Terbang di udara bersama motosikalTerbang di udara bersama motosikal
Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

SEJAK awal pagi lelaki itu sudah keluar dari rumahnya yang terletak di Pandan Indah, Kuala Lumpur.
Berpakaian sut lengkap seperti seorang pelumba motocross, dia memacu jentera Kawasaki KLX 150S miliknya melalui celah-celah kenderaan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Hanya satu perkara yang bermain di fikirannya ketika itu, mahu segera tiba ke destinasi yang bakal dituju iaitu kawasan Kemensah kemudian ke Hulu Langat, Selangor.
Dia pasti, beberapa rakannya dari Kelab Dirt Addict X sedang menunggu kehadirannya. Lagipun itulah rutin mereka saban minggu, berkumpul sambil menguji skil masing-masing di lokasi yang digelar Trek Kemensah itu.
Tekaannya tidak meleset, dari jauh lagi gegendang telinganya sudah menangkap deruman bunyi enjin motosikal yang nyaring. Dia sudah dapat membayangkan keseronokan rakan-rakannya menguji kemahiran di trek seluas lebih satu hektar itu.
"Orang 'kuat' kita sudah sampai. Apa lagi, takkan nak tengok saja kot," usik seorang rakannya.
Tanpa berlengah, Shamsul Azhar Abu Hazim, 32, atau lebih mesra dengan panggilan Acoi memulakan aksinya. Dia memulas pendikit minyak jenteranya dan mula menjalar di atas trek.
Seakan satu kepuasan pada dirinya apabila menunggang pada kelajuan tinggi melepasi selekoh tajam di samping melakukan beberapa aksi lompatan di udara.
Padanya, sukan ekstrem berlitarkan jalan tanah dan debu itu merupakan permainannya sejak 17 tahun yang lalu.
Acoi memberitahu, sejak di bangku sekolah lagi dia begitu meminati motosikal jenis scrambler dan motocross. Tidak hairanlah, pada usia 15 tahun dia sudah berkecimpung dalam sukan itu bersama rakan-rakan sekampungnya.

BIARPUN masih baru Kelab Dirt Addict X kini semakin dikenali dalam arena sukan motorcross tempatan.
"Motosikal pertama saya ialah Suzuki TS125 iaitu motosikal terpakai yang dibeli pada harga RM800. Bermula sebagai hobi saya mengambil keputusan untuk terus aktif dan mula menyertai pelbagai kategori pertandingan motocross yang diadakan di seluruh negara," kata lelaki itu ketika ditemui baru-baru ini.
Ujarnya, sukan motocross bukan sahaja memerlukan keberanian, malah melibatkan kemahiran mengawal motosikal. Ia penting bagi membolehkan penunggang berhadapan dengan rintangan seperti laluan berbukit, tidak rata dan berlumpur.
Setelah menguasai disiplin itu, barulah seseorang penunggang berkeyakinan untuk melakukan aksi yang lebih ekstrem seperti melompat tinggi di udara.
"Ia tidak semudah yang disangkakan dan memerlukan disiplin tinggi serta latihan yang berterusan. Perkara itulah yang saya sering tekankan di kalangan ahli-ahli kelab terutama yang masih baru dalam sukan ini," jelasnya.
Tambah Acoi, dengan modal sekitar RM6,000 hingga RM10,000, mereka yang berminat dengan sukan itu mendapatkan sebuah motosikal yang baik sebagai permulaan.
Kos peralatan keselamatan seperti sut, perisai badan, topi keledar, sarung tangan, kasut pula di antara RM500 hingga RM1,000.
"Biarpun kosnya agak tinggi, namun ia berbaloi memandangkan sesebuah motosikal mampu bertahan lama sekiranya aspek penjagaannya sentiasa dititikberatkan.
"Selain merasai kepuasan sebagai penunggang motocross, mereka yang berbakat berpeluang menonjolkan diri lebih jauh dalam sukan ini melalui penyertaan dalam pelbagai pertandingan yang diadakan di seluruh negara," jelasnya.
Mempunyai kira-kira 36 ahli berdaftar, Kelab Dirt Addict X ditubuhkan kira-kira awal tahun lalu.
Sebahagian besarnya ahlinya berasal dari sekitar Lembah Klang dan terdiri daripada pelbagai peringkat usia.
Objektif penubuhan kelab itu bertujuan mempopularkan sukan motocross sebagai lokasi riadah di Kemensah.

SIKAP saling membantu merupakan elemen penting perlu ada pada diri setiap penunggang.
Wanita motorcross
Sementara itu, salah seorang antara dua peserta wanita kelab itu, Hani Hafizanita Hamimi, 28, berkata, penglibatannya dalam sukan motocross bermula kira-kira empat bulan lalu selepas diperkenalkan oleh seorang rakan melalui laman sosial Facebook.
Biarpun dikelilingi ahli kelab yang sebahagian besarnya lelaki, namun ia tidak menghalang Hani yang berasal dari Hulu Selangor itu untuk terus aktif dalam sukan itu.
"Saya akui, pengalaman kali pertama menunggang motosikal jenis ini agak mendebarkan, bentuknya yang tinggi dan besar seakan tidak sesuai dengan diri saya yang bertubuh kecil.
"Bagaimanapun, selepas beberapa kali mencubanya saya jadi seronok. Dari situ saya mula belajar menunggang dan mempelajari beberapa teknik asas di trek di samping aspek penjagaan motosikal," katanya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan.
Minat yang mendalam juga mendorongnya mengeluarkan modal sekitar RM10,000 untuk membeli motosikal dan pelbagai peralatan keselamatan.
Kata Hani, motocross merupakan satu riadah sihat yang memerlukan ketahanan mental dan fizikal. Malah dia mengakui, sukan lasak itu banyak mengubah dirinya lebih berdisiplin dan sentiasa fokus apabila melakukan sesuatu.
"Walaupun pulang ke rumah dalam keadaan comot, berlumuran selut dan letih, hati saya puas dengan cara ini. Tekanan yang ada dalam kepala akan dilepaskan pada motosikal," jelasnya.

Bagi peserta termuda dalam Kelab Dirt Addict X, Muhd. Syahrul Fikry, 16, dia meminati sukan itu kerana sesuai dengan jiwanya yang lasak.
Mewarisi bakat datuknya, Shamsuddin Arshad, 62, yang aktif di dalam sukan lasak itu suatu ketika dahulu, remaja itu berkata, dia mula belajar menunggang menggunakan motosikal motocross mini, sebelum beralih kepada motosikal sebenar.
Katanya, pengalaman terjatuh ketika membuat lompatan di ramp sudah menjadi asam garam dalam hidupnya.
"Sama ada di atas trek atau di dalam hutan, terjatuh adalah satu kemestian dan ia membantu penunggang agar tidak melakukan kesilapan yang sama sekali gus dapat memperbaiki tunggangan dan mengurangkan risiko mengalami kecederaan," jelasnya.
Ujarnya, selain berlajar di Internet dan majalah, dia juga banyak mendapat tunjuk ajar daripada rakan-rakan yang berpengalaman.
Biarpun, sibuk dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan motocross saban minggu, anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia tetap tidak mengabaikan pelajarannya.
"Saya gembira kerana mendapat sokongan penuh keluarga. Saya bercadang untuk terus aktif di dalam sukan ini dan berpeluang mengharumkan nama negara pada masa hadapan," katanya yang menjadikan juara motocross dunia, James Stewart sebagai idola.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan