Ratu
Kenang keringat ayah, eksport Orang Kampung seantero duniaKEDUDUKAN sebagai anak sulung membuatkan dirinya bersikap matang sejak usia muda lagi. Dari awal, personaliti ini mengerti besarnya harapan ibu bapa terhadap dirinya dalam menjaga keluarga dan memajukan perusahaan diasaskan bapa.
Itulah yang sentiasa tersemat dalam fikiran Pengarah Urusan OK Group, Habibul Ajmi Manggar, 33, dalam melaksanakan tanggungjawabnya menguruskan perniagaan dan bertindak sebagai 'ketua' kepada keluarga besarnya sejak pemergian bapa pada 2008.
Sebelum mengambil alih tanggungjawab daripada Allahyarham Datuk Manggar Haniff, Habibul sudah menerima pendedahan terhadap operasi perusahaan yang diasaskan sejak 1994 itu. Malah, berbelas tahun sebelum tertubuhnya syarikat yang kini diterajuinya, Habibul sering membantu bapanya yang ketika itu bekerja sebagai guru dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Pada peringkat awal menceburi perniagaan produk tradisional, proses penghasilan produk hanya dijalankan di kawasan belakang rumah di Merlimau, Melaka. Atas sambutan menggalakkan, Allahyarham Manggar kemudian menubuhkan syarikat Orang Kampung Sdn Bhd yang menjadi peneraju pengeluar produk berasaskan herba di peringkat tempatan.
Habibul pula meneruskan pengajian ke peringkat diploma dalam jurusan teknologi pemakanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas tamat sekolah menengah. Belum sempat Habibul menyambung pengajian di peringkat ijazah, tugas menguruskan perniagaan diserahkan kepadanya.
"Sebenarnya, saya lebih minat kepada bidang seni dan bercadang untuk belajar lebih tinggi dalam jurusan seni. Tapi, ketika memilih jurusan untuk diploma, saya terpaksa menurut permintaan ayah yang mahu saya mengambil jurusan teknologi pemakanan.
"Habis pengajian peringkat diploma, saya bercadang untuk berehat-rehat dulu di kampung sementara menanti tawaran menyambung pengajian ke peringkat ijazah. Tetapi, berlainan pula apa yang dirancang ayah. Beliau sudah memasang 'strategi' supaya saya berjinak-jinak dalam pengurusan syarikat," katanya ketika ditemui sisipan Sabtu di Merlimau, Isnin lalu.
Ketika itu, jenama Orang Kampung semakin dikenali ramai dan pasarannya makin meluas. Manggar sudah memberi bayangan bahawa Habibul perlu bersiap-sedia untuk mengambil alih peranannya dalam syarikat.
"Saya disuruh memerhati dan belajar dari setiap peringkat dalam operasi syarikat supaya lebih faham bagaimana perjalanan perniagaan ini. Selepas itu, barulah saya dipertanggungjawabkan untuk menguruskan bahagian pemasaran manakala beliau memberi tumpuan kepada bidang pengeluaran.
"Walaupun hasrat saya sebenarnya untuk melanjutkan pengajian, namun saya tetap akur dengan permintaan ayah, lebih-lebih lagi bila keadaan kesihatannya yang tidak menentu," jelas anak sulung daripada 12 orang adik-beradik ini.
Sempat kira-kira tujuh tahun berganding bahu bersama bapa memajukan perusahaan Orang Kampung hingga memperoleh pencapaian membanggakan, Habibul kemudian terpaksa memikul tugas besar itu sendirian apabila bapanya meninggal dunia akibat angin ahmar.
Cerita Habibul, kira-kira 11 tahun dulu, dirinya masih mentah dalam selok-belok perniagaan dan terpaksa berusaha keras bagi mendapat keyakinan orang di sekeliling yang rata-ratanya lebih berusia. Sekarang, hubungan beliau dan kakitangan OK Group ibarat sebuah keluarga besar dan masing-masing mengambil berat mengenai prestasi syarikat milik 100 peratus Bumiputera ini.
"Banyak prinsip dan cara kerja yang diamalkan arwah ayah saya jadikan panduan. Ayah seorang yang tegas dan ingin menjadi pelopor dalam sesuatu perkara.
"Dulu, ketika beliau hendak memperkenalkan minuman herba dalam tin, ramai seperti tidak yakin dengan idea ayah. Tapi, semua itu tidak menghalangnya merealisasikan idea itu. Lihat sekarang, berapa ribu pengeluar lain turut melabur dalam industri seperti ini hingga ia berkembang pesat," ujar Habibul.
Meminjam semangat ayahnya itu, Habibul juga mahu 'menongkah arus' dan melakukan pembaharuan dalam OK Group demi menembusi pasaran global. Sebagai contoh, selain produk minuman berasaskan herba, syarikat itu turut mengeluarkan produk untuk kecantikan dan kecergasan. Malah, syarikat itu akan melabur dalam bidang penghasilan produk farmaseutikal serta makanan tambahan.
Beberapa syarikat lain dalam OK Group turut diuruskan adik-beradik Habibul menjadikan perjalanan perusahaan ini lebih teratur kerana persefahaman yang terpupuk dalam diri anak-anak Datuk Manggar dan Datin Hasbunah Mhd Zainudin.
Dorongan isteri pengaruhi kejayaan
BERKUNJUNG ke kediaman ahli perniagaan berwawasan ini dan bertemu keluarganya, dapat dilihat sikapnya yang mendahulukan keluarga dalam semua perkara.
Habibul dan isteri, Umi Rafidah Ismail, 31, serta tiga anak mereka yang semuanya lelaki - Danial Hakimi, 8, Afeef Iman, 5 dan Alief Najmi, 3, menetap bersama-sama ibunya di kediaman yang menjadi tempat bertapaknya perusahaan Orang Kampung.
Jarak di antara rumah mereka dengan pejabat dan kilang juga tidak jauh, memudahkan Habibul pulang menjenguk keluarga.
Biarpun kedudukannya sebagai Pengarah Urusan membuatkan dirinya sibuk, Habibul bertuah kerana selain sokongan ahli keluarga, dorongan dan bantuan daripada isteri menjadi faktor yang mempengaruhi kejayaannya.
Untuk memberi fokus dalam menguruskan anak-anak dan keluarga, Umi baru-baru ini berkira-kira untuk meletakkan jawatan sebagai guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah.
"Kalau diikutkan, sudah lama sebenarnya saya hendak berhenti kerja. Namun, memandangkan urusan kerja dan rumah tangga masih boleh ditangani dengan baik, saya tangguhkan dulu niat itu.
"Cuma, apabila mengandung anak keempat ini, saya perlu lebih banyak berehat dan lebih banyak waktu untuk saya membantu suami menguruskan keluarga," katanya.
Sejak berkenalan selepas zaman sekolah menengah dulu, Umi dan Habibul berkawan rapat kerana kedua-duanya melanjutkan pengajian di universiti sama dan berasal dari negeri sama.
Kata Umi, pada awalnya, beliau menganggap Habibul sebagai teman rapat dan tidak menyangka beliau meminatinya. Perasaan sayang itu lambat laun timbul selepas melihat kesabaran Habibul melayan kerenahnya serta mengambil berat mengenai dirinya. Percintaan mereka membawa mereka ke jinjang pelamin ketika masing-masing berusia 24 tahun dan 22 tahun.
"Kami berkahwin pada usia yang agak muda. Arwah ayah saya ini jenis yang berpegang kuat kepada agama. Beliau tidak mahu kami berkawan terlalu lama, jadi beliau menyuruh kami berkahwin awal," jelas Habibul.
Dalam mendidik anak-anak, Umi berkata, latar belakangnya sebagai pendidik membuatkan beliau agak tegas dengan anak-anak. Namun, lumrah anak-anak membesar, mungkin biasa berdepan 'ketegasan Umi, tiga 'heronya' itu menjadi lali hingga kadangkala sukar dikawal kenakalan mereka.
"Apabila sampai tahap seperti ini, hanya arahan atau marah si ayah yang jarang-jarang didengari itu saja yang boleh membuatkan mereka mendengar kata," tambah Umi.
Setiap kali Habibul mempunyai masa lapang biarpun tempoh singkat, mereka akan menggunakan peluang itu untuk berkumpul di rumah, keluar makan, menonton wayang atau melancong bersama keluarga besar mereka.
Walaupun tidak terbabit secara langsung dalam perniagaan keluarga suaminya, Umi berkata, ada masanya beliau menjalankan promosi produk Orang Kampung kepada rakan dan kenalan yang ditemuinya.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan