Bali menggamit hati pelancongBali menggamit hati pelancong
Oleh HAZLINDA HAMZAH dan ROHANA MUSTAFFA

MUZIK yang kuat bergema dari kelab-kelab malam di sekitar Legian, Kuta di Pulau Bali cukup menggetarkan dada dan telinga. Premis-premis yang membarisi jalan sempitseperti kafe, restoran dan bistronya menggamit tetamu.
Turut memeriahkan lagi laluan di sekitar Legian adalah kedai-kedai yang menjual cenderamata, pakaian, beg, kasut dan barangan kraf.
Di kaki-kaki lima premis, anak-anak muda terkinja-kinja mengikut alunan lagu yang dimainkan di kelab-kelab malam, walaupun kenderaan bertali arus menyusuri jalan itu.
Tidak kurang juga ramai yang menjadi penonton suasana ini, di ruang-ruang kosong dan tepi jalan sambil cuba menolak lembut ajakan wanita-wanita berpakaian anggun dengan solekan tebal yang menawarkan pas-pas masuk ke premis hiburan.
Kami yang menjejakkan kaki buat pertama kali di Pulau Bali, dalam kebingitan dan kerancakan suasana tidak jauh dari Ground Zero, terbayang tragedi pengeboman yang mengorbankan 202 orang. Pada masa yang sama, lebih 100 cedera di Sari Club dan Paddy's Cafe serta kawasan sekitarnya pada 12 Oktober 2002.
"Di tanah kosong yang berpagar hijau itu tempatnya," kata Ketut, pemandu pelancong kami ketika menurunkan kami di monumen korban kejadian itu pada awalnya, yang dibina hanya beberapa meter di seberang jalan kelab Sari.
Kebetulan hotel yang kami diami, White Rose terletak kurang 100 meter dari simpang tembok peringatan itu. Kami berjalan kaki setiap malam untuk mencuci mata dan mengunjungi kedai-kedai sepanjang Jalan Legian ini.
Hotel itu dibuka pada tahun 1997. Lima tahun kemudian, ia turut menanggung kerosakan akibat letupan bom itu.
"Pada masa itu tingkap-tingkap hotel ini pecah. Seorang jurutera yang menginap di hotel ini kehilangan isterinya yang sedang dalam perjalanan menjemputnya. Dua bulan isterinya tidak ditemui, akhirnya dia dimaklumkan bahawa isterinya adalah salah seorang daripada mangsa letupan.
"Masa kejadian itu jalan sesak dan mungkin juga ada letupan di jalan raya," kata seorang petugas wanita White Rose Hotel.
White Rose diubah suai pada tahun 2010. Di sebalik keindahan landskap dan suasananya yang mendamaikan, kenderaan dan tetamu yang keluar masuk wajib melalui pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak keselamatan hotel. Di palang pondok pengawal tertulis larangan membawa masuk senjata dan bunga api.

MASYARAKAT Bali masih kaya dan sarat dengan pelbagai adat tradisi yang turut menarik perhatian pelancong.
Namun langkah kawalan itu sedikit pun tidak mencacatkan keindahan di Kuta khususnya dan Bali sebagai pulau pelancongan popular.
Deretan kedai di jalan sempit Legian tidak sunyi dengan pengunjung, baik siang mahupun malam.
Rata-rata pelancong berjalan kaki kerana tiada ruang parkir kenderaan di sediakan di sepanjang deretan kedai.
Kami juga bertembung dengan pelancong berkulit putih yang berpakaian santai atau berbaju batik dan wanitanya berpario sambil membawa papan lungsur untuk ke pantai Kuta.
Kami juga berhati-hati supaya tidak memijak bekas kecil alat pemujaan yang dipenuhi dengan bunga-bungaan, buah dan daun palma yang diletakkan di kaki lima dan pintu masuk kedai-kedai. Ia merupakan amalan penganut agama Hindu masyarakat Bali dengan nisbah 90 peratus daripada lebih tiga juta. Bali di kalangan penduduk Indonesia dikenali sebagai Pulau Dewata.
Namun Bali yang sejak sekian lama mengalu-alukan pelancong turut menyediakan kemudahan untuk pelancong beragama lain.
Di kedai-kedai makan Islam terdapat bilik solat, sekurang-kurangnya sebuah ruang kecil dan tempat berwuduk.
Industri kraftangan
Kebanyakan restoran makan yang disinggahi, selain menyediakan kerusi meja biasa, mengajak pengunjung memilih untuk makan bersila di wakaf–wakaf beralaskan tikar. Makanan juga dihidang di meja kayu rendah yang menggunakan bekas seperti anyaman daun mengkuang.
Mengelilingi Bali untuk meninjau beberapa tempat menarik menyerlahkan kesederhanaan, ciri tradisional dan kesungguhan dalam menyediakan produk yang dihidang kepada pelancong.
Baik dari segi latar hiasan rumah urut dan spanya hinggalah kedai-kedai di Legian umpamanya, kebanyakan barangan yang dipamerkan begitu menarik sekali, berwarna-warni dan eksklusif.

PANTAI Kuta sentiasa menjadi perhatian pengunjung yang melancong ke Pulau Bali.
Satu daerah satu industri di Bali berjaya ditonjolkan apabila kami dibawa dari satu sektor kraftangan kepada kraftangan yang lain.
Daripada ukiran patung batu yang boleh dilihat di kiri dan kanan jalan beberapa kilometer panjangnya, kami memasuki kawasan pembuatan kraftangan kayu ukiran. Kemudian kami didedahkan dengan kraftangan kaca pateri hinggalah ke sawah padi saujana mata memandang dan buah-buahan yang disusun cantik di gerai-gerai di tepi jalan.
Ketut, anak keempat dalam keluarganya berkata, penetapan kawasan kraftangan untuk menjadikan konsep satu daerah satu industri lebih berjaya ialah berdasarkan kepakaran dan kemahiran seni yang ada di sesebuah kawasan itu.
Patung-patung diukir sendiri oleh pakar tempatan di sesuatu kawasan itu, digunakan untuk upacara sembahyang atau diletak di rumah, sama ada untuk pemujaan atau hiasan.
Justeru, tidak hairanlah jika hasil ukiran atau produknya lebih bermutu memandangkan ia dibuat dengan penuh kesungguhan.
Kesederhanaan persembahan produk oleh penduduk Bali begitu terserlah apabila kami dibawa ke tapak teater persembahan Barongan dan Kris di Kampung Batu Bulan.
Tanpa hiasan berlebihan, pentas persembahan teater lima babak itu hanya diperbuat daripada simen. Penonton ditempatkan di tempat duduk kayu bertingkat atau kerusi-kerusi plastik biasa.
Persembahan yang tidak menggunakan mikrofon atau teknik persembahan yang canggih itu hanya mengikut budaya dan kepercayaan yang menjadi amalan penduduk setempat.
Namun persembahan yang dilakukan setiap hari bermula dari pukul 10.30 pagi itu penuh sesak dengan penonton dan kenderaan bersusun-susun diparkir.
Ketika kami menghadiri pertunjukan tersebut, terdapat ramai penonton dari Kepulauan Jawa turut bersama-sama mengambil kesempatan sempena cuti Maulidur Rasul.
Kami juga berpeluang menyaksikan proses pembuatan kopi termahal iaitu kopi luwak. Kopi itu dijual pada harga lebih kurang 2 juta rupiah (RM684) untuk satu kilogram (kg). Kami dibawa ke kawasan ladang kopi yang memerlukan kami menjejaki batu-batu kerikil, melalui celah-celah pohon dan di bawah rimbunan pokok rendang.
Sesekali kami terserempak dengan reban musang kelapa atau luwak yang gemar memakan biji kopi.
Luwak yang sengaja dibela di ladang itu diberi makan biji kopi yang kemudian mengalami fermentasi di dalam saluran pencernaan luwak itu.
Biji kopi yang diambil dari najis atau sisa kotoran luwak itu kemudian dicuci, dijemur dan digoreng sebelum digiling atau dikisar menjadi serbuk kopi eksotik luwak.

BERJALAN kaki lebih mudah jika anda bersiar-siar di sekitar Kuta.
Keajaiban alam
Semua minuman di ladang itu boleh dicuba secara percuma di bawah bangsal kayu yang disediakan. Kopi Bali, mocha, kopi ginseng, teh serai dan teh Halia antara minuman yang disediakan. "Kopi luwak perlu dibayar dulu sebelum dicuba," kata Ketut sambil menghirup minuman di Taman Herba dan Kopi di Bangli, Jurusan Tampaksiring-Kintamani itu.
Perjalanan diteruskan ke Gunung Batur. Dari Kampung Ubud, kenderaan kami mendaki hingga ke bandar pelancongan Kintamani. Di Kintamani kami menyaksikan keindahan gunung berapi yang masih aktif itu.
Kali terakhir gunung setinggi 1,500 meter di atas paras laut itu meletus ialah sekitar tahun 1994. Di kaki gunung, terdapat tasik atau Danau Batur yang cantik dan kaya dengan hasil ikan.
Kami menghirup udara sejuk dan segar sambil melihat jelas kesan lava yang dimuntahkan Gunung Batur sejak 17 tahun lalu.
Dari gunung, kami ke pantai Tanjung Benoa untuk melihat aktiviti pantai seperti banana boat, selam skuba, meluncur jet ski, meluncur atas air dengan paracut dan sebagainya. Cuaca yang panas menyebabkan kami mengambil keputusan ke Jimbaran untuk menikmati makan malam di tepi pantai.
Keindahan suasana malam di tepi pantai dan deruan ombak, dilengkapkan dengan nyanyian merdu kumpulan kuartet; empat penyanyi jalanan mendendangkan pelbagai untuk pelanggan.
Satu lagi keajaiban alam di Bali ialah di Pura Tanah Lot yang terletak di Kampung Braban, 30 meter dari ibu Denpasar.
Kami berjalan lagi sejauh 300 meter, melalui kedai-kedai menjual pakaian pantai, cenderamata dan kraf hinggalah ke penghujung pantai.
Di Pura Tanah Lot, sambil menyaksikan matahari yang terbenam, kami melihat sebuah candi yang seolah-olah terpisah di laut dengan tanah besar Bali. Candi itu masih digunakan untuk upacara pemujaan yang dilakukan enam bulan sekali, mengikut kalendar Hindu-Jawa.
Kami menunggu sambil menikmati keindahan pemandangan dan pukulan ombak sehingga matahari terbenam. Candi itu menjadi bayang-bayang berlatar belakang lembayung mega merah di lautan Indonesia, sebelum kami beredar pulang. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan