Jasa PLKN kepada pelatih Jasa PLKN kepada pelatih
Oleh KURNIAWATI KAMARUDIN

KETIKA di alam persekolahan, Muhammad Yassin Musa adalah pelajar yang sangat pemalu dan pendiam. Selain tidak mempunyai keyakinan diri, pergaulan dan pemikiran beliau terbatas hanya pada perkara yang ada di hadapan mata.
Namun, ketika umurnya menginjak 18 tahun, karakter diri, termasuk pemikiran serta pandangannya jauh berbeza dan mampu melihat dari sudut yang lebih luas dan terbuka.
Semuanya adalah hasil daripada ilmu, pemahaman dan pengalaman yang diperoleh selama tiga bulan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Akui anak kelahiran Gombak, Selangor itu, karakter tersebut terus tertanam dalam dirinya sehingga kini walaupun telah meninggalkan kem latihan hampir enam tahun lepas.
Ketika diminta mengimbas pengalaman mengikuti program PLKN, jurutera di sebuah syarikat perumahan di Shah Alam itu begitu lancar merungkai satu persatu kenangan tersebut seolah-olah bagai terpahat dalam ingatannya.
Mengikuti latihan PLKN siri pertama pengambilan tahun 2004 di Kem Segiri, Lumut, Perak, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Yassin berkata, tempoh yang dilalui terasa amat singkat walaupun pada awalnya agak sukar untuk menyesuaikan diri.
Bersama rakan-rakan yang baru dikenali dari seluruh negara, kehidupan saat menjejakkan kaki ke kem dirasakan kurang menyenangkan tambahan pula dengan kemudahan yang serba kekurangan.
Tidak seperti pelatih PLKN pada hari ini yang mendapat kemudahan kem lengkap, beliau bersama rakan lain ketika itu hanya tidur dalam khemah yang kurang selesa.
Ujar Timbalan Ketua Sekretariat Alumni PLKN Kebangsaan ini, keadaan itu akhirnya menjadi kenangan manis yang sukar dilupakan, malah program yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan Kementerian Pertahanan itu nyata memberi kesan bukan sedikit terhadap dirinya.
"Ketika itu pemikiran saya agak tertutup, maklumlah remaja dan baru pula habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Tak sangka nama terpilih. Mula-mula masuk macam-macam perkara negatif difikirkan, paling takut jika latihannya berbentuk ketenteraan," katanya.

LATIHAN yang dilalui pelatih PLKN menjurus kepada pembinaan sikap keperibadian individu.
Tidak seperti yang dibayangkan, latihan yang dilalui menjurus kepada pembinaan sikap keperibadian individu dengan menerapkan nilai-nilai positif yang antaranya disiplin diri, semangat patriotisme, bekerjasama dan setiakawan.
Perkara tersebut yang dipelajari dan dihayati sepanjang tempoh berada dalam kem, membantunya menjalani kehidupan hari ini terutama ketika menuntut di institusi pengajian tinggi awam dan alam pekerjaan sekarang.
"Banyak sangat membantu, jika saya tidak mengikuti PLKN, belum tentu saya mampu bercakap seperti ini sekarang dan mungkin bukan seperti yang dilihat hari ini.
"Pembinaan karakter yang saya dapat dalam PLKN telah membina nilai-nilai positif dalam diri yang saya aplikasikan dalam kehidupan dan kerjaya," ujarnya ramah.
Kerja sukarela
Sebaik keluar dari PLKN minatnya kepada kerja-kerja sukarela juga semakin bertambah terutama dalam membantu mereka yang memerlukan.
Menurut Yassin, pengalaman terlibat dalam aktiviti khidmat komuniti yang didedahkan semasa program PLKN memberi inspirasi kepada beliau mengumpul bekas pelatih PLKN melalui penubuhan Kelab Alumni PLKN.
Sebagai presiden, pelbagai usaha dijalankan bagi mengumpul keahlian dalam membina jaringan agar hubungan tersebut tidak terputus.
"Sehingga kini lebih 10,000 bekas pelatih telah mendaftar dalam kelab sejak penubuhan pada tahun 2008 dan kami saling berhubung dan bertanyakan khabar melalui laman sosial," katanya.
Lebih membanggakan usaha yang dilakukan Yassin itu akhirnya mencetus kepada penubuhan Sekretariat Alumni PLKN Kebangsaan yang dikendalikan di bawah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) pada September tahun lepas.
"Program pertama yang dijalankan sekretariat ialah perjumpaan sempena sambutan hari raya pada Oktober tahun lepas di semua kem PLKN seluruh negara.
"Kita berjaya mengumpul lebih 10,000 bekas pelatih PLKN yang datang secara sukarela untuk bertemu rakan yang lain," katanya.
Beliau berkata daripada program pertama itu, beberapa projek turut dirangka dan sumbangan terawal sekretariat alumni ialah membantu mangsa banjir di Kedah dan Perlis pada penghujung tahun lepas.
"Ia melibatkan kira-kira 200 bekas pelatih PLKN seluruh negara. Kesemua mereka menawarkan diri untuk membantu sebaik dimaklumkan tentang program tersebut melalui laman sosial Facebook. Ini juga membuktikan semangat sukarelawan yang diterapkan dalam PLKN masih tertanam di jiwa mereka semua," katanya.
Lebih terbuka

RAMAI pelatih mengakui diri mereka berubah menjadi lebih baik selepas menyertai program PLKN.
Perkara tersebut turut diakui Leong Sook Theng, 20, bekas pelatih PLKN Kumpulan 2 tahun 2006 yang turut bergiat aktif dalam sekretariat alumni PLKN.
Memegang tanggungjawab sebagai Exco Pendidikan, beliau mempunyai visi dan misi untuk membantu bekas pelatih PLKN yang berminat mendapatkan kemahiran dan meningkatkan ilmu pengetahuan.
Seperti Yassin, beliau juga sangat berminat melakukan kerja sukarela dan berasa bangga apabila dipilih JLKN untuk menawarkan khidmat dalam sekretariat alumni.
Katanya, usaha tersebut sebahagian sumbangan yang dapat dicurahkan bagi membalas jasa kerajaan dan JLKN yang membantu membina nilai-nilai positif kepada pewaris negara.
Kecewa dengan cakap-cakap yang menghentam keberkesanan program itu oleh pihak yang tidak memahami aspirasi yang diterapkan, Sook Theng berkata, pihak tersebut perlu datang dan melihat sendiri bagaimana program tersebut dijalankan bagi mengubah pandangan tersebut.
"Mengambil contoh diri saya sendiri, sebelum ikuti program ini, saya seorang yang sangat pentingkan diri, hanya buat hal sendiri dan langsung tidak ambil peduli apa yang berlaku di sekeliling.
"Kawan-kawan pula hanya di kalangan wanita saja dan tidak berminat nak berkawan dengan rakan lain malah berfikiran negatif kepada mereka," katanya.
Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, tempoh tiga bulan mengikuti modul yang ditetapkan iaitu fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti telah mengubah sikap dan pemikirannya itu.
Pergaulan dengan rakan-rakan yang berbeza kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak membuatkan saya lebih terbuka, menghormati serta belajar menerima adab dan budaya mereka.
"Modul pembinaan karakter juga telah mengubah sikap pentingkan diri, malah keluarga saya sangat gembira dengan perubahan sikap yang ada ini hingga membuatkan hubungan kami menjadi bertambah rapat," katanya.
Beliau mengakui, modul kenegaraan yang diterapkan dalam PLKN membina semangat patriotisme dalam dirinya dan mengajar beliau untuk bersyukur dilahirkan di bumi Malaysia.
Ujarnya, sebagai sebuah negara unik dengan masyarakat majmuk adalah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk menjaga keharmonian dan keamanan yang dikecapi.
Toleransi
"Dulu saya langsung tak ambil kisah tentang perkara ini, namun pendedahan dan pergaulan bersama rakan kaum lain yang datang daripada pelbagai latar belakang membuatkan saya berfikir betapa istimewanya Malaysia," katanya.
Jika setiap rakyat Malaysia mampu mengamalkan sikap toleransi dan lebih terbuka, isu sensitif yang dibangkitkan sejak akhir-akhir ini tidak akan timbul.

LATIHAN fizikal membantu membina generasi yang sihat.
Sementara itu, Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kecil berkata, kajian yang dijalankan JLKN pada akhir tahun 2009 melalui penilaian yang diberikan oleh pelatih, ibu bapa, majikan dan masyarakat membuktikan keberkesanan PLKN.
Beliau berkata, 80 peratus daripada 61,950 responden kajian bersetuju bahawa PLKN membawa perubahan yang positif kepada diri mereka atau anak-anak.
"Kajian itu dibuat selepas lima tahun program PLKN dijalankan dan ia meliputi semua objektif antaranya patriotisme, perwatakan, khidmat masyarakat dan perpaduan.
"Hasil kajian itu juga menjawab soalan pelbagai pihak tentang keberkesanan program tersebut dan menyangkal penilaian negatif yang menyatakan program PLKN tidak berfaedah," katanya.
Katanya, usaha kini giat dijalankan bagi mengumpul bekas pelatih PLKN untuk diserapkan di bawah sekreteriat alumni PLKN sebagai kesinambungan program latihan tersebut.
Dengan cara ini juga akan memastikan bekas pelatih PLKN terus menyumbang kepada masyarakat dan negara melalui program-program yang diatur. – Bernama
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan