

Penduduk Melbourne mempunyai gaya hidup yang cukup ringkas. Hari mereka dimulakan awal untuk ke tempat kerja, kolej atau universiti manakala sebelah petangnya dihabiskan bersama rakan sekerja atau keluarga di restoran-restoran atau bar.

Menjelang jam 5 petang, bandar Melbourne seakan-akan mati, kecuali dipenuhi mereka yang mahu berlibur pada waktu malam.

Walaupun sebahagian besar penduduk di pusat bandar ini berketurunan Asia tetapi orang kulit putih yang kami temui tidaklah sombong seperti kami sangkakan. Kami sering disapa dengan ucapan hello atau how are you doing today atau may I help you? - kata-kata yang membuatkan seseorang pelancong berasa cukup selesa di tanah asing.

Lokomotif stim

Hari kedua kami bermula seawal jam 7 pagi untuk ke destinasi pelancongan pertama kami iaitu, ke Blue Dandenong Ranges.

Pusat peranginan puncak bukit itu mendekatkan pengunjung dengan alam semula jadi dalam kedinginan cuaca, persekitaran hijau dan kehadiran unggas-unggas yang berterbangan.

Kami juga tidak melepaskan peluang mengikuti perjalanan selama 30 minit merentasi kawasan pergunungan menaiki Keretapi Stim Puffing Billy, lokomotif stim asli yang masih dikekalkan sehingga kini untuk tujuan pelancongan.

Sekembalinya dari pusat peranginan, kami ke Melbourne Aquarium, yang menempatkan pelbagai khazanah laut. Obor-obor paling berbahaya di dunia yang juga dikenali sebagai box jellyfish adalah antara spesies yang harus dilihat di sini.


GELAGAT penguin spesies King ini boleh disaksikan di Melbourne Aquarium.


Arca batu kapur

The Great Ocean Road dituju pada hari ketiga. Perjalanan kami bermula seawal jam 7.30 pagi. Perjalanan sejauh 300 kilometer itu tidak membosankan, malah beberapa kali kami terserempak dengan kanggaru dan wallaby liar di sepanjang laluan.

Bell Beach dan Surf Coach yang menjadi tumpuan para peluncur air dunia menjadi hentian pertama kami, sebelum meneruskan perjalanan ke Apollo Bay.

Kami sempat meninjau Otway National Park, hutan hujan asli yang ditumbuhi pokok pepakis dan pohon eucalyptus. Kami meluangkan hampir 45 minit di sana untuk makan tengahari dan melakukan aktiviti penjelajahan.

Jika ke Port Campbell National Park, jangan lepaskan peluang ke Gibson's Steps dan melihat sendiri secara dekat keunikan formasi batu kapur dari pesisir pantai.

Pemandangan daripada menara tinjau di Twelve Apostles di Marine National Park menjadi lokasi paling istimewa. Angin kencang yang sejuk, suhu di puncak gunung ketika itu dianggarkan sekitar 10 darjah Celsius. Menggigil juga dibuatnya, tetapi ia tetap menjanjikan keseronokan.

Berada di Twelve Apostles adalah pengalaman terindah dan paling berharga bagi penulis.

Selain Twelve Apostles, arca runtuhan kapal Loch Ard juga antara lokasi menarik untuk dilihat. Panorama di Perairan Shipwreck juga menyimpan keindahan tersendiri.

Kanggaru dan emu

Lawatan ke Australia tidak sah jika tidak bermesra dengan haiwan unik negara itu seperti kanggaru, beruang koala, burung penguin, Tasmanian Devil dan burung emu.

Tidak hairanlah, pada hari keempat kami banyak menghabiskan masa dengan mengunjungi Santuari Haiwan Liar Australia di Natural Parkland dan Philip Island.

Di sini, pengunjung dapat melihat dan bermesra dengan pelbagai jenis haiwan eksotik Australia yang hidup bebas.

Selepas meluangkan hampir sejam di situ, kami meneruskan perjalanan ke Philip Island Nature Parks yang mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan.

The Nobbies di Philip Island agak istimewa kerana ia menyimpan khazanah alam semula jadi, habitat haiwan seperti burung penguin dan anjing laut. Panorama di menara tinjau ke pulau kecil itu cukup mempesonakan, khususnya ketika matahari mula terbenam.

Tidak lama selepas itu kami dibawa untuk menyaksikan Penguin Parade, atau lintasan burung penguin. Di sana kami melihat ribuan burung itu pulang membawa makanan ke sarang selepas keluar seharian di laut.

Bagaimanapun, pelancong dilarang mengambil gambar sepanjang berada di situ. Cahaya kamera dibimbangi akan menyebabkan burung bertindak ganas atau enggan kembali semula ke sarang.

Terkesima juga melihat ribuan penguin kecil itu berkumpul sebaik tiba di pesisir pantai untuk kembali sarang masing-masing. Ia merupakan acara alam yang cukup menakjubkan, ia pasti terpahat selama-lamanya dalam benak fikiran setiap pengunjung.


SELAIN kanggaru, Australia menjadi 'rumah' bagi banyak haiwan unik lain seperti beruang koala dan burung emu.


Cenderamata

Aktiviti kami di Melbourne diteruskan dengan membeli cenderamata di Queen Victoria Market. Bazar yang menjadi antara mercu tanda utama Melbourne itu beroperasi sejak tahun 1878. Ia menawarkan barangan yang dicari pelancong mahupun rakyat tempatan dengan harga yang berpatutan.

Kebanyakan daripada gerai-gerai di bazar tersebut dikendalikan orang Asia. Terkejut juga apabila peniaga gerai cenderamata yang kami kunjungi fasih berbahasa Melayu. Malah, gerainya banyak menjadi tumpuan rakyat Malaysia.

Terdapat bas pelancong yang menyediakan perkhidmatan percuma kepada pengunjung yang mahu melawat tempat-tempat menarik di sekitar bandar Melbourne.

Antara tempat yang popular untuk dilawati adalah Water Front City, Marina Docklands, menyusuri Yarra River dan Eureka Skydeck 88.

Muzium Melbourne juga tersenarai dalam agenda lawatan kami. Muzium yang menyimpan khazanah asal-usul Australia dan Orang Aslinya sangat informatif. Cara sesuatu maklumat disampaikan kepada pengunjung bukan saja mudah difahami, tetapi juga menarik perhatian untuk terus mendalami ilmu.

Hari keenam masa kami banyak dihabiskan dengan menikmati udara dingin musim panas di taman-taman hijau berhampiran muzium an Flagstaff Garden yang terletak tidak jauh dari hotel kami.

Tidak sangka percutian kami selama seminggu itu berlalu dengan pantas. Perasaan suram menyelubungi diri ketika mahu meninggalkan Lapangan Terbang Melbourne, tetapi tidak sabar juga rasanya untuk kembali ke tanah air.

Pada pandangan penulis, Melbourne sebuah bandar cantik dan selesa yang harus menjadi antara destinasi pelancongan bagi mereka yang mencari percutian yang mendekatkan anda kepada alam semula jadi. Anda mungkin akan lebih menghargai dunia ini selepas melihat ciptaan Ilahi di benua.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ranggi Singapura

Posted:

Ranggi Singapura

Ranggi Singapura


TARIKAN bertaraf Hollywood di Universal Studios merancakkan lagi iklim pelancongan Singapura.


SINGAPURA memang terkenal dengan pelabuhannya yang antara paling sibuk di Asia. Selain sering dicanang sebagai destinasi beli-belah hebat, ia turut menjanjikan seribu satu keseronokan di pelbagai lokasi pelancongannya.

Kota Singa yang berkeluasan 704 kilometer persegi itu juga terkenal dengan tahap kebersihannya. Ibarat kota dalam taman, pulau republik itu sentiasa hidup dengan pelbagai aktiviti rekreasi dan riadah.

Ski 360 Degree yang terletak di East Coast Park menjadi tumpuan penggemar cabaran luncur air. Tidak seperti sukan luncur air biasa, ia menggunakan teknologi kabel yang mengelilingi East Coast Lagoon untuk menuntun pergerakan peluncur.

Pusat sukan ski air pertama di Singapura itu menawarkan pakej belajar dari peringkat permulaan sehinggalah ke tahap peluncur mahir. Sebelum memulakannya, seseorang perlu mengetahui teknik-teknik meluncur dengan betul dan jika berani, barulah boleh melakukan aksi lompat, memutarkan papan luncur dan seterusnya melepasi halangan tanjakan.

Pulau Sentosa

Destinasi bersantai popular iaitu Pulau Sentosa tidak ketinggalan menyediakan pelbagai aktiviti bertaraf dunia. Mudah dikunjungi dengan aliran pengangkutan awam, di situ jugalah terletaknya taman tema Universal Studios yang baru dibuka sejak awal tahun lalu.

Tempahan awal diperlukan jika ingin menikmati keseronokan ala Hollywood tersebut. Memang mengagumkan apabila dapat menyaksikan struktur binaan yang moden di Sentosa. Uniknya, ia tetap memulihara nilai estetika bangunan bersejarah di kawasan sekitarnya.

Antara tarikan lain adalah Menara Tiger Sky yang menyediakan pelantar pemandangan tertinggi di Asia iaitu pada ketinggian 131 meter di atas paras laut. Selain itu, aktiviti mengendalikan kenderaan tanpa motor menyerupai go-cart, Skyline Luge juga menyeronokkan.


LUNCURAN Skyline Luge menuruni bukit turut membawa debaran tersendiri.


Pulau penuh keriangan itu juga menawarkan pengalaman menaiki kereta kabel terbuka Skyride dan pelbagai pertunjukan visual interaktif.

Dua buah pantai iaitu Pantai Palawan dan Pantai Siloso juga menjadi pantai pilihan terdekat rakyat Singapura yang mahu bersantai bersama keluarga.

Taman rimba

Binaan bangunan pencakar langit dengan rekaan indah dan jalan raya yang sistematik boleh dilihat di mana-mana sahaja di seluruh Singapura. Begitu juga dengan taman-taman rimba seperti Hort Park yang terletak di Southern Ridges.

Berkeluasan 28 hektar persegi, taman itu dibangunkan kerajaan Singapura sebagai taman dalam bandar yang cukup indah. Menariknya, pengunjung Hort Park turut dihubungkan dengan taman-taman berdekatan seperti Mount Faber Park dan Telok Blangah Hill Park dengan kemudahan jambatan gantung atau jejantas.

Handerson's Waves yang merupakan jejantas moden setinggi 36 meter dan sepanjang 274 meter di atas Henderson Road. Ia sengaja dibina beralun-alun dan kelihatan seperti ombak dengan latar belakang puncak kanopi pokok-pokok tropika dan bangunan pencakar langit.

Ia mempunyai tujuh keluk yang juga berfungsi sebagai teduhan dengan tempat duduk. Seni bina itu diperbuat daripada kayu balau kuning yang sesuai untuk pelbagai keadaan cuaca. Handerson's Waves turut terhubung dengan satu lagi rekaan unik iaitu jambatan Alexandra Arch. - KARL SHAFEK IBRAHIM

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Harian Metro: Hati

Posted: 11 Mar 2011 08:22 PM PST

Harian Metro: Hati


Tingkat penampilan diri

Posted: 11 Mar 2011 07:03 AM PST

WANITA berbadan gempal, comel dan berisi sering kali berasa terpinggir kerana tidak mempunyai banyak pilihan dalam menzahirkan gaya. Ini kerana kebanyakan pakaian disediakan untuk wanita berbadan kecil dan sederhana saja tanpa memikirkan wanita berbadan comel juga mahu bergaya.

Hasilnya mereka gemar memilih pakaian berwarna hitam agar kekurangan bentuk badan dapat disembunyikan.


Namun memilih rona hitam tidak dapat menyelesaikan masalah. Ini kerana walaupun anda memiliki bentuk badan yang besar, rona terang juga membantu meningkatkan penampilan diri.

Sempena Hari Wanita Sedunia 8 Mac lalu, Ms Read menampilkan himpunan musim bunga 2011 bertemakan Saya Adalah Wanita dengan gaya anggun dan santai.

Penampilan model berbadan besar dengan gaya tersendiri serta yakin tentunya mencetuskan aura kepada wanita yang ingin tampil seanggun mereka. Siapa kata wanita comel tidak mampu menyerlah dengan padanan sederhana rekaan Ms Read.

Jenama terbabit menyediakan himpunan untuk dua acara iaitu gaya ke pejabat dan kasual.

Hadir dalam pelbagai rona menawan bagi yang inginkan warna pastel boleh memilih hitam atau putih juga warna terang seperti hijau epal, ungu, biru dan merah jambu.

Untuk ke pejabat, blaus polos atau bercorak sesuai dipadankan dengan seluar atau skirt menjadikan penampilan lebih sofistikated.

Untuk gaya anggun, perincian manik pada bahagian leher akan menyerlah penampilan wanita sama ada memakai seluar atau blaus bersama kardigan.

Hadir dalam pelbagai fabrik mewah dan selesa seperti kapas, viscose dan linen, ia menjadikan setiap padanan ada kelas tersendiri.

Himpunan Ms Read musim bunga kini boleh didapati di Alamanda Putrajaya, MidValley Megamall, 1 Utama, Subang Parade, Empire, Bangsar Village II, Pavilion, Sogo, Isetan KLCC, The Mines, Gurney Plaza Pulau Pinang dan Plaza Pelangi Johor Bahru.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tumpu elemen bayangan

Posted: 11 Mar 2011 06:57 AM PST

FENOMENA fesyen 2010 sedikit sebanyak memberi refleksi gaya terhadap rekaan kasut yang menjadi pilihan wanita tahun ini.

Jika meneliti gaya tahun lalu, ramai peramal fesyen berpendapat sepanjang 2011, reka bentuk yang mencuri perhatian adalah berbentuk platform.


Rekaan itu memang popular bukan kerana ia selesa malah membantu wanita yang rendah untuk kelihatan lebih tinggi.

Bagi jenama terkenal Amerika Syarikat (AS), Nine West, koleksi kasut terbaru ditampilkan sempena musim bunga dan luruh kali ini turut menyerlahkan rekaan sedemikian.


Jenama itu mula bertapak di persada fesyen antarabangsa sejak 1978. Ia sempena nama kedai pertamanya di nombor 9, West 57th Street, New York dan kini antara pilihan wanita seluruh dunia. Bukan sekadar kasut, ia turut menyediakan beg tangan dan aksesori.


Sesuai dengan keceriaan musim bunga, Nine West menampilkan pelbagai rekaan kasut menarik daripada sandal biasa kepada but unik yang banyak memberi tumpuan kepada elemen bayangan, bentuk dan gaya.

Lima rekaan utama, Espadrilles, White Hot, Vivid Brights, Keeping It Natural serta Soft Hues mampu memenuhi cita rasa wanita moden hari ini.


Gaya dramatik era 80-an menjadi ilham untuk koleksi Espadrilles manakala rekaan kasut tapak rata White Hot lebih kepada keperluan gaya untuk bersantai di hujung minggu.

Memiliki personaliti ceria pula sesuai menggayakan koleksi Vivid Brights. Kasut stiletto yang mempunyai tali pengikat menarik daripada fabrik turut disediakan dengan warna crayon crayola penuh keceriaan.


Untuk mereka yang gemar rekaan kasut ala terompah, koleksi Keeping It Natural paling sesuai untuk dimiliki.


Ia menyerlahkan lagi gaya chic pemakai terutama dengan hadirnya elemen safari pada tumit platform kasut.


Andainya mahu tampil dengan gaya feminin dan penuh elegan, koleksi Soft Hues boleh memenuhi cita rasa berkenaan.


Seperti rekaan sebelumnya, koleksi Nine West terbaru turut diindahkan dengan hiasan gancu dan ikatan tali menarik.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan