Kisah wanita tercantik duniaKisah wanita tercantik dunia
Susunan IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my

NAMPAKNYA Jennifer Lynn Lopez atau popular dengan gelaran J.Lo bagai mengiyakan kata-kata bahawa umur itu sekadar angka. Biarpun bakal menginjak usia 42 tahun pada 24 Julai ini tetapi anak kelahiran The Bronx, New York, Amerika Syarikat (AS) itu masih tampil muda, langsing dan jelita.
Jadi tidak mustahil J.Lo yang sedang hangat dengan single terbarunya, On The Floor hasil duet bersama penyanyi Pitbull, dinobatkan sebagai Wanita Tercantik Dunia. Bahkan dia mengalahkan pesaing yang lebih muda daripadanya seperti Beyonce Knowles, 30, Reese Witherspoon, 35, Jessica Alba, 30 dan Angelina Jolie, 36.
Pengiktirafan itu adalah anjuran majalah People iaitu majalah mingguan di AS yang memaparkan rencah kehidupan selebriti Hollywood. Majalah terbitan Time Inc. itu mencatatkan jumlah edaran hampir mencecah empat juta di seluruh dunia.
Tahun 2011 menjadi tahun paling manis buat J.Lo apabila berpeluang mengecapi anugerah seumpama itu. Empat tahun lalu namanya sekadar memenuhi ranking 50 Wanita Tercantik Di Dunia anjuran majalah yang sama.
Pelantun lagu If You Had My Love itu bercerita: "Teruja dan sama sekali tidak menyangka meraih anugerah seperti ini, pada usia saya yang bukan lagi 25 tahun!
"Secara jujurnya, bukan mudah untuk mengekalkan penampilan yang sama seperti dua dekad lalu. Saya terpaksa bekerja keras bagi memastikan bentuk badan dan kulit wajah kekal menawan apatah lagi bergelar selebriti. Rasanya tidak wajar saya tampil di atas pentas atau muncul di kaca televisyen dengan imej yang selekeh."
Bicara anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu, tidak kira sama ada anda selebriti, orang kenamaan mahupun orang kebanyakan, selagi bergelar wanita adalah amat penting menjaga penampilan dan kecantikan diri. Dia menyifatkan kunci utama kecantikan itu lahir dari hati selain penggunaan produk penjagaan wajah.
Hidup bahagia

KEMPEN iklan pakaian jenama Gucci yang memilih Jennifer Lopez bersama si kembarnya, Emme (kanan) dan David.
"Saya bersyukur kerana mengecapi kehidupan yang amat membahagiakan di samping insan tersayang, sahabat dan perjalanan karier seni yang sentiasa mendapat sokongan padu daripada para peminat," tutur isteri kepada penyanyi Marc Anthony yang cukup menitikberatkan rejim penjagaan wajah yang sistematik.
Menyentuh rahsia kulit wajahnya yang mulus dan berseri, J.Lo, yang juga juri program realiti American Idol musim ke-10 memberitahu, dia tidak mengamalkan sebarang petua kecantikan yang luar biasa.
Pada masa yang sama, dia turut menolak kata-kata sinis segelintir individu yang mendakwa kecantikannya itu kerana dia ditaja pusat kecantikan wajah atau spa.
"Dakwaan itu tidak berasas. Saya sanggup membelanjakan sejumlah wang bagi semua rawatan kecantikan. Namun saya bukanlah individu yang bergantung pada khidmat rawatan kecantikan sahaja. Sebaliknya, setiap hari saya mengamalkan rutin membersih wajah sebelum tidur dan mengaplikasi krim pelembap pada waktu siang dan malam.
"Krim pelembap bertindak merawat dan melembapkan kulit wajah bermula daripada lapisan paling bawah. Krim Cocoa Butter jenama Body Shop antara krim pelembap kesukaan saya," kata J.Lo yang sentiasa membawa krim pelembap di dalam beg tangan terutamanya jika dia ke luar negara.
Dari aspek solekan, J.Lo yang sejak kecil sudah terdedah pada genre muzik pop, salsa, merengue dan bachata, menggemari solekan yang menggunakan warna kuning keemasan, hitam dan coklat.
Dalam kebanyakan acara hiburan atau sesi fotografi, selain pembayang mata, sepasang matanya kelihatan galak dengan penggaris mata nuansa hitam. Bibirnya pula dioles gincu bibir rona merah jambu atau coklat lembut.
Menurut jurusolek selebriti, Scott Barnes, J.Lo memiliki kening yang cantik kerana dia mempraktikkan beberapa teknik solekan yang jarang dilakukan oleh selebriti lain.
Rahsianya, sebelum mewarnakan kening dengan celak warna coklat, J.Lo akan menyapu sedikit wax rambut yang dicampur bersama pembayang mata. Kemudian kening tersebut disempurnakan dengan sapuan nipis maskara hitam.
"Saya hanya bersolek sebelum keluar bekerja atau bersantai bersama keluarga dan teman. Jika di rumah, saya seorang ibu dan isteri yang serba ringkas dan bebas daripada sebarang solekan. Kesibukan menguruskan rumah tangga dan melayan kerenah si kembar kadangkala membuatkan saya lupa pada hal-hal kecantikan (ketawa)," cerita J.Lo yang memiliki berat badan seberat 56 kilogram dan berketinggian 170 sentimeter.
Rejim penjagaan badan

ROBERTO CAVALLI (kiri) antara pereka fesyen yang bertanggungjawab mereka busana buat J.Lo.
Selain wajah, J.Lo yang berkecimpung dalam bidang seni seawal usia 25 tahun menerusi program televisyen komedi In Living Color turut dikagumi dan mendapat perhatian ramai kerana memiliki bentuk badan yang ideal.
Namun luah ibu kepada Emme Maribel Muniz dan Maximillian David Muniz, kedua-duanya tiga tahun, pengalaman mengalami pertambahan berat badan yang mendadak sewaktu mengandung meninggalkan kesan mendalam kepadanya.
"Selepas bersalin saya gerun untuk berdiri di depan cermin. Tidak sanggup melihat lemak-lemak berlebihan di lengan, punggung dan perut. Saya menjadi lebih kecewa apabila koleksi pakaian yang ada sebelum mengandung tidak muat dipakai.
"Jadi saya perlu cari jalan untuk menguruskan badan dengan bersenam, menari dan mengamalkan diet seimbang. Pada masa yang sama, saya kurangkan pengambilan karbohidrat dan lebihkan sayur-sayuran serta protein.
"Disebabkan tidak mempunyai masa berkualiti ke gimnasium, maka saya mengupah seorang jurulatih peribadi di rumah dan menyertai latihan yoga," tutur J.Lo yang aktif melakukan latihan fizikal seperti berlari, menari dan bermain tenis.
Dalam pada itu, pereka fesyen terkenal yang merupakan sahabat karib kepada Jennifer Lopez, Roberto Cavalli memberitahu, J.Lo bukan saja obses pada aspek penjagaan wajah dan bentuk badan. Pada masa yang sama dia turut menyifatkan penyanyi wanita itu bijak berfesyen dalam apa jua acara dan tempat.
"J.Lo kerap meminta saya menghasilkan pakaian yang bersesuaian dengan bentuk badan, tema acara dan siri jelajah konsertnya. Mengenali J. Lo, pada pandangan saya dia seorang wanita yang sentiasa ingin tampil anggun apabila keluar dari rumah. Sebagai pereka fesyen saya amat mengaguminya kerana J.Lo antara selebriti yang bijak menyerlahkan busana pereka di depan khalayak.
"Pada masa yang sama dia juga menitikberatkan kombinasi aksesori, tas tangan dan sepatu mengikut busana pilihan," terang Cavalli mengenai J.Lo yang mempunyai rangkaian harumannya sendiri iaitu Glow.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan